Saturday, June 1, 2013

Dongeng PRU 13

Tarikh 
5hb Mei 2013, hari Ahad.

Keputusannya (Parlimen)

  • Barisan Nasional - 133 kerusi (49% undi popular)
  • Pakatan Rakyat -    89 kerusi (51% undi popular) 
Pakatan Rakyat bukan sahaja kalah  walaupun mendapat 51% undi popular malah berjaya menambah 7 kerusi lagi dari PRU 12 yang lalu! Biar betul!!!

Memang betul. Pola pengundian begini hanya berlaku di sini (agaknyalah).

Akibat keganjilan keputusan ini maka seperti perbidalan Melayu lama "rumah siap pahat pun berbunyi."

Bunyi pahat dari BN
  • Pengundi Cina telah berpaling tadah kepada pembangkang!
  • Mereka tidak mengenang budi! 
  • "Apa lagi Cina mau?" Teriak mereka!
Bunyi pahat dari PR
  • Keputusan 27 kawasan parlimen diragui!
  • Pengundi hantu!
  • Blackout semasa pengiraan!
  • SPR berpakat dengan BN!
Apa dah jadi ni?

Mari kita berfikir secara waras. Kalau tak setuju pun tak apa. Berfikir ni percuma. Ianya hak peribadi sejak azali lagi. Setiap manusia dilahirkan dengan segumpal otak dalam kepala mereka. Otak itu tujuannya untuk berfikirlah. Kalau tak nak gunakan otak tu pun, boleh. Otak masing-masing tu masing-masing yang punya. Nak digunakan atau nak dibiarkan berkarat pun masing-masing punya keputusanlah.

Perihal bunyi pahat dari BN
  • Secara keseluruhannya penduduk Cina di Malaysia ialah 26% sahaja. Paling kurang yang dewasa dan boleh mengundi ( tolak/campur) mungkin 19%. Yang mengundi PR pun setelah dicongak-congak mungkin 15% sahaja.
  • PR dapat 51% undi popular. Tolak 15% undi Cina bakinya ialah 36%. Daripada mana datang bakinya tu? Dah tentulah dari pada orang Melayu, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya.
  • Jadi apa helah BN dalam tuduhan mereka itu? Seperti perbidalan Melayu lama, "pukul anak sindir menantu."
  • Adalah satu rahsia terbuka yang tauke-tauke besar Cina adalah rakan karib perniagaan pemimpin BN. Mereka ini ibarat "menantu". Faham-faham ajelah!
Perihal bunyi pahat dari PR
  • Pengundi hantu, blackout, SPR berat sebelah ... semua ini lagu lama. Sejak zaman berzaman lagi.  Dulu penyanyinya Dato Asri. Kemudian Hadi Awang. Kini Anwar Ibrahim. Tengoklah zamannya. Dulu rentak langgam. Hari ini rap (mungkin juga K-pop) tapi liriknya sama.
  • Seperti juga mana-mana lagu popular setelah puas didengari ia akan ditelan masa. Saya dengar lagu yang paling lama bertahan tahun 2012 ialah "Opa Gangnam Style."
Apa yang sebenarnya terjadi ni?

Ada beberapa perkara yang terlintas dalam fikiran saya.
  • Di dalam Malaysia kawasan luar bandar adalah kawasan yang paling banyak sekali. Ianya tertumpu di negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Trengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. 
  • Negeri yang dikira maju ialah di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor.
  • Kepadatan penduduk pula tidak seimbang. Di bandar-bandar kepadatan penduduk tersangat sendat. Ini berlaku sebab peluang pekerjaan dan projek perumahan hanya tertumpu di kawasan-kawasan berhampiran bandar. Oleh itu sebahagian besar penduduk luar bandar berhijrah ke bandar dan menetap di situ. Akibatnya kepadatan penduduk luar bandar menjadi longgar. Tidak hairanlah ada kawasan parlimen di bandar mempunyai ratusan ribu pengundi dan di luar bandar hanya ribuan pengundi sahaja!
  • Pembahagian kawasan pilihanraya pula ialah mengikut taburan kawasan bukannya taburan kepadatan penduduk. Oleh itu jumlah kawasan parlimen luar bandar adalah lebih banyak dari kawasan parlimen bandar.
  • Bila BN menakluki kawasan parlimen luar bandar sudah tentulah mereka yang memenangi PRU 13 walaupun undi popularnya hanya 49%.
  • Ingat BRIM? Ingat kedai 1Malaysia? Ingat klinik 1Malaysia? Ingat jalan-jalan raya yang diturap semasa kempen? Ingat kempen pemimpin-pemimpin Perkasa? Ingat siapa yang menjadi penghuni terbesar di kawasan-kawasan luar bandar? Kalau anda ingat tentu anda akan dapat kaitkan kenapa BN menguasai hati pengundi-pengundi di luar bandar!
Perihal undi popular 51%
  • Saya lebih terpanggil untuk mempercayai pola pengundian PRU 13 mencerminkan "peperangan kelas."  
  • Hari ini mereka yang berada di kelas menengah sangat tertekan dengan keadaan ekonomi yang tidak diurus dengan baik oleh kerajaan. 
  1. Harga rumah mahal dan terpaksa menanggung hutang selama 15 ke 25 tahun.
  2. Harga kereta/motor mahal sehingga mereka menanggung hutang selama 5 ke 10 tahun.
  3. Harga petrol mahal sehingga mengganggu perbelanjaan rumah walhal kita negara pengeluar minyak! Minyak terdapat di Kelantan, Trengganu dan Sarawak! Keuntungan Petronas berbillion ringgit.
  4. Tol merata-rata dan kadarnya sentiasa naik walaupun jumlah kenderaan bertambah setiap tahun!
  5. Anak-anak mereka menanggung hutang selepas keluar dari pusat pengajian tinggi walaupun belum bekerja lagi!
  6. Harga barang makanan, hiasan, perabot semuanya tinggi-tinggi belaka.
  7. Akibat semua ini kos saraan diri orang kelas menengah sangat tinggi sehinggakan gaji suami-isteri yang bekerja yang berjumlah RM6000/- sebulan dengan dua anak yang masih kecil sebenarnya tidak mencukupi!
  8. Dan rata-rata pengundi dari golongan ini berada di kawasan bandar! Tidak heranlah mereka memprotes melalui kertas undi!
  9. Ingat manifesto PR? Tiada tol, tiada PTPTN, petrol murah, kereta murah ... semua ini ditujukan khas kepada mereka yang dari golongan kelas menengah. Dan PR berjaya menguasai hati mereka! Lalu PR menguasai kawasan parlimen bandar!
Kalau BN dan PR sudah berjaya dengan strategi masing-masing kenapa "rumah siap pahat berbunyi."
  • Ini memang tabiat orang Melayu. Perbidalan "rumah siap pahat berbunyi" memang ditujukan kepada orang Melayu sejak zaman nenek moyang kita dulu. Zaman dulu orang Melayu bina rumah tak ada blueprint. Sebab itu bentuk rumah sama sahaja sebab tukang-tukangnya belajar dari guru yang sama. Bila rumah dah siap masa tulah baru teragak nak adakan satu bilik lagi sebab baru dapat menantu.
  • Orang Malaysia berpolitik 24/7 selama 365 hari! Selain daripada drama tv dan gossip artis hiburan yang paling seronok sekali ialah gossip politik. Gossip politik hari ini dah jadi sambal belacan. Lagi pedas lagi sedap!
Sepatutnya masa inilah BN dan PR pergi muhasabah diri. Buat post-mortem. 
  • Strategi yang menjadi dimantapkan lagi.
  • Yang tempang dibaiki.
  • Yang rosak dibuang.
  • Yang kurang ditambah.
  • Yang penuh ditatang.
  • Yang luka diubatkan.
  • Yang kecewa dipujuk.
  • Yang menang ditatang.
  • Yang lemah dilindungi.
  • Yang kuat dimenangi.
Jangan jadi Lebai Malang. Nak makan sedap akhirnya melepas dan balik kelaparan. Atau jadi Pak Kaduk. Menang sabung kampung tergadai. Atau jadi SiLuncai. Biarkan dia terjun dengan labunya. Atau jadi Pak Pandir dengan Mak Andeh. Asyik bertelagah tak kunjung reda.

Hmmm ... bila difikir-fikirkan balik BN dan PR ini tak ubah macam Pak Pandir dan Mak Andeh. Cuma siapa Pak Pandir dan siapa pula Mak Andeh?


Sunday, September 16, 2012

Perihal Pendakwah di Malaysia

Dewasa ini kedahagaan warga muslimin untuk menjadi warga mukminin amat ketara sekali. Ia berpunca dari perbalahan politik antara UMNO / PAS yang telah mencetuskan suasana "jika mahu masuk syurga ikut kami".

Lantas Youtube dan TV menjadi medan terlonggoknya pelbagai dakwah yang mengajak muslimin / muslimah yang isi dakwahnya ialah:


  • Ikut kami jalan ke syurga.
  • Mereka fasik dan sesat.
  • Ikut kami Allah sayang.
  • Ikut mereka Allah benci.
  • Kami benar.
  • Mereka salah.
  • Buat itu dapat pahala.
  • Buat ini dapat dosa.
Hasilnya?

  • Para pendakwah menjadi ikut-ikutan dan diraikan dengan gah sekali.
  • Allah semakin jauh dari mereka.
  • Mereka kenal pendakwah.
  • Tapi tak kenal Allah.
Dari hasil pemerhatian saya dapatlah saya bahagikan pendakwah di Malaysia dalam beberapa kategori.

1) Pendakwah Tegar

Mereka ini bekerja dalam satu kumpulan yang erat. Contoh klasik ialah para tabligh, kumpulan Arqam, kumpulan sufi dan pendakwah bebas yang meniti dari mesjid ke mesjid dan dari surau ke surau. Mereka tidak perlukan TV atau Youtube. Mereka telah wujud lama dulu sebelum TV dan Youtube. Mereka mendakwahkan Allah dan agamanya. Para pengikut mereka mengenal Allah dan agama lebih dari pendakwah itu. Orang ramai memang berburuk sangka dengan mereka. Dan akibatnya ada kumpulan yang "dikatakan sesat". Mereka tak peduli. Mereka meneruskan dakwah mereka secara sembunyi-sembunyi. Matlamat mereka Allah dan Allah saja. Yang lain boleh blah.

2) Pendakwah Popular

Mereka ini ada peminat (macam artis yang ada peminat). Mereka ini dipuja dan dipuji. Mereka ini diperbesarkan darjatnya oleh peminat-peminat mereka. Gaya hidup dan gaya pakai mereka menjadi stail para peminat. Lenggok dakwah mereka berlainan di antara satu sama lain. Isi dakwah pelbagai mengikut selera pendakwah itu dan juga ikut perkembangan terkini dalam masyarakat.

Seringkali para pendakwah ini dilaga-lagakan oleh mereka yang tak suka dengan dakwah mereka. Dan bila para pendakwah yang dilagakan bersemuka mereka berusaha mempamerkan "taji" masing-masing.

Akan tetapi bila berasingan mereka cari jalan "nak tajikan" lawan masing-masing.

Medan mereka tidak lain ialah TV, Youtube dan blog-blog persendirian. Dalam Youtube itu banyak peminat yang muat-naikkan dakwah mereka. Kemudian di "link" kan dalam facebook dan twitter. Akhirnya medan youtube, facebook dan twitter menjadi medan peminat "taji-menaji".

3) Pendakwah "copy-paste"

Ini yang paling banyak. Medannya ialah facebook dan twitter.

Isi dakwahnya?

Tidak lain dari "kata-kata hikmat / hadis / firman" yang mereka temukan "entah di mana" lalu di "copy-paste" untuk tatapan para sahabat / kenalan dalam facebook dan twitter.

Ada juga yang berani mengeluarkan "buah fikiran sendiri"! Tapi sebenarnya itu sebahagian dari ceramah yang mereka ikuti dalam youtube!

Dan yang lebih hebat ada yang berani "berhukum" dengan "ilmu copy-paste" mereka!

MasyaAllah.

4) Pendakwah Kembang-kuncup

Ini kategori yang paling istimewa. Ia terjadi bila seseorang berasa insaf dan terus memakai serban dan jubah (bagi lelaki)) dan bertudung serta-merta (bagi perempuan).

Tanpa mengukur ilmu di dada mereka terus berdakwah (dalam youtube, facebook, twitter dan blog).

Apalah isi dakwahnya tu?

Kalau lelaki fadilat memakai serban dan menyimpan janggut. Kalau perempuan kelebihan memakai tudung.

Takat tulah ilmu mereka.

Kesimpulannya?

Dengan wujudnya 4 kategori pendakwah ini kalaulah ada muslimin yang masih jahil lagi tentang "agama mereka" saya hanya dapat mengeluh "masyaAllah ..."

Sekian.

Saturday, September 15, 2012

Antara Syiah/Sunni ... Umno/Pas

Kita telusuri kisah Syiah dan Sunni dulu. 

Asalnya pertentangan politik dalam pemilihan khalifah selepas RasululLah wafat. Syiah menyokong kekhalifahan Saidina Ali kwj. Manakala puak yang menyokong selain Saidina Ali kwj digelar puak Sunni. Apabila Khalifah Abu Bakar Siddiq terpilih benih permusuhan Syiah /Sunni pun bercambah. Ia bertambah buruk bila Khalifah Omar dan Othman dilantik. Bila Khalifah Othman wafat dibunuh Saidina Ali kwj menjadi sasaran fitnah kewafatan Saidina Othman. Kemudian Saidina Ali kwj dilantik khalifah. Selepas 3 khalifah dimiliki kaum Sunni ianya terputus pada Saidina Ali kwj. Puak Syiah bersorak menang dan puak Sunni berdendam. Puak Sunni diterajui oleh Muawiyah dan disokong oleh Saiditina Aisyah. 

Pertelingkahan kedua puak itu menyebabkan Saidina Ali kwj wafat dibunuh dan keluarganya termasuk Saidina Hasan/Husin dan bapa-bapa saudara terdekat menjadi mangsa pembunuhan kejam. Ketika itu para Imam-imam Syiah pun mengeluarkan berbagai fatwa, hadis dan firman mengutuk dan mengecam angkara para Sunni yang menyanggah ke khalifahan Saidina Ali kwj. 

Puluhan dan ratusan tahun berlalu fatwa-fatwa yang dikarang dalam kitab-kitab kaum Syiah serta disokong oleh hadis-hadis dan firman-firman terpilih akhirnya menjadi wacana yang diterima-pakai sebagai satu ideologi dan fahaman agama. Ia digelar sebagai mazhab Syiah. 

Hari ini UMNO dan PAS juga sedang bergerak ke arah tersebut.

Andaian saya ini sangat berasas. Berikut ialah sebab-sebab andaian saya itu: 


  • UMNO mengamalkan dasar "penerapan nilai-nilai Islam". Dasar ini disokong dengan penubuhan berbagai institusi agama seperti JAWI, JAKIM, UIA, Kolej Islam, Bank Islam, pajak-gadai Islam, musabaqah al quran dan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di dalam perlembagaan negara. Ke semua institusi ini bertujuan mengolah fikiran dan jiwa orang Melayu bahawa UMNO adalah Islam dan Islam adalah UMNO. 
  •  Manakala PAS menerapkan perjuangan Islam dalam manifesto partinya. Untuk mewajarkan ia juga memperjuangkan Islam maka hukum hudud menjadi tonggak perjuangannya. Walaupun PAS tidak menyatakan dengan terperinci bagaimana hukum hudud itu akan dibawa masuk sama ada ia berada dalam hukum jenayah yang termaktub dalam perlembagaan atau ianya berdiri sendiri tidaklah diketahui! Tapi ianya membawa maksud PAS itu Islam dan Islam itu PAS. 
  • UMNO kini mempunyai pasukan ulamak-ulamak yang merangka dasar "wadah Islam" yang patut diamalkan oleh Melayu Muslim negara ini. Wadah itu dikembangkan melalui blog-blog rasmi dan persendirian, dimuat-naik ke laman-laman sosial seperti youtube, facebook dan sebagainya, dianjurkan dalam radio dan tv serta akhbar dan majalah. Undang-undang kecil syariah juga dinukilkan bagi mengawal para pendakwah pembangkang dan memberi kebebasan kepada pendakwah mereka. 
  • PAS juga mempunyai pasukan yang hebat juga. Pasukan mereka diterajui oleh pemimpin politik mereka sendiri seperti Yang diPertua PAS, Ketua Pemuda PAS, Menteri-menteri PAS dan banyak lagi. Mereka ini digelar ulamak dan Tuan Guru. Dan pengaruhnya amat hebat dan berkesan. 
  • Dakwah berterusan dari UMNO telah berjaya mengumpulkan pengikut-pengikut setia yang akan berbuat apa saja untuk mempertahankan wadah keIslaman mereka. Ini termasuk menggunakan hadis dan firman terpilih untuk mengawal pergerakan dan minda rakyat serta mewajarkan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin mereka. Satu contoh klasik ialah pembunuhan di Memali yang mangsanya dikaitkan dengan penyokong PAS. 
  • PAS juga menggunakan taktik yang sama. Mereka pergi lebih jauh lagi. Mereka  mengeluarkan fatwa "kafir" kepada UMNO. 
  • Gejala perbalahan politik cum agama ini telah menghasilkan banyak peristiwa yang menakutkan. Suami-isteri bercerai kerana perbedaan fahaman. Anak-menantu yang bakal diijab-kabulkan hanya boleh dilakukan oleh kadi yang sealiran. Solat jemaah dan solat Jumaat dilakukan bergilir-gilir mngikut imam masing-masing. Para pengikut tegar sanggup mati syahid di jalan agama! Blog-blog dihasilkan untuk mengembangkan pengaruh masing-masing! 
  • Jelaslah perbedaan fahaman politik beransur-ansur menjadi perbedaan fahaman agama. Percaturan politik kini telah menjadikan agama Islam sebagai "ayam sabung" kepada puak yang berbalah. 
Cuba anda renungkan dalam-dalam. 

Inilah bibit-bibit awal perpecahan kita kaum muslimin. Bayangkan 50 tahun akan datang. Atau 100 tahun akan datang. Ketika itu segala fatwa, hadis dan firman terpilih yang mengecam pihak lain dan mengokohkan pihak sendiri menjadi teks rujukan para pengikut tegar! Ceramah dan tazkirah yang berterusan dalam bentuk video, internet, media cetak, kuliah agama, silibus agama dalam sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi termasuklah dasar keagamaan negara  akan berkembang pesat. 

Pada hemat saya tidak mustahil cucu, cicit dan piut kita nanti akan menyaksikan kemunculan dua mazhab baru ... mazhab UMNO dan mazhab PAS! 

Sekian.

Tuesday, October 4, 2011

Untuk Mereka Yang Keliru

Dah menjadi resmi orang melayu asalkan orang itu hafiz, ada sijil akademik yang berkaitan dengan kajian ilmiah agama Islam, berserban dan berjubah maka mereka digelar alim ulamak.

Saya akan bahagikan mereka ini dalam beberapa kategori.

1) Kakitangan kerajaan

Ini termasuk mufti, kadi, hakim syarii, pegawai LPF, setaf Jakim, Jais dan seumpamanya, imam masjid, bilal, penasihat agama dan kesemua mereka yang menjadi setaf di jabatan-jabatan kerajaan. Semua ini dibayar gaji oleh kerajaan pusat atau negeri. Mereka WAJIB mendokong aspirasi kerajaan dan ditegah dari mengkritik tangan yang memberi mereka makan.

2) Para penceramah bebas/kerajaan dan mubaligh-mubaligh bebas/kerajaan.

Tugas mereka ini berceramah sambil buat duit; DVD, VCD, Youtube, masjid, surau atau tempat persendirian. Yang menariknya ceramah mereka kadangkala dihiasi dengan sindiran, dakwaan tanpa bukti statistik atau kajian ilmiah, membesar-besarkan kejahilan orang lain dan ada juga berbau fitnah dan prejudis.

Yang lebih berwawasan akan berdakwah pada kaum musyrikin dan cuba menjadikan mereka muallaf. Lepas jadi muallaf ke mana hala tuju mereka?

3) Ahli politik

Kerja mereka mencari kesalahan pihak lawan dengan menggunakan firman dan hadis. Mereka akan mengutuk, menghina, memfitnah dan kadangkala mengkafirkan sesama muslimin. Ada satu kes yang saya dengar seorang hamba Allah ini enggan anaknya diijab-kabulkan oleh kadi parti lawan!

4) Selebriti TV

Ini fenomena baru. Selebriti TV bererti seseorang yang dipopularkan oleh program TV yang dihoskannya. Sebagai contoh program Imam Muda, Akademi Al Quran dan yang bakal menemui anda Ustazah Pilihan.

Yang menang akan disimbah cahaya kemeriahan menjadi selebriti. Mereka akan diundang untuk berceramah di masjid-masjid tersohor dan kemudian mengimamkan solat jemaah. Lepas itu, apa? Kemungkinan besar kita akan teruja pula dengan pemenang musim kedua.

Yang kalah bagaimana?

5) Pakar Motivasi

Kerja mereka ini menaikkan semangat peserta yang sedang hilang arah tuju hidup atau yang sedang mencari semangat baru.

Petikan firman yang bermaksud "Sebenar-benar ulamak itu ialah mereka yang takut/taqwa kepadaKu"

Jadi ulamak itu sebenarnya Rahsia Allah. Tidak ada siapa yang tahu.

Untuk menggelarkan mereka yang disimpulkan ke dalam lima golongan di atas tadi sebagai alim ulamak jauh sekali. Nak digelar ilmuan Islam pun saya masih ragu-ragu. Sebabnya?

1)Kesemua mereka ada kepentingan periuk nasi yang hendak dijaga. Jadi apa yang keluar dari mulut mereka selalunya akan menjaga kepentingan tangan-tangan yang memberi mereka makan termasuklah kerajaan, pihak tv, pembeli vcd/dvd, peserta kem motivasi dan sebagainya.

2)Ada pula yang mencetuskan permusuhan sesama muslimin. Contoh-contoh tersohor ialah pembunuhan di Memali, solat dua imam, kafir-mengkafir, haram-mengharam pertubuhan Islam, fitnah-memfitnah sesama pemimpin muslimin dan berdolak-dalik dalam hujah mereka. Tanya orang yang pergi BTN. Atau yang pergi mendengar ceramah politik.

Saya pernah menonton satu program tv yang mendokumentasikan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang mendirikan madrasah-madrasah di seluruh Tanah Melayu sekitar tahun-tahun 40an dan 50an dulu. Peribadi mereka ternyata lebih berwibawa dan boleh diteladani.

Untuk mereka yang keliru bawa bertenang, bukakan fikiran dan belajar berfikir secara kritis nescaya perspektif anda pada mereka yang memegang sijil akademik kajian ilmiah agama Islam dan yang berjubah dan berserban atau yang hafiz akan lebih jelas dan nyata. Tidaklah anda nanti mudah digula-gulakan oleh mereka.

Sekian.

Monday, August 29, 2011

Wawasan 2020

Bahagian Akhir
Hidup Segan Mati Tak Mahu
---------------------------------------------------------------------------------------

Bila Dr Mahathir Mohammad bersara dari kerajaan Wawasan 2020 dilupakan. Ia digantikan dengan Gemilang, Cemerlang, Terbilang kemudiannya oleh 1Malaysia.

1Malaysia pula tidaklah difahami oleh rakyat marhaen sebab wujudnya konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh parti DAP. Pada dasarnya maknanya sama saja.

Untuk memburukkan keadaan saya tak nampak apa-apa program atau dasar yang boleh membawa satu anjakan besar kepada keperibadian rakyat. Pemimpin-pemimpin politik masih lagi leka mengaibkan saingan politik masing-masing dengan isu seks dan rasuah. Lebih malang lagi media massa arus perdana atau nyamuk atau siber mempopularkan isu-isu itu sehingga ianya menjadi dongeng dan hiburan rakyat jelata di semua peringkat umur! Inikah peribadi bangsa maju yang majoritinya kaum muslimin?

Keadaan ekonomi masih seperti yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir. Pemimpin hari ini hanya ada dua projek "mega":

a) Dasar NKRA (???).
b) Sebuah bangunan yang lebih tinggi dari Petronas Twin Towers !!!

Pada hemat saya untuk merealisasikan impian Wawasan 2020 perlu bangkit seorang pemimpin yang dapat mengangkat bangsa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi dari yang diangkat oleh Dr Mahathir kerana penghujung kepada wawasan itu ialah bangsa yang maju dengan keperibadian lasak di pentas dunia dan beriringan dengan kemajuan ekonomi yang setanding negara maju!

Saya belum nampak kehadiran pemimpin itu dari mana-mana parti yang ada. Ironinya kalau adapun yang nampak berwibawa ialah Ketua Menteri Pulau Pinang! Beliau lebih bijak menangani isu demonstrasi parti pembangkang (UMNO Baru) dari kerajaan pusat menangani isu Bersih yang menyebabkan kematian dan kecederaan kepada rakyat awam!

Tempoh had Wawasan 2020 tinggal 8 tahun lagi. Adakah ianya akan tercapai? Saya masih ingat akan wawancara dengan Dr Mahathir yang diterbitkan oleh Astro. Beliau mengatakan (dalam bahasa Inggeris), " A leader should be creative too!" Maksudnya seorang pemimpin sepatutnya bersifat kreatif!

Pemimpin kreatiflah yang kita belum ada lagi.

Friday, August 26, 2011

Wawasan 2020

Bahagian 2
Okt/1997

-------------------------------------------------------------------------------------

Oktober 1997.

Ianya tarikh keramat. Bermula dari Korea Selatan tsunami kejatuhan matawang melanda Malaysia dengan teruknya. Tsunami menjalar ke Indonesia.

Dalam bulan-bulan berikutnya usahawan-usahawan kelas pertengahan Melayu dihimpit beban hutang yang melampau.

a) Mereka yang bergantung kepada projek-projek kerajaan mendapati tender-tender dibekukan serta-merta.
b) Mereka yang bergantung kepada projek-projek swasta terpaksa berputih mata kerana badan-badan korporat juga tenat dengan beban hutang.
c) Banyak yang gulung tikar dan ada yang diistiharkan muflis.
d) Rumah-rumah agam disita pihak bank.
e) Kereta-kereta mewah dirampas atau disembunyikan.
f) Suami-isteri berkonfrantasi dan ada yang bercerai-berai.
g) Penjawat professional swasta mendapati mereka diberhentikan kerja atau syarikat mereka ditutup atau gaji mereka dikurangkan.

Golongan usahawan dan professional kelas pertengahan yang baru beberapa tahun tercipta kini menghadapi kemungkinan kelas itu akan lenyap.

Kenapa ianya Berlaku?

Dr Mahathir menuduh ianya angkara George Soros.

Siapa George Soros?

George Soros ialah seorang spekulator matawang terulung dunia. Konon ceritanya begini. Projek-projek mega yang pesat dibangunkan di tanah air bergantung kepada barangan import.

a) Buruh import dari Indonesia, Bangladesh dan Vietnam. Mereka ini digunakan dalam industri pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.

b) Tenaga-tenaga pakar teknik dan kejuruteraan untuk pembinaan jambatan, proton, twin-tower, putrajaya, lebuh-lebuhraya, astro dan sebagainya juga diimport dari negara-negara maju.

c) Bahan-bahan kegunaan pembinaan jambatan, putrajaya, sistem pengangkutan komuter STAR, Putra dan sebagainya termasuk perabot, langsir, batu mar-mar atau apa-punlah juga diimport.

Akibat dari gejala import besar-besaran ini aliran wang kita ke luar negara begitu banyak sekali.

Para spekulator matawang akan membeli dan mengumpul matawang ini. Dan apabila nilai matawang kita telah mencapai had maksima mereka akan menjual semula untuk meraih keuntungan. Akibatnya nilai matawang kita jatuh merudum.

Tindakan Dr Mahathir

1) Nilai tukaran asing matawang Malaysia ditetapkan. Ianya tidak boleh lagi diperdagangkan.

2) Kerajaan menubuhkan Danaharta Sdn Bhd yang membeli segala hutang-piutang syarikat-syarikat korporat terpilih. Kemudian syarikat-syarikat ini akan disusun semula untuk menghadapi situasi pasca kejatuhan matawang.

3) MAS dipulangkan semula kepada kerajaan untuk ditadbir.

4) Pembangunan ekonomi domestik dilancar.

Contohnya ialah dengan mewajibkan beberapa matapelajaran disampaikan dalam Bahasa Inggeris. Pengumuman ini mendadak sahaja diistiharkan sendiri oleh Dr Mahathir tanpa sebarang kajian atau rundingan. Pada hemat saya tujuannya mudah sahaja. Dalam sekelip mata sahaja bayangkan berapa ribu mungkin juta buku terpaksa diterjemah ke dalam bahasa Inggeris. Berapa ribu pula guru-guru akan dihantar untuk latihan berbahasa Inggeris. Tiba-tiba sahaja para penterjemah, pencetak buku, pembekal buku, kaunselor-kaunselor, hotel-hotel, dewan-dewan seminar mendapati keadaan mereka sibuk.

Tidak cukup dengan itu dilancarkan pula konsep satu komputer satu keluarga, satu sekolah satu makmal komputer dan satu guru satu komputer riba. Bayangkan kesannya pada keluarga, guru dan murid seluruh negara. Bagi keluarga yang tidak mampu boleh keluarkan wang KWSP untuk beli komputer.

Jalan-jalanraya persekutan, bandar dan kampung wajib dibaiki dan diturap.

Kerajaan menubuhkan Syarikat Perumahan Negara untuk menyiapkan rumah-rumah yang terbengkalai akibat syarikat perumahan gulung tikar. Ini memberi kerja kepada kontraktor-kontraktor yang menganggur.

Kesan pembangunan ekonomi domestik ini berjaya meredakan kegawatan ekonomi yang melanda. Sedikit demi sedikit keadaan pulih walaupun tidak seperti dulu. Rakyat boleh bernafas lega. Mereka merebut peluang yang ada dan belajar hidup berjimat-cermat.

Tahun 2001 dan seterusnya Malaysia hidup bergantung dengan pelan ekonomi domestik yang kini diperluaskan ke beberapa sektor lagi.

Harapan untuk mendapatkan pelaburan dari luar negara sangat tipis kerana mereka membawa pelaburan mereka ke negara India, Cina dan Vietnam.

Setelah selesai tugasnya Dr Mahathir pun bersara dari kerajaan.

Walau bagaimanapun satu peristiwa yang tak mungkin saya lupakan ialah nasib bank Bumiputra.

Bank Bumiputra dilancarkan dalam zaman pemerintahan Tun Abdul Razak untuk:

a) Menyediakan dana untuk usahawan bumiputra.
b) Menjadi tonggak sistem kewangan bumiputra.

Bank Bumiputra tersungkur ke bumi ketika negara dilanda kegawatan matawang. Bukan orang lain yang menjatuhkannya ... kita juga.

a) Kita membenarkan dana bank digunakan tanpa had oleh syarikat-syarikat kita yang tamak.
b) Pemegang amanah bank tidak mentadbirnya dengan amanah dan rasa tanggungjawab.
c) Bila syarikat yang tamak itu runtuh mereka membawa bank itu runtuh bersama mereka.

Bank Bumiputra dijual kepada Bank of Commerce yaitu sebuah bank yang lebih kecil dari Bank Bumiputra. Anda siasat sendiri asal-usul bank of Commerce anda akan terkejut.

Kemudian bank of Commerce beralih tangan dan dimiliki oleh adik Najib Razak yang kini diberi nama CIMB.

Ironinya Tun Razak melancarkan Bank Bumiputra untuk bangsanya, bumiputra tapi ianya berakhir ke dalam genggaman anaknya sendiri!!!

(ikuti siri akhir Wawasan 2020 di masa yang akan datang)


Thursday, August 25, 2011

Wawasan 2020

Bahagian 1
Sebuah Permulaan
---------------------------------------------------------------------------------------

Ianya ilham Perdana Menteri ke 4 Malaysia, Dr Mahathir Mohammad.

Secara ringkas Wawasan 2020 memacu Malaysia dan warganya ke arah menjadi sebuah negara maju yang dihuni oleh rakyatnya yang maju dalam pemikiran, industri dan akhlak serta berani bersaing dan berdikari di atas pentas dunia.

Dua perkara penting menjadi sasaran; ekonomi dan peribadi warganya.

Peribadi Warga Malaysia

1) Waktu dipercepatkan 1 jam lebih awal. Rakyat Malaysia terpaksa bangun lebih awal untuk memulakan hari mereka.

2) Dasar Pandang ke Timur diterapkan. Rakyat digalakkan mengamalkan budaya kerja rakyat Jepun yang mementingkan ketaatan kepada majikan, kreatif di dalam melaksanakan tugas, rajin dan istiqamah ketika bekerja.

3) Menyingkirkan pesaing-pesaing politik yang bersikap konservatif yang diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam. Dr Mahathir berkeyakinan jika dibiarkan pengaruh mereka berkembang dalam parti nescaya projek mega Wawasan 2020 akan terbantut.

Dari rentetan beberapa peristiwa politik dalaman parti maka UMNO telah diharamkan. Ianya diganti dengan UMNO Baru yang dipimpin oleh Dr Mahathir. Beliau menyusun kepimpinan baru yang radikal termasuk Daim Zainuddin, Anwar Ibrahim, Muhammad Taib, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak. Mereka melaungkan slogan MELAYU BARU sebagai pembangkit semangat warga Melayu untuk mengejar impian menjadi bangsa maju dunia.

4) Melemahkan pengaruh Islam konservatif yang diperjuangkan oleh PAS dan Arqam.

Pengaruh ABIM yang berwatakan Islam Progresif yang dinaungi oleh Anwar Ibrahim berjaya mengendurkan pengaruh PAS.

Manakala dengan kerjasama Pasukan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Agama Islam Malaysia Darul Arqam berjaya diharamkan, aktiviti dan perniagaan mereka disekat lantas pengaruh mereka terus berkurangan.

Dengan kejayaan-kejayaan besar ini Dr Mahathir menumpukan kepada agenda keduanya.

Kemakmuran Ekonomi

1) Prasarana negara digerakkan besar-besaran.

Lebuhraya PLUS disempurnakan sehingga ke Bukit Kayu Hitam. Jambatan Pulau Pinang menghubungkan tanah daratan dengan pulau tersebut. Pantai Timur dan Pantai Barat dihubungkan dengan Lebuhraya Timur-Barat. Lebuhraya kedua Elite dibina menuju Klang dan ke utara tanah air.

Kotaraya Kuala Lumpur dilakarkan dengan berbagai lebuhraya penyuraian trafik seperti Kerinci Link, LDP dan sebagainya.

Pengangkutan pilihan seperti sistem komuter, STAR, Putra dan Monorail dilancarkan serentak. Pengangkutan bas-bas awam swasta disatukan bawah satu syarikat, Cityliner.

2) Aset negara diswastakan.

MAS diberi kepada Tajuddin Ramli. KTM kepada Renong. MISC kepada Mirzan Mahathir. TNB, Telekom Malaysia, Pos Malaysia dan Felda dikorporatkan. Sebahagian penswastaan hospital dikongsi oleh Tongkah dan MediCare. Kemasukan ke pusat pengajian tinggi diringankan dengan sekim PTPTN serta program-program berkembar dengan pusat-pusat pengajian tinggi luar negara.

3) Sistem komunikasi negara diberikan nafas baru. Maka lahirlah MAXIS, Celcom, Sapura, DiGi, Mobikom, Astro dan MegaTV.

Koridor raya multimedia dilancarkan. Kotanya di Cyberjaya. Rakyat Malaysia dikejutkan dengan dunia siber. Internet menjadi buah hati rakyat yang sedang berlari ke arah kemajuan.

4) Industri berat menjadi pemangkin menggerakkan ekonomi mega. Syarikat yang diamanahkan menjalankannya termasuklah HICOM dan Perwaja. Projek kesayangan Dr Mahathir ialah pembinaan industri kereta nasional, Proton.

Bila pembangunan bertambah rancak maka bangunan-bangunan pejabat wajib dibina. Lahirlah bangunan Dayabumi, PWTC dan Petronas Twin Tower.

Pentadbiran kerajaan pusat dipindahkan ke kawasan baru, Putrajaya.

5) Rakyat bertambah mewah dan mereka perlukan rumah. Kerajaan pimpinan Dr Mahathir memberi kemudahan kepada syarikat perumahan dengan menggalakkan sekim pengambilan deposit dan bina. Maksudnya rumah ditempah lebih awal dan setelah cukup kuota baru dibina.

6) Untuk menggalakan warga Melayu menabung sekim ASN/ASB dilancarkan sebagai sokongan kepada sekim Tabung Haji. Kedua-dua sekim ini ternyata sangat berjaya.

Tahun-tahun 1991 - 1997 kepesatan pembangunan material begitu dirasakan. Rakyat mewah, makanan serba cukup, keadaan politik stabil dan rata-rata semuanya yakin Wawasan 2020 bakal dicapai lebih awal.

Kemewahan yang dikecapi sekaligus merabunkan rakyatnya. Mereka terlupa pada hukum alam. Yang hidup pasti mati, yang kecil akan membesar. Yang muda menjadi tua. Yang naik pasti turun. Yang segar akan layu.

Impian Dr Mahathir dan rakyat Malaysia bakal dilanda tsunami pada Oktober 1997.

(ikuti siri ke 2)