Di zaman dahulu kala di sebuah desa penduduknya menemui sebuah buku. Tulisannya asing dan tidak difahami. Lalu buku itu diserahkan kepada Sang Pendeta.
Sang Pendeta membaca, menafsir, mencerakin dan merumuskan kandungannya. Terbentuklah rukun dan hukum, tata-cara dan upacara, ilmu dan amal serta budi dan cara. Ke semua ini tujuannya tidak lain memberi kesejahteraan, kesempurnaan dan kelestarian hidup masyarakat desa ketika itu.
Risalah Sang Pendeta mendapat perhatian. Rukun dan hukumnya menjadi pegangan. Tata-cara dan upacara menjadi amalan. Ilmu dan amal menjadi pakaian. Budi dan cara menjadi perhiasan.
Dari satu keturunan ke keturunan yang lain risalah dibekalkan. Ia dinobatkan sebagai Risalah Kesempurnaan Abadi. Tidak boleh diubah. Tidak boleh disanggah.
Para alim risalah mengulang-ulang cerita lama. Setiap tahun itu-itu juga yang digebangkan. Itu-itu juga yang dijadikan sandaran.
Seribu tahun kemudiannya ...
Zaman berubah. Budaya bercambah. Manusia membiak. Pemikiran berkembang. Sains dan teknologi menguasai alam.
Desa menjadi pekan. Hutan menjadi taman. Sungai menjadi empangan. Langit tempat kunjungan. Dunia mendapat teman (yaitu dunia maya).
Alam yang luas menjadi kecil gara-gara kemajuan teknologi. Perjalanan yang jauh menjadi dekat. Ilmu dan maklumat berada di hujung jari.
Risalah Pendeta masih yang itu-itu juga. Rukun dan hukumnya dirasakan keterlaluan. Tata-cara dan upacaranya dianggap beban. Ilmu dan amalnya mengundang persoalan. Budi dan caranya tidak lagi mesra zaman.
Penganutnya terjerat dalam terowong masa; ibarat rusa masuk kampung. Risalah Pendeta diancam kemunculan gelombang "penafsiran baru dan pemikiran baru". Kewibawaan penganutnya tercabar.
Anehnya mereka tidak kembali kepada Buku Kehidupan untuk mencari jawapan. Di situlah rahsia kesejahteraan yang digali Sang Pendeta dahulu kala. Mereka berdegil dengan risalah yang jauh ketinggalan.
Mereka pun dihimpit kejahilan. Maruah diinjak bangsa yang terkedepan. Keupayaan mencipta sesuatu untuk kesejahteraan bangsa tidak tahu. Untuk kesejahteraan hidup semuanya bergantung kepada mereka yang jauh lebih mesra zaman.
Akhirnya mereka berbalah sesama sendiri. "Segala yang lain" wajib diperangi. Walaupun dia saudara sendiri.
Mereka tidak mahu mengaku jahilnya diri. Tidak mahu mencari dan membaiki kelemahan sendiri. Teruskan percaya membuta-tuli. Namun kembali kepada Buku Kehidupan mencari semula mutiara yang hilang sangat dihindari.
Hari ini kandungan Buku Kehidupan menjadi bait-bait syair yang dilagukan.
Penyair yang bergurindam dengan langgam yang indah dan berseni ditaburkan dengan berbagai hadiah. Diwar-warkan ganjarannya dari dunia bersambung ke akhirat.
Di akhirat kononnya penyair itu akan diteman dan dihiburkan oleh dewa-dewa dan dewi-dewi yang cantiknya tidak terperi. Maka sang penganut diulit mimpi sehinggalah ke hari ini.
Sekian.
Saturday, May 7, 2016
Subscribe to:
Posts (Atom)