Beratus tahun telah berlalu. Wahyu yang ditekskan dan dibukukan dikaji, dibincang, dicerakinkan dan akhirnya dirumuskan oleh mereka yang bijak pandai.
Maka muncullah satu Zaman Baru. Agama Kesejahteraan melalui satu transformasi radikal. Pengertian Agama Kesejahteraan bergantung kepada rumusan mereka yang bijak pandai ini. Generasi baru memahami Agama dengan bertaklidkan Imam yang merumuskan petunjuk Wahyu itu! Lahirlah pelbagai fahaman dan aliran: Salafi, Syafie, Syiah, Asyariah, Muktazilah dan itu dan ini sehingga tidak ada penghujung sehinggalah ke hari ini; Arqam, Ayah Pin, Rasul Melayu dan ... dan ... dan ...
Bila terlalu banyak aliran timbullah sengketa. Dekad ini sengketa yang paling besar dan berpanjangan ialah Sunni vs Syiah, Salafi vs Yang Lain-lain. Paksi sengketa ini satu saja yaitu "Puak aku lebih benar dari puak kamu!"
Sengketa Sunni vs Syiah kita saksikan banyak mayat bergelimpangan.
Sengketa Salafi vs Yang Lain-lain kita saksikan perdebatan yang tak kunjung selesai dan selalunya berakhir dengan keputusan seri 0 - 0. Akhirnya debat ini menjadi gelanggang ayam jantan muda untuk mempamerkan taji yang sedang menajam dan menunjukkan kepada pesaing kokok siapa yang paling lantang dan panjang.
Ada tiga 'kuasa besar" agama - Arab Saudi dengan fahaman Salafinya, Iran dengan fahaman Syiahnya dan Semenanjung Tanah Melayu dengan fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah @ aliran Syafie.
Arab Saudi mengeksport fahaman Salafi ke seluruh pelosok dunia. Iran mengeksport fahaman Syiah ke seluruh pelosok dunia. Tanah Semenanjung mengimport kedua-dua fahaman itu dengan banyaknya sehingga ianya menjadi ancaman dan cabaran kepada pemimpin-pemimpin agamanya!
Sudah-ada desas-desus dengan bantuan pemimpin negara bahawa fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah @ aliran Syafie akan dinobatkan sebagai "Agama Negara"! Katanya ia adalah sebagai benteng untuk melindungi fahaman itu dari diserang oleh fahaman-fahaman lain yang tidak sehaluan.
Jika seseorang bercita-cita untuk menjadi ahli keluarga Agama Kesejahteraan ini dia tidak cukup dengan mempersaksikan KeEsaan Tuhan yang Maha Tahu dan mempersaksikan Kebenaran UtusanNya malah dia kena memilih puak mana yang mesti disertainya. Jika enggan siapakah yang akan melindungnya jika dia terheret ke dalam sengketa tiga aliran yang besar ini?
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan Aku telah ridhai Islam itu jadi agama bagimu”. (QS. Al Maidah: 3).
- Agama yang dimaksudkan oleh ayat di atas ini sangat Bersih dari campur-tangan fahaman sesiapa saja.
- Hubungan kamu dengan Tuhanmu serta dengan makhluk-makhlukNya yang lain sewajarnya sederhana dan tidak melampaui batas.
- Jika bersengketa berdamai dan bermaaf-maafanlah serta pulangkanlah Kebenaran itu kepada Tuhan yang Memiliki Kebenaran.
- Di Hari Akhir nanti segala bentuk fahaman yang datang dari akal-fikiran serta apa-apa saja agama negara akan musnah dan lenyap. Yang Kekal ialah Tuhan yang Memiliki Kebenaran dan yang Memiliki Hari Akhir itu.
- Jadikan Tsunami 2004 dulu sebagai pengajaran di mana berdekad-dekad Muslimin berbunuhan sesama sendiri kerana ingin mengujudkan Negara Agama akhirnya musnah ditelan gelombang ombak ganas yang dicetuskan oleh gempa bumi! Sepatutnya anda sudah boleh mengaitkan tragedi itu dengan apa yang terjadi kepada kaum Nabi Luth, Nabi Salleh dan Nabi Nuh!
Sekian.
No comments:
Post a Comment