Tuesday, April 15, 2014

DUA DEKAD DALAM RENUNGAN

Penerapan Nilai-nilai Islam telah dilancarkan sejak 90an lagi. Projek ini ialah dasar Islamisasi parti UMNO untuk mengimbangi pengaruh PAS. Ada yang mengatakan ia dibawa masuk oleh saudara Anwar Ibrahim yang menimba pengalaman itu dari ABIM.

Setelah dua dekad projek ini terlaksana banyak perubahan yang kita nampak dan rasa.


  1. Kita ada JAKIM, JAIS, MAINS, YADIM dan sebagainya. Tugas mereka menyelaraskan urusan agama antara pemerintah, rakyat dan ilmuan agama.
  2. Kita ada Bank Islam, Bank Muamalat, Ar Rahnu dan sebagainya. Ia memberi pilihan kepada muslimin untuk menyimpan duit, memohon hutang dan membuat pelaburan.
  3. Kita ada UIA, KUIS, Kolej-kolej Islam, pendidikan Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah dan sebagainya. Ia memberi peluang anak-anak kita memperdalami ilmu agama yang banyak cabang-cabangnya seperti fiqah, syarii, usuluddin dan sebagainya.
  4. Kita ada mahkamah Syariah dan peguam-peguam Syarii untuk orang kita mencari keadilan undang-undang dan menyelesaikan pertikaian keluarga, harta, warisan dan sebagainya.
  5. Kita ada AlKuliyyah, Forum Perdana, 3 Ustazah, dokumentari mengenai perkembangan agama seperti Jejak Rasul dan sebagainya. Semua ini memberi peluang kepada para muslimin untuk mendalami pemahaman mereka tentang ajaran agama mereka.
  6. Kita juga ada produk Tuk Guru, Air Jampi Anugerah, produk-produk yang bersandarkan dari kebersihan yang dicadangkan oleh agama demi untuk kesihatan lahir-batin para muslimin. Termasuk juga produk-produk yang menutup aurat seperti tudung dan jubah.
  7. Kita ada YouTube, Facebook, Twitter dan blog-blog yang berunsurkan keagamaan. Semua ini memberi peluang kepada muslimin bertukar-tukar fikiran, berdebat, bermuzakarah, mencari jawapan kepada masalah berkaitan agama, merujuk tafsir al Quran dan Hadith, mendengar ceramah-ceramah agama dan seribu satu macam lagi kegunaan terutama dalam merawat penyakit jahil dan was-was.
  8. Kita ada program Ustazah Pilihan, Imam Muda, Pencetus Ummah dan banyak lagi. Program ini melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang berjiwa agama.
  9. Kita ada NGO yang berteraskan agama untuk memperjuangkan sebahagian khalayak yang terpinggir.
  10. Kita ada Pusat Zakat dan Tabung Haji untuk membantu kita menguruskan rukun Islam ke 4 dan ke 5.
Jika ditilik daripada apa yang kita ada hari ini saya benar-benar merasakan yang saya berada di dalam sebuah negara yang mengamalkan dasar yang dianjurkan oleh agama kita yaitu:
  • Keadilan undang-undang syarii yang menyangkut pemimpin dan rakyat (tidak ada pilih kasih) seperti skandal feedlot.
  • Bahawasanya pemimpin dan rakyat menghormati antara satu sama lain. Bukan seperti skandal 3 Datuk dengan video lucah mereka, sumpah laknat pemimpin dan yang dipimpin, maki-hamun para blogger dengan pemimpin, maki-cerca antara fahaman agama yang berlainan dan kafir-mengkafr antara parti dan fahaman agama yang berlainan.
  • Sikap berjimat-cermat. Bukan ketirisan belanjawan yang dilaporkan setiap tahun oleh Ketua Audit Negara atau pembaziran dan sikap menunjuk-nunjuk para pemimpin dan mereka yang berada dalam menyambut hari lahir mereka dan kawin anak mereka.
  • Bersederhana dalam memuji Baginda Utusan. Bukan seperti majlis Yahana di mana lelaki-perempuan berada dalam satu dewan atau padang ramai-ramai mendendangkan selawat (dan ada juga iringan rebana) dengan mainan lampu (ala konsert penyanyi popular). Atau berarak ketika Maulidur Rasul sambil mendendangkan selawat ke arah destinasi pilihan.
Ada banyak lagi sebenarnya. Anda perlu buka mata dan telinga untuk menangkap semuanya ini.

Oleh itu saya terfikir begini:
  • Adakah kita masih dalam peringkat penyesuaian kaedah penerapana nilai-nilai Islam ini?
  • Atau kita telah menjadi satu bangsa yang sombong, serba-tahu dan gagah kerana kejayaan kita yang hebat dalam memodenkan agama ini?
Sekian.