Thursday, February 10, 2011

Wayang Kita dan Wayang Orang

Tonton wayang aksi orang punya nescaya selama 100 minit dalam panggung kita akan dicengkam keterujaan, kekaguman dan kelekaan.

Tonton wayang cinta orang punya nescaya selama 100 minit perasaan kita dibuai rasa kasih, benci dan lega.

Tonton wayang thriller orang punya nescaya selama 100 minit kita diserang debaran dan kejutan yang bertali-arus.

Kita kagum dengan kemantapan para pelakon mereka dan sering tertanya-tanya dari mana pelakon mereka diambil?

Kita tahu pelakon kita diambil dari penyanyi-penyanyi popular, pemenang raja lawak, budak-budak akademi fantasia, model-model iklan dan kaum-kerabat serta sahabat handai orang wayang.

Kita tahu ketika menonton wayang kita lebih banyak makan dan minum, menjawab SMS dan menggeliat kesejukan.

Kita juga tahu bila orang lain bertanya "Macam mana wayang kita?" jawapan kita selalunya begini, "Oklah!", "Bolehlah" dan kerap juga, "Hancur!"

Wayang kita menjadi longgar sebab lakon-layar yang sepatutnya bertahan selama 100 minit sering menjadi 70 minit selepas disunting. Untuk mengisi 30 minit yang berbaki itu ianya diisi dengan adegan-adegan "memenuhkan masa".

Dari pengalaman saya menjadi penyunting lakon-layar kelemahan ketara para penulis lakon-layar ialah kegagalan mereka menulis sebuah lakon-layar 100 minit yang padat dan berisi. Bila sebuah lakon-layar gagal dalam nasykah bertulis ianya akan gagal dalam panggung.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini ada beberapa wayang yang menjadi ingatan pada saya. Wayang "Gangster dan Castello" adalah wayang aksi yang lasak dan menghiburkan. Wayang "Cinta" membuka mata saya mengenai keragaman berkasih-sayang. Wayang "Man Laksa" mengingatkan saya pada kampung di tahun-tahun 60an dulu. "Jangan Pandang Belakang dan Congkak" mengingatkan saya pada ilmu saka orang Melayu. Dan "Mokhsin" adalah wayang klasik yang menghimbau kenangan.

Dibandingkan dengan wayang orang wayang kita masih tercungap-cungap lagi. Menjadi tanggung-jawab pembikin wayang yang akan datang untuk merapatkan jurang perbedaan wayang kita dan wayang orang.

Wayang Orang Kita

Wayang sebagai tajuk membawa maksud hasil filem dan drama tv. Kedua-duanya adalah karya seni orang kita. Seni adalah biasan fikiran dan citarasa bangsa. Ia terhasil dari pengalaman langsung dan tidak langsung pengkarya dengan kepelbagaian ragam dan karenah masyarakat sekelilingnya. Ia dipertontonkan untuk hiburan dan mungkin bertindak sebagai kritikan sosial bangsa kita.

Bagaimana orang seni kita melahirkan wayang mereka?

Ada dua cara lazim yang diamalkan.

Yang pertama muncul dari kata-kata keramat ini, "Oh! Saya ada satu cerita lain dari yang lain!" Kata-kata keramat ini boleh saja diucapkan oleh penerbit, pengarah, tukang solek atau sesiapa saja yang berkait dengan industri hiburan elektronik. Cerita ini akan dipanjangkan kepada penulis untuk dilakarkan. Jarang sekali penulis dapat menulis cerita-cerita yang mereka kehendaki. Kalau adapun ia akhirnya akan menjadi mangsa suntingan penerbit, pengarah dan sesiapa saja yang berkuasa ke atas penerbitan itu.

Cara kedua adalah permintaan dari pihak tv. Mereka mengatakan, "Tahun ini kita mahukan cerita mengenai hari ibu, hari ayah, merdeka ..." dan sebagainya. Maka bercemperalah penerbit mencari sesiapa saja yang boleh menulis untuk melakarkan cerita-cerita yang dikehendaki. Pun begitu cerita-cerita itu dikawal ketat oleh polisi stesen-stesen tv sehingga ruang untuk "berkarya" menjadi sempit.

Sejak zaman berzaman penulis adalah mata dan telinga bangsa mereka. Mereka bergelumang dengan karenah bangsa sambil memerhati, memikir dan merumuskan arah-tuju bangsa. Kemudian mereka persembahkan hasil rumusan itu dalam bentuk sebuah cerita.

Bila cerita itu sampai ke tangan penerbit atau stesen tv acapkali ianya akan disunting. Itu perkara biasa. Masalahnya kata putus suntingan itu berada di tangan mereka yang paling berkuasa. Jarang sekali buah fikiran penulis diambil kira.

Suntingan itu berlanjutan ketika shooting di mana pengarah, pelakon dan kesempitan kewangan memainkan peranan. Pengarah selalu memikirkan mereka adalah yang terhebat dan kerap mengubah-suai adegan-adegan kononnya untuk mengetatan cerita. Pelakon pula selalu tak faham dialog atau gagal menghafal lantas mereka-cipta kata-bual baru yang bertentangan dengan watak yang telah dicipta. Kesempitan kewangan pula memaksakan proses shooting dipendekkan dan diringkaskan.

Akhir sekali suntingan akan dilakukan buat kali penghabisan di kamar Lembaga Penapis Filem dan TV.

Bila ia dipersembahkan di khalayak ramai orang yang pertama tersinggung ialah penulis cerita. Acapkali penulis cerita akan merungut, "Itu bukan cerita yang aku tulis" atau "Apa yang aku tulis tak macam tu" atau "Macam mana cerita aku boleh jadi macam ini?".

Seingat saya sepanjang tahun 2010 kebanyakan wayang (bukan semua) yang saya tonton akan berakhir dengan keluhan begini, "Kesian", "Apa nak jadi dengan industri hiburan kita ni" dan "Macam syok sendiri aje".