Saturday, May 7, 2016

Sang Pendeta dan Buku Kehidupan

Di zaman dahulu kala di sebuah desa penduduknya menemui sebuah buku. Tulisannya asing dan tidak difahami. Lalu buku itu diserahkan kepada Sang Pendeta.

Sang Pendeta membaca, menafsir, mencerakin dan merumuskan kandungannya. Terbentuklah rukun dan hukum, tata-cara dan upacara, ilmu dan amal serta budi dan cara. Ke semua ini tujuannya tidak lain memberi kesejahteraan, kesempurnaan dan kelestarian hidup masyarakat desa ketika itu.

Risalah Sang Pendeta mendapat perhatian. Rukun dan hukumnya menjadi pegangan. Tata-cara dan upacara menjadi amalan. Ilmu dan amal menjadi pakaian. Budi dan cara menjadi perhiasan.

Dari satu keturunan ke keturunan yang lain risalah dibekalkan. Ia dinobatkan sebagai Risalah Kesempurnaan Abadi. Tidak boleh diubah. Tidak boleh disanggah.

Para alim risalah mengulang-ulang cerita lama. Setiap tahun itu-itu juga yang digebangkan. Itu-itu juga yang dijadikan sandaran.

Seribu tahun kemudiannya ...

Zaman berubah. Budaya bercambah. Manusia membiak. Pemikiran berkembang. Sains dan teknologi menguasai alam.

Desa menjadi pekan. Hutan menjadi taman. Sungai menjadi empangan. Langit tempat kunjungan. Dunia mendapat teman (yaitu dunia maya).

Alam yang luas menjadi kecil gara-gara kemajuan teknologi. Perjalanan yang jauh menjadi dekat. Ilmu dan maklumat berada di hujung jari.

Risalah Pendeta masih yang itu-itu juga. Rukun dan hukumnya dirasakan keterlaluan.  Tata-cara dan upacaranya dianggap beban. Ilmu dan amalnya mengundang persoalan. Budi dan caranya tidak lagi mesra zaman.

Penganutnya terjerat dalam terowong masa; ibarat rusa masuk kampung. Risalah Pendeta diancam kemunculan gelombang "penafsiran baru dan pemikiran baru". Kewibawaan penganutnya tercabar.

Anehnya mereka tidak kembali kepada Buku Kehidupan untuk mencari jawapan. Di situlah rahsia kesejahteraan yang digali Sang Pendeta dahulu kala. Mereka berdegil dengan risalah yang jauh ketinggalan.

Mereka pun dihimpit kejahilan. Maruah diinjak bangsa yang terkedepan. Keupayaan mencipta sesuatu untuk kesejahteraan bangsa tidak tahu. Untuk kesejahteraan hidup semuanya bergantung kepada mereka yang jauh lebih mesra zaman.

Akhirnya mereka berbalah sesama sendiri.  "Segala yang lain" wajib diperangi. Walaupun dia saudara sendiri.

Mereka tidak mahu mengaku jahilnya diri. Tidak mahu mencari dan membaiki kelemahan sendiri. Teruskan percaya membuta-tuli. Namun kembali kepada Buku Kehidupan mencari semula mutiara yang hilang sangat dihindari.

Hari ini kandungan Buku Kehidupan menjadi bait-bait syair yang dilagukan.

Penyair yang bergurindam dengan langgam yang indah dan berseni ditaburkan dengan berbagai hadiah. Diwar-warkan ganjarannya dari dunia bersambung ke akhirat.

Di akhirat kononnya penyair itu akan diteman dan dihiburkan oleh dewa-dewa dan dewi-dewi yang cantiknya tidak terperi. Maka sang penganut diulit mimpi sehinggalah ke hari ini.

Sekian.

Tuesday, April 15, 2014

DUA DEKAD DALAM RENUNGAN

Penerapan Nilai-nilai Islam telah dilancarkan sejak 90an lagi. Projek ini ialah dasar Islamisasi parti UMNO untuk mengimbangi pengaruh PAS. Ada yang mengatakan ia dibawa masuk oleh saudara Anwar Ibrahim yang menimba pengalaman itu dari ABIM.

Setelah dua dekad projek ini terlaksana banyak perubahan yang kita nampak dan rasa.


  1. Kita ada JAKIM, JAIS, MAINS, YADIM dan sebagainya. Tugas mereka menyelaraskan urusan agama antara pemerintah, rakyat dan ilmuan agama.
  2. Kita ada Bank Islam, Bank Muamalat, Ar Rahnu dan sebagainya. Ia memberi pilihan kepada muslimin untuk menyimpan duit, memohon hutang dan membuat pelaburan.
  3. Kita ada UIA, KUIS, Kolej-kolej Islam, pendidikan Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah dan sebagainya. Ia memberi peluang anak-anak kita memperdalami ilmu agama yang banyak cabang-cabangnya seperti fiqah, syarii, usuluddin dan sebagainya.
  4. Kita ada mahkamah Syariah dan peguam-peguam Syarii untuk orang kita mencari keadilan undang-undang dan menyelesaikan pertikaian keluarga, harta, warisan dan sebagainya.
  5. Kita ada AlKuliyyah, Forum Perdana, 3 Ustazah, dokumentari mengenai perkembangan agama seperti Jejak Rasul dan sebagainya. Semua ini memberi peluang kepada para muslimin untuk mendalami pemahaman mereka tentang ajaran agama mereka.
  6. Kita juga ada produk Tuk Guru, Air Jampi Anugerah, produk-produk yang bersandarkan dari kebersihan yang dicadangkan oleh agama demi untuk kesihatan lahir-batin para muslimin. Termasuk juga produk-produk yang menutup aurat seperti tudung dan jubah.
  7. Kita ada YouTube, Facebook, Twitter dan blog-blog yang berunsurkan keagamaan. Semua ini memberi peluang kepada muslimin bertukar-tukar fikiran, berdebat, bermuzakarah, mencari jawapan kepada masalah berkaitan agama, merujuk tafsir al Quran dan Hadith, mendengar ceramah-ceramah agama dan seribu satu macam lagi kegunaan terutama dalam merawat penyakit jahil dan was-was.
  8. Kita ada program Ustazah Pilihan, Imam Muda, Pencetus Ummah dan banyak lagi. Program ini melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang berjiwa agama.
  9. Kita ada NGO yang berteraskan agama untuk memperjuangkan sebahagian khalayak yang terpinggir.
  10. Kita ada Pusat Zakat dan Tabung Haji untuk membantu kita menguruskan rukun Islam ke 4 dan ke 5.
Jika ditilik daripada apa yang kita ada hari ini saya benar-benar merasakan yang saya berada di dalam sebuah negara yang mengamalkan dasar yang dianjurkan oleh agama kita yaitu:
  • Keadilan undang-undang syarii yang menyangkut pemimpin dan rakyat (tidak ada pilih kasih) seperti skandal feedlot.
  • Bahawasanya pemimpin dan rakyat menghormati antara satu sama lain. Bukan seperti skandal 3 Datuk dengan video lucah mereka, sumpah laknat pemimpin dan yang dipimpin, maki-hamun para blogger dengan pemimpin, maki-cerca antara fahaman agama yang berlainan dan kafir-mengkafr antara parti dan fahaman agama yang berlainan.
  • Sikap berjimat-cermat. Bukan ketirisan belanjawan yang dilaporkan setiap tahun oleh Ketua Audit Negara atau pembaziran dan sikap menunjuk-nunjuk para pemimpin dan mereka yang berada dalam menyambut hari lahir mereka dan kawin anak mereka.
  • Bersederhana dalam memuji Baginda Utusan. Bukan seperti majlis Yahana di mana lelaki-perempuan berada dalam satu dewan atau padang ramai-ramai mendendangkan selawat (dan ada juga iringan rebana) dengan mainan lampu (ala konsert penyanyi popular). Atau berarak ketika Maulidur Rasul sambil mendendangkan selawat ke arah destinasi pilihan.
Ada banyak lagi sebenarnya. Anda perlu buka mata dan telinga untuk menangkap semuanya ini.

Oleh itu saya terfikir begini:
  • Adakah kita masih dalam peringkat penyesuaian kaedah penerapana nilai-nilai Islam ini?
  • Atau kita telah menjadi satu bangsa yang sombong, serba-tahu dan gagah kerana kejayaan kita yang hebat dalam memodenkan agama ini?
Sekian.

Tuesday, December 10, 2013

Di Mana Silapnya?

Agama Kesejahteraan diturunkan dan disempurnakanNya di bumi Mekah. Ketika itu untuk berada di dalam keluarga agama yang Amat Agung ini sungguh mudah. Memadai dengan keyakinan mempersaksikan Tuhan yang Maha Esa serta mempersaksikan Kebenaran UtusanNya. Selebihnya urusan anda dengan Tuhan dan masyarakat sekeliling dibimbing oleh Wahyu yang disampaikan oleh Baginda Utusan.

Beratus tahun telah berlalu. Wahyu yang ditekskan dan dibukukan dikaji, dibincang, dicerakinkan dan akhirnya dirumuskan oleh mereka yang bijak pandai.

Maka muncullah satu Zaman Baru. Agama Kesejahteraan melalui satu transformasi radikal. Pengertian Agama Kesejahteraan bergantung kepada rumusan mereka yang bijak pandai ini. Generasi baru memahami Agama dengan bertaklidkan Imam yang merumuskan petunjuk Wahyu itu! Lahirlah pelbagai fahaman dan aliran: Salafi, Syafie, Syiah, Asyariah, Muktazilah dan itu dan ini sehingga tidak ada penghujung sehinggalah ke hari ini; Arqam, Ayah Pin, Rasul Melayu dan ... dan ... dan ...

Bila terlalu banyak aliran timbullah sengketa. Dekad ini sengketa yang paling besar dan berpanjangan ialah Sunni vs Syiah, Salafi vs Yang Lain-lain. Paksi sengketa ini satu saja yaitu "Puak aku lebih benar dari puak kamu!"

Sengketa Sunni vs Syiah kita saksikan banyak mayat bergelimpangan. 

Sengketa Salafi vs Yang Lain-lain kita saksikan perdebatan yang tak kunjung selesai dan selalunya berakhir dengan keputusan seri 0 - 0. Akhirnya debat ini menjadi gelanggang  ayam jantan muda untuk mempamerkan taji yang sedang menajam dan menunjukkan kepada pesaing kokok siapa yang paling lantang dan panjang.

Ada tiga 'kuasa besar" agama - Arab Saudi dengan fahaman Salafinya, Iran dengan fahaman Syiahnya dan Semenanjung Tanah Melayu dengan fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah @ aliran Syafie.

Arab Saudi mengeksport fahaman Salafi ke seluruh pelosok dunia. Iran mengeksport fahaman Syiah ke seluruh pelosok dunia. Tanah Semenanjung mengimport kedua-dua fahaman itu dengan banyaknya sehingga ianya menjadi ancaman dan cabaran kepada pemimpin-pemimpin agamanya!

Sudah-ada desas-desus dengan bantuan pemimpin negara bahawa fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah @ aliran Syafie akan dinobatkan sebagai "Agama Negara"! Katanya ia adalah sebagai benteng untuk melindungi fahaman itu dari diserang oleh fahaman-fahaman lain yang tidak sehaluan.

Jika seseorang bercita-cita untuk menjadi ahli keluarga Agama Kesejahteraan ini dia tidak cukup dengan mempersaksikan KeEsaan Tuhan yang Maha Tahu dan mempersaksikan Kebenaran UtusanNya malah dia kena memilih puak mana yang mesti disertainya. Jika enggan siapakah yang akan melindungnya jika dia terheret ke dalam sengketa tiga aliran yang besar ini?

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan Aku telah ridhai Islam itu jadi agama bagimu”. (QS. Al Maidah: 3).



  • Agama yang dimaksudkan oleh ayat di atas ini sangat Bersih dari campur-tangan fahaman sesiapa saja.
  • Hubungan kamu dengan Tuhanmu serta dengan makhluk-makhlukNya yang lain sewajarnya sederhana dan tidak melampaui batas. 
  • Jika bersengketa berdamai dan bermaaf-maafanlah serta pulangkanlah Kebenaran itu kepada Tuhan yang Memiliki Kebenaran.
  • Di Hari Akhir nanti segala bentuk fahaman yang datang dari akal-fikiran serta apa-apa saja agama negara akan musnah dan lenyap. Yang Kekal ialah Tuhan yang Memiliki Kebenaran dan yang Memiliki Hari Akhir itu.
  • Jadikan Tsunami 2004 dulu sebagai pengajaran di mana berdekad-dekad Muslimin berbunuhan sesama sendiri kerana ingin mengujudkan Negara Agama akhirnya musnah ditelan gelombang ombak ganas yang dicetuskan oleh gempa bumi! Sepatutnya anda sudah boleh mengaitkan tragedi itu dengan apa yang terjadi kepada kaum Nabi Luth, Nabi Salleh dan Nabi Nuh!

Sekian.




Friday, September 13, 2013

Orang Melayu dan Allah ... nya

Ini apa yang saya faham dari kandungan Al Quran:

1. Allah menjadikan langit dan bumi serta kandungannya dalam 6 masa:

  • Oleh itu Allah memiliki langit dan bumi serta isinya.
  • Allah ialah Tuhan Sekelian Alam.
2. Allah menjadikan jin dan manusia supaya menyembahNya.
  • Oleh itu Allah ialah Tuhan manusia dan jin.
  • Dan manusia ini terbagi kepada beberapa golongan; mukminin, muslimin, ahlul kitab (nasrani dan yahudi), munafiqin, musyrikin dan kafirin.
3. Allah menjamin rezeki makhlukNya.
  • Dia mengilhamkan kepada lebah untuk mengeluarkan madu.
  • Segala haiwan yang melata di bumi dan terbang di awan dijamin rezeki mereka. Dan mereka bertasbih kepada Tuhan mereka.
  • Oleh itu Allah ialah Tuhan segala yang hidup melata di bumi dan di angkasa.
4. Allah ialah Tuhan langit dan isinya.
  • Allah yang mengawal peredaran cakrawala supaya kekal di paksi masing-masing.
  • Allah yang menurunkan hujan dari langit.
  • Allah yang menerbitkan guruh dan halilintar.
5. Allah ialah Tuhan bumi dan isinya.
  • Allah yang menyuburkan rimba-raya dan hasil tanaman.
  • Allah yang mendatangkan gempa sebagai hukuman kepada bangsa yang ingkar.
  • Allah yang menjadikan gunung-ganang sebagai pasak bumi.
6. Allah ialah Yang Maha Perkasa. Tiada sekutu di sisinya.
  • Allah menghancurkan tentera Gajah yang hendak menyerang Kaabah.
  • Allah yang menggagalkan helah tentera musyrikin bila berperang dengan tentera muslimin.
  • Allah yang melenyapkan kaum Aad, Thamud dan lain-lain lagi.
7. Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki.
  • Pada umat Muhamad saw - al Quran.
  • Kepada kaum Nasrani - Injil.
  • Kepada kaum Yahudi - Taurat dan Zabur.
8. Ketika Nabi Nuh as dan Nabi Lut as tergerak hendak menyelamatkan anak dan isteri masing-masing dari banjr besar dan gempa bumi maka datanglah firman Allah yang lebih kurang maksudnya:
  • Engkau tidak diutuskan untuk menyelamatkan mereka.
  • Engkau diutuskan untuk memberi peringatan kepada mereka.
  • Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya. 
  • Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
9. Nama Allah itu eksklusif milik Allah sahaja. Berlindunglah kamu dengan nama Allah, nama ar Rahman.

10. Tiada sekutu bagi Allah. Sesiapa yang mengadakan sekutu bagiNya ... (nauzubilLah).

11. Dan akhir sekali ... Allah akan menghimpunkan segala manusia; mukminin, muslimin, ahlul kitab, munafiqin, musyrikin dan kafirin di padang masyhar untuk diadili. Dialah Tuhan segala manusia.

JADI :
  • Bagaimana pula nama Allah itu menjadi hak milik eksklusif orang Melayu?
  • Apakah hak orang melayu menghalang nama Allah digunakan oleh manusia lain?
  • Adakah orang melayu ingin bersekutu dengan Allah untuk memelihara namaNya?
  • Jika segelintir orang melayu memilih untuk menjadi sesat wajarkah kita menyelamatkan mereka serta memberi petunjuk kepada mereka? Inikan keluarga nabi Lut as dan nabi Nuh as ditegah dari berbuat demikian.
  • Tugas kita ialah memberi peringatan sahaja. Yang perlu kita lakukan ialah berdoa dan mohon perlindungan dari Allah yang Maha Perkasa supaya kita dan keluarga kita dalam RahmatNya serta kekal Islam mereka.
  • Jangan sekali-kali kita menceroboh daerah Ketuhanan.
  • Jika fenomena sesat di kalangan orang Melayu membimbangkan ini adalah ujian Allah kepada bangsa itu. Tilik dirimu sendiri. Apakah jenayah "agama" yang telah kamu lakukan?
Sekian.

Saturday, August 31, 2013

IQ Orang Kita

Baru-baru ini saya menonton satu ceramah agama di tv. Sudah lama saya tidak menonton ceramah agama sebab isi kandungannya saya anggap masih tahap "darjah 1". Saya perhatikan selalunya penceramah hanya syok sendiri dan para khalayak yang hadir tidak ubah seperti robot yang dipaksa mendengar gebang-gebang kosong. Akhirnya yang untung adalah para penceramah sebab mereka pulang dengan bayaran yang lumayan. Manakala para khalayak pada hemat saya pulang seperti mana mereka datang tadi.

Berbalik pada ceramah yang saya tonton tadi. Mukadimmahnya seperti ini:


  • Setiap butir nasi yang dimakan isteri sisuami akan dapat pahala. Bayangkan kalau sisuami ada 4 isteri. Maka bergandalah pahala sisuami!
  • Malah sisuami juga akan dapat pahala jika menggantikan getah seluar dalam isteri yang telah longgar!
  • Dan isi ceramah beralih kepada bidadari dan penghulu bidadari.
Semakin lama saya tonton semakin mual saya dibuatnya.

Inikah tahap IQ  orang kita?

Cuba tilik apa yang orang kita ada:
  • UIA, Kolej-kolej Islam, Sekolah Agama Tinggi, Sekolah Agama Rakyat dll.
  • JAKIM, JAIS, MUIS, Majlis Fatwa dll.
  • Mahkamah Syariah, Hakim dan Peguam Syarii, Kadi, Mufti dll.
  • Tabung Haji, Bank Islam, Bank Muamalat, Ar Rahnu dll.
  • Oasis, TV Hijrah ...
  • Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Fathul Bari, Ustaz Qazim, Ustaz Don, Ustaz Asri, Ustaz Rasul Dahri, Ustazah Nor Bahiyah dll.
  • Imam Muda, Ustazah Pilihan dll.
Dengan angkatan yang besar yang saya nyatakan di atas sepatutnya ilmu agama yang kita miliki sudah mencapai satu tahap yang hebat kalaupun tidak sehebat zaman kebangkitan keIlmuan Islam dulu.

Malangnya ia amat mengecewakan. 

Kemegahan pembangunan yang zahir tidak sepadan dengan pembangunan "fikiran" khalayak. Kalau dibiarkan "fikiran" ini akan terjerumus ke lembah jumud.

Bila saya fikir-fikirkan tidak hairanlah sebahagian khalayak yang jemu dengan "fikiran" yang tidak berkembang ini akhirnya mencari pilihan lain.

Jangan salahkan mereka yang menjadi ahli Arqam atau menganut fahaman Syiah atau menjadi Islam Liberal atau beralih kepada agama Kristian dan Hindu atau menolak agama sama sekali.

Nasihat saya ialah cari jalan untuk menjadikan keilmuan Islam ini sesuatu yang menyelerakan "fikiran" dan "rohani".

Di zaman kegemilangan kebangkitan ilmu Islam dulu khalayak sangat bebas berhujah dan mengupas kandungan ilmu itu sehingga ilmu itu dihormati dan dikaji oleh pelbagai bangsa dan agama.

Hari ini semuanya serba tidak boleh. Oleh itu "fikiran" menjadi kaku dan jumud.

Berbalik kepada kepada kandungan ceramah yang saya tonton itu.

Kita akan pulang satu hari nanti untuk meniti titian siratul mustaqim.

Adakah gebang mengenai nasi yang isteri makan dan getah seluar dalam isteri boleh menjamin keselamatan kita di titian siratul mustaqim?

Fikir-fikirkanlah.

Sunday, August 4, 2013

Dongeng Syafii, Salaf, Syiah dan ...

Dianggarkan lebih kurang 50+% penduduk Malaysia adalah Melayu (selepas ditolak etnik Cina, India, Kadazan, Iban, Asli dan lain-lain lagi). Dan 99+% berpusat di Semenanjung Tanah Melayu. Mungkin jumlahnya sekitar 15 juta? Dan penduduk Malaysia dianggarkan lebih kurang 26 juta orang. Dan dimaklumkan asalnya ke semua orang Melayu ini beragama Islam yang bermazhabkan Imam Syafii ra.

Hari ini (2013) Melayu Muslim berpecah kepada pelbagai aliran - Syafii, Salaf (aka Wahabi), Syiah, Tabligh, Al Arqam, Ayah Pin, Qadiani, Rasul Melayu, Muhammad Matahari, Kristian, Hindu, Atheis, Muslim Liberal, Jemaah al Quran, Anti Hadith, Sisters of Islam dan berbagai-bagai lagi sehingga tidak terhitung! Bagi satu bangsa yang amat kecil jumlahnya dibandingkan dengan bangsa dunia yang lain kepelbagaian aliran ini hanya menimbulkan persengketaan di antara mereka sehingga menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang menunggu masa untuk meledak sahaja. Ianya berlaku kerana penganut aliran yang terbesar sekali (Syafii) ingin mengekalkan status quo mereka.

Saya berfikir kenapa berlaku pengaliran keluar dari pemikiran Syafii? Dan bila ianya berlaku? Saya berpendapat ia berlaku bila Melayu Muslim keluar beramai-ramai dari "tempurung" mereka.

Bila negara Malaysia maju dan makmur generasi baru Muslim Melayu mula menjelajah dunia untuk mencari ilmu, berniaga dan membina karier di seberang laut. Dan mereka berdepan dengan aliran-aliran "baru" yang mencabar pemikiran Syafii yang bersifat "tradisional dan statik " itu.

Saya katakan pemikiran Syafii itu bersifat "tradisional dan statik" sebab ia diwariskan melalui guru-guru mengaji Quran, kitab-kitab lama dalam surau, pengajian pondok dan madrasah, sekolah-sekolah agama rakyat yang silibusnya "yang itu-itu juga" sejak zaman berzaman. Pemikiran Syafii sudah diubah-suai ke dalam budaya Melayu sehingga wujud ritual (contohnya) kenduri tahlil dan upacara "membatalkan" air sembahyang selepas akad nikah! Ianya sudah tidak tulen lagi.

Persoalannya kenapa berubah aliran? Kenapa tidak dibersihkan saja pemikiran Syafii kepada asalnya?

Pada hemat saya apabila sesuatu pemikiran itu sudah bercampur-aduk dengan budaya setempat ia sudah tidak selamat lagi. Inilah dilemma Melayu Muslim moden.

Untuk selamat dalam beragama kita wajib kembali kepada Allah dan Rasulnya. Tiada syarat lain. Dan untuk kembali kepada Allah dan Rasul kita perlu menjadi "umat Muhammad" sejati. Mengakui keRasulan Baginda sahaja belum mencukupi! Inilah kunci  kenapa berlaku perpindahan aliran itu.

Keterujaan untuk beramal seperti RasululLah saw dan seterusnya diakui umat oleh Baginda menjadi cita-cita Melayu Muslim.

1) Aliran Syafii

Secara ringkasnya kita diajar jalan ke syurga adalah "amar makruf, nahi mungkar" yaitu "buat yang disuruh tinggalkan yang dilarang". Selain dari Al Quran, Sunnah Rasul menjadi panduan untuk mempraktikkan "amar makruf nahi mungkar". Ajaran Syafii sangat terperinci sehingga apa yang tidak berhukum pada mazhab lain menjadi hukum dalam mazhab Syafii (contohnya)membaca qunut dan hukum bersentuhan kulit lelaki dan perempuan.

Ulamak-ulamak mereka (dalam konteks dan tulisan ini saya tujukan kepada bangsa Melayu sahaja) amat menonjol; dengan jubah dan serban dan kadangkala misai dan janggut sejemput. Ceramah-ceramah mereka lantang dan garang. Tidak ada tolak ansur. Mereka juga tidak segan-segan menyerang fahaman yang tidak sealiran. Pahala atau dosa. Pilih! Syurga atau neraka! Yang engkar tangkap dan penjara. Kemudian masukkan mereka dalam pusat pemulihan.

2) Aliran Salaf

Ia mudah dan ringkas. Ia dikatakan berasal dari kaum Salaf yang menghuni masjid sekitar Madinah dan Mekah sejak zaman Baginda masih hidup sehinggalah sesudah wafatnya Baginda. Ia dikatakan beramal seperti yang dilakukan Baginda. Tidak ada ada talkin, tahlil dan sebagainya. Yang mana tidak diamalkan oleh Baginda ditinggalkan sama sekali. Dan mereka ini (jika anda bergaul dengan mereka) sangat berlapang dada dan terbuka fikiran.

Ajaran Salaf adalah "direct to the point". Tidak berlebih-lebih dan tidak bertokok-tambah. Jika diajak berdebat tidak lari. Mereka sangat yakin dengan amalan RasululLah sehingga hujah mereka sukar ditepis. Tidak ada unsur kepercayaan khurafat di dalamnya.

3) Aliran Syiah

Aliran Syiah menawarkan satu jalan mudah untuk menjadi "kerabat" RasululLah (saw) yaitu beriman dengan Ahlul Bait! Ahlul Bait adalah Imam 12 yang menjadi tonggak ajaran Syiah. Imam 12 ialah cucu-cicit Imam Hasan dan Imam Husin (ra) yaitu anakanda Imam Ali (ra) dan Saiditina Fatimah (ra);  menantu dan anakanda Baginda RasululLah (saw).

Tawaran ini sangat eksklusif dan sukar untuk dipinggirkan. Tapi ia datang dengan satu pengorbanan besar. Anda wajib mencela para sahabat Nabi yaitu Abu Bakar (ra), Omar (ra) dan Othman (ra) serta Saiditina Aisyah (ra) isteri Nabi. Jika anda sanggup lakukan ertinya anda sudah bersedia memeluk aliran Syiah!

4) Aliran Al Arqam

Aliran ini tidak ketinggalan juga menjadikan Sunnah Rasul sebagai jalan ke surga. Malah mereka sangat ekstrim. Mereka berpakaian, makan-minum, beristeri dan berniaga seperti yang dilakukan oleh RasululLah (saw). Mereka berdikari dalam semua hal - perniagaan, pendidikan, tempat tinggal, karier dan politik. Dari jemaah yang kecil mereka berkembang menjadi jemaah yang besar dan berpengaruh. Akhirnya mereka menjadi mangsa percaturan politik UMNO sekitar tahun 90an dulu.

Ketika bangsa Melayu Muslim memerlukan kerajaan untuk bangun mereka telah lebih awal melakukannya secara kecil-kecilan. Ketika saya mengajar di Pekan, Pahang sekitar tahun-tahun 1970an saya melihat sendiri sekumpulan kecil ahli Arqam yang mengusahakan sebuah kilang roti yang kecil. Di samping itu mereka berniaga sayur-sayuran yang ditanam sendiri.   Produk mereka menjadi pilihan utama Melayu Muslim di persekitaran Pekan sebab ianya dijamin halal dan bersih.

5) Tabligh

Aliran ini tujuan mereka adalah "menyampaikan" risalah Baginda Rasul (saw) kepada khalayak. Mereka akan berkampung di surau-surau atau masjid-masjid sambil berdakwah dan sesiapa yang berminat boleh mengikuti ceramah mereka. Makan-minum percuma.

Cara mereka yang santai dan tidak memaksa ini banyak menawan warga Melayu Muslim untuk menyertai mereka.

Saya rasa dengan 5 aliran yang terbesar ini pembaca budiman sudah dapat menangkap sebab-musabab kenapa perpecahan fahaman ini berlaku.

Seperti juga dengan percambahan pelbagai pasaraya masakini; Giant, Econsave, Kip Mart, Rapid, Jaya Jusco, Tesco dan lain-lain lagi sudah tentu kedai-kedai runcit akan mengalami tekanan dan persaingan perniagaan yang keras.

Dan yang menariknya (mafhumnya sebuah hadis) "umatku akan berpecah kepada 73 golongan hanya SATU sahaja yang diakui SAH".  Bangsa Melayu Muslim akan terus mencari yang SATU itu.

Sekian.

Saturday, June 1, 2013

Dongeng PRU 13

Tarikh 
5hb Mei 2013, hari Ahad.

Keputusannya (Parlimen)

  • Barisan Nasional - 133 kerusi (49% undi popular)
  • Pakatan Rakyat -    89 kerusi (51% undi popular) 
Pakatan Rakyat bukan sahaja kalah  walaupun mendapat 51% undi popular malah berjaya menambah 7 kerusi lagi dari PRU 12 yang lalu! Biar betul!!!

Memang betul. Pola pengundian begini hanya berlaku di sini (agaknyalah).

Akibat keganjilan keputusan ini maka seperti perbidalan Melayu lama "rumah siap pahat pun berbunyi."

Bunyi pahat dari BN
  • Pengundi Cina telah berpaling tadah kepada pembangkang!
  • Mereka tidak mengenang budi! 
  • "Apa lagi Cina mau?" Teriak mereka!
Bunyi pahat dari PR
  • Keputusan 27 kawasan parlimen diragui!
  • Pengundi hantu!
  • Blackout semasa pengiraan!
  • SPR berpakat dengan BN!
Apa dah jadi ni?

Mari kita berfikir secara waras. Kalau tak setuju pun tak apa. Berfikir ni percuma. Ianya hak peribadi sejak azali lagi. Setiap manusia dilahirkan dengan segumpal otak dalam kepala mereka. Otak itu tujuannya untuk berfikirlah. Kalau tak nak gunakan otak tu pun, boleh. Otak masing-masing tu masing-masing yang punya. Nak digunakan atau nak dibiarkan berkarat pun masing-masing punya keputusanlah.

Perihal bunyi pahat dari BN
  • Secara keseluruhannya penduduk Cina di Malaysia ialah 26% sahaja. Paling kurang yang dewasa dan boleh mengundi ( tolak/campur) mungkin 19%. Yang mengundi PR pun setelah dicongak-congak mungkin 15% sahaja.
  • PR dapat 51% undi popular. Tolak 15% undi Cina bakinya ialah 36%. Daripada mana datang bakinya tu? Dah tentulah dari pada orang Melayu, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya.
  • Jadi apa helah BN dalam tuduhan mereka itu? Seperti perbidalan Melayu lama, "pukul anak sindir menantu."
  • Adalah satu rahsia terbuka yang tauke-tauke besar Cina adalah rakan karib perniagaan pemimpin BN. Mereka ini ibarat "menantu". Faham-faham ajelah!
Perihal bunyi pahat dari PR
  • Pengundi hantu, blackout, SPR berat sebelah ... semua ini lagu lama. Sejak zaman berzaman lagi.  Dulu penyanyinya Dato Asri. Kemudian Hadi Awang. Kini Anwar Ibrahim. Tengoklah zamannya. Dulu rentak langgam. Hari ini rap (mungkin juga K-pop) tapi liriknya sama.
  • Seperti juga mana-mana lagu popular setelah puas didengari ia akan ditelan masa. Saya dengar lagu yang paling lama bertahan tahun 2012 ialah "Opa Gangnam Style."
Apa yang sebenarnya terjadi ni?

Ada beberapa perkara yang terlintas dalam fikiran saya.
  • Di dalam Malaysia kawasan luar bandar adalah kawasan yang paling banyak sekali. Ianya tertumpu di negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Trengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. 
  • Negeri yang dikira maju ialah di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor.
  • Kepadatan penduduk pula tidak seimbang. Di bandar-bandar kepadatan penduduk tersangat sendat. Ini berlaku sebab peluang pekerjaan dan projek perumahan hanya tertumpu di kawasan-kawasan berhampiran bandar. Oleh itu sebahagian besar penduduk luar bandar berhijrah ke bandar dan menetap di situ. Akibatnya kepadatan penduduk luar bandar menjadi longgar. Tidak hairanlah ada kawasan parlimen di bandar mempunyai ratusan ribu pengundi dan di luar bandar hanya ribuan pengundi sahaja!
  • Pembahagian kawasan pilihanraya pula ialah mengikut taburan kawasan bukannya taburan kepadatan penduduk. Oleh itu jumlah kawasan parlimen luar bandar adalah lebih banyak dari kawasan parlimen bandar.
  • Bila BN menakluki kawasan parlimen luar bandar sudah tentulah mereka yang memenangi PRU 13 walaupun undi popularnya hanya 49%.
  • Ingat BRIM? Ingat kedai 1Malaysia? Ingat klinik 1Malaysia? Ingat jalan-jalan raya yang diturap semasa kempen? Ingat kempen pemimpin-pemimpin Perkasa? Ingat siapa yang menjadi penghuni terbesar di kawasan-kawasan luar bandar? Kalau anda ingat tentu anda akan dapat kaitkan kenapa BN menguasai hati pengundi-pengundi di luar bandar!
Perihal undi popular 51%
  • Saya lebih terpanggil untuk mempercayai pola pengundian PRU 13 mencerminkan "peperangan kelas."  
  • Hari ini mereka yang berada di kelas menengah sangat tertekan dengan keadaan ekonomi yang tidak diurus dengan baik oleh kerajaan. 
  1. Harga rumah mahal dan terpaksa menanggung hutang selama 15 ke 25 tahun.
  2. Harga kereta/motor mahal sehingga mereka menanggung hutang selama 5 ke 10 tahun.
  3. Harga petrol mahal sehingga mengganggu perbelanjaan rumah walhal kita negara pengeluar minyak! Minyak terdapat di Kelantan, Trengganu dan Sarawak! Keuntungan Petronas berbillion ringgit.
  4. Tol merata-rata dan kadarnya sentiasa naik walaupun jumlah kenderaan bertambah setiap tahun!
  5. Anak-anak mereka menanggung hutang selepas keluar dari pusat pengajian tinggi walaupun belum bekerja lagi!
  6. Harga barang makanan, hiasan, perabot semuanya tinggi-tinggi belaka.
  7. Akibat semua ini kos saraan diri orang kelas menengah sangat tinggi sehinggakan gaji suami-isteri yang bekerja yang berjumlah RM6000/- sebulan dengan dua anak yang masih kecil sebenarnya tidak mencukupi!
  8. Dan rata-rata pengundi dari golongan ini berada di kawasan bandar! Tidak heranlah mereka memprotes melalui kertas undi!
  9. Ingat manifesto PR? Tiada tol, tiada PTPTN, petrol murah, kereta murah ... semua ini ditujukan khas kepada mereka yang dari golongan kelas menengah. Dan PR berjaya menguasai hati mereka! Lalu PR menguasai kawasan parlimen bandar!
Kalau BN dan PR sudah berjaya dengan strategi masing-masing kenapa "rumah siap pahat berbunyi."
  • Ini memang tabiat orang Melayu. Perbidalan "rumah siap pahat berbunyi" memang ditujukan kepada orang Melayu sejak zaman nenek moyang kita dulu. Zaman dulu orang Melayu bina rumah tak ada blueprint. Sebab itu bentuk rumah sama sahaja sebab tukang-tukangnya belajar dari guru yang sama. Bila rumah dah siap masa tulah baru teragak nak adakan satu bilik lagi sebab baru dapat menantu.
  • Orang Malaysia berpolitik 24/7 selama 365 hari! Selain daripada drama tv dan gossip artis hiburan yang paling seronok sekali ialah gossip politik. Gossip politik hari ini dah jadi sambal belacan. Lagi pedas lagi sedap!
Sepatutnya masa inilah BN dan PR pergi muhasabah diri. Buat post-mortem. 
  • Strategi yang menjadi dimantapkan lagi.
  • Yang tempang dibaiki.
  • Yang rosak dibuang.
  • Yang kurang ditambah.
  • Yang penuh ditatang.
  • Yang luka diubatkan.
  • Yang kecewa dipujuk.
  • Yang menang ditatang.
  • Yang lemah dilindungi.
  • Yang kuat dimenangi.
Jangan jadi Lebai Malang. Nak makan sedap akhirnya melepas dan balik kelaparan. Atau jadi Pak Kaduk. Menang sabung kampung tergadai. Atau jadi SiLuncai. Biarkan dia terjun dengan labunya. Atau jadi Pak Pandir dengan Mak Andeh. Asyik bertelagah tak kunjung reda.

Hmmm ... bila difikir-fikirkan balik BN dan PR ini tak ubah macam Pak Pandir dan Mak Andeh. Cuma siapa Pak Pandir dan siapa pula Mak Andeh?