5hb Mei 2013, hari Ahad.
Keputusannya (Parlimen)
- Barisan Nasional - 133 kerusi (49% undi popular)
- Pakatan Rakyat - 89 kerusi (51% undi popular)
Pakatan Rakyat bukan sahaja kalah walaupun mendapat 51% undi popular malah berjaya menambah 7 kerusi lagi dari PRU 12 yang lalu! Biar betul!!!
Memang betul. Pola pengundian begini hanya berlaku di sini (agaknyalah).
Akibat keganjilan keputusan ini maka seperti perbidalan Melayu lama "rumah siap pahat pun berbunyi."
Bunyi pahat dari BN
- Pengundi Cina telah berpaling tadah kepada pembangkang!
- Mereka tidak mengenang budi!
- "Apa lagi Cina mau?" Teriak mereka!
Bunyi pahat dari PR
- Keputusan 27 kawasan parlimen diragui!
- Pengundi hantu!
- Blackout semasa pengiraan!
- SPR berpakat dengan BN!
Apa dah jadi ni?
Mari kita berfikir secara waras. Kalau tak setuju pun tak apa. Berfikir ni percuma. Ianya hak peribadi sejak azali lagi. Setiap manusia dilahirkan dengan segumpal otak dalam kepala mereka. Otak itu tujuannya untuk berfikirlah. Kalau tak nak gunakan otak tu pun, boleh. Otak masing-masing tu masing-masing yang punya. Nak digunakan atau nak dibiarkan berkarat pun masing-masing punya keputusanlah.
Perihal bunyi pahat dari BN
- Secara keseluruhannya penduduk Cina di Malaysia ialah 26% sahaja. Paling kurang yang dewasa dan boleh mengundi ( tolak/campur) mungkin 19%. Yang mengundi PR pun setelah dicongak-congak mungkin 15% sahaja.
- PR dapat 51% undi popular. Tolak 15% undi Cina bakinya ialah 36%. Daripada mana datang bakinya tu? Dah tentulah dari pada orang Melayu, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya.
- Jadi apa helah BN dalam tuduhan mereka itu? Seperti perbidalan Melayu lama, "pukul anak sindir menantu."
- Adalah satu rahsia terbuka yang tauke-tauke besar Cina adalah rakan karib perniagaan pemimpin BN. Mereka ini ibarat "menantu". Faham-faham ajelah!
Perihal bunyi pahat dari PR
- Pengundi hantu, blackout, SPR berat sebelah ... semua ini lagu lama. Sejak zaman berzaman lagi. Dulu penyanyinya Dato Asri. Kemudian Hadi Awang. Kini Anwar Ibrahim. Tengoklah zamannya. Dulu rentak langgam. Hari ini rap (mungkin juga K-pop) tapi liriknya sama.
- Seperti juga mana-mana lagu popular setelah puas didengari ia akan ditelan masa. Saya dengar lagu yang paling lama bertahan tahun 2012 ialah "Opa Gangnam Style."
Apa yang sebenarnya terjadi ni?
Ada beberapa perkara yang terlintas dalam fikiran saya.
- Di dalam Malaysia kawasan luar bandar adalah kawasan yang paling banyak sekali. Ianya tertumpu di negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Trengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
- Negeri yang dikira maju ialah di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor.
- Kepadatan penduduk pula tidak seimbang. Di bandar-bandar kepadatan penduduk tersangat sendat. Ini berlaku sebab peluang pekerjaan dan projek perumahan hanya tertumpu di kawasan-kawasan berhampiran bandar. Oleh itu sebahagian besar penduduk luar bandar berhijrah ke bandar dan menetap di situ. Akibatnya kepadatan penduduk luar bandar menjadi longgar. Tidak hairanlah ada kawasan parlimen di bandar mempunyai ratusan ribu pengundi dan di luar bandar hanya ribuan pengundi sahaja!
- Pembahagian kawasan pilihanraya pula ialah mengikut taburan kawasan bukannya taburan kepadatan penduduk. Oleh itu jumlah kawasan parlimen luar bandar adalah lebih banyak dari kawasan parlimen bandar.
- Bila BN menakluki kawasan parlimen luar bandar sudah tentulah mereka yang memenangi PRU 13 walaupun undi popularnya hanya 49%.
- Ingat BRIM? Ingat kedai 1Malaysia? Ingat klinik 1Malaysia? Ingat jalan-jalan raya yang diturap semasa kempen? Ingat kempen pemimpin-pemimpin Perkasa? Ingat siapa yang menjadi penghuni terbesar di kawasan-kawasan luar bandar? Kalau anda ingat tentu anda akan dapat kaitkan kenapa BN menguasai hati pengundi-pengundi di luar bandar!
Perihal undi popular 51%
- Saya lebih terpanggil untuk mempercayai pola pengundian PRU 13 mencerminkan "peperangan kelas."
- Hari ini mereka yang berada di kelas menengah sangat tertekan dengan keadaan ekonomi yang tidak diurus dengan baik oleh kerajaan.
- Harga rumah mahal dan terpaksa menanggung hutang selama 15 ke 25 tahun.
- Harga kereta/motor mahal sehingga mereka menanggung hutang selama 5 ke 10 tahun.
- Harga petrol mahal sehingga mengganggu perbelanjaan rumah walhal kita negara pengeluar minyak! Minyak terdapat di Kelantan, Trengganu dan Sarawak! Keuntungan Petronas berbillion ringgit.
- Tol merata-rata dan kadarnya sentiasa naik walaupun jumlah kenderaan bertambah setiap tahun!
- Anak-anak mereka menanggung hutang selepas keluar dari pusat pengajian tinggi walaupun belum bekerja lagi!
- Harga barang makanan, hiasan, perabot semuanya tinggi-tinggi belaka.
- Akibat semua ini kos saraan diri orang kelas menengah sangat tinggi sehinggakan gaji suami-isteri yang bekerja yang berjumlah RM6000/- sebulan dengan dua anak yang masih kecil sebenarnya tidak mencukupi!
- Dan rata-rata pengundi dari golongan ini berada di kawasan bandar! Tidak heranlah mereka memprotes melalui kertas undi!
- Ingat manifesto PR? Tiada tol, tiada PTPTN, petrol murah, kereta murah ... semua ini ditujukan khas kepada mereka yang dari golongan kelas menengah. Dan PR berjaya menguasai hati mereka! Lalu PR menguasai kawasan parlimen bandar!
Kalau BN dan PR sudah berjaya dengan strategi masing-masing kenapa "rumah siap pahat berbunyi."
- Ini memang tabiat orang Melayu. Perbidalan "rumah siap pahat berbunyi" memang ditujukan kepada orang Melayu sejak zaman nenek moyang kita dulu. Zaman dulu orang Melayu bina rumah tak ada blueprint. Sebab itu bentuk rumah sama sahaja sebab tukang-tukangnya belajar dari guru yang sama. Bila rumah dah siap masa tulah baru teragak nak adakan satu bilik lagi sebab baru dapat menantu.
- Orang Malaysia berpolitik 24/7 selama 365 hari! Selain daripada drama tv dan gossip artis hiburan yang paling seronok sekali ialah gossip politik. Gossip politik hari ini dah jadi sambal belacan. Lagi pedas lagi sedap!
Sepatutnya masa inilah BN dan PR pergi muhasabah diri. Buat post-mortem.
- Strategi yang menjadi dimantapkan lagi.
- Yang tempang dibaiki.
- Yang rosak dibuang.
- Yang kurang ditambah.
- Yang penuh ditatang.
- Yang luka diubatkan.
- Yang kecewa dipujuk.
- Yang menang ditatang.
- Yang lemah dilindungi.
- Yang kuat dimenangi.
Jangan jadi Lebai Malang. Nak makan sedap akhirnya melepas dan balik kelaparan. Atau jadi Pak Kaduk. Menang sabung kampung tergadai. Atau jadi SiLuncai. Biarkan dia terjun dengan labunya. Atau jadi Pak Pandir dengan Mak Andeh. Asyik bertelagah tak kunjung reda.
Hmmm ... bila difikir-fikirkan balik BN dan PR ini tak ubah macam Pak Pandir dan Mak Andeh. Cuma siapa Pak Pandir dan siapa pula Mak Andeh?
Good Writing.. Indeed :)
ReplyDelete