Saturday, August 31, 2013

IQ Orang Kita

Baru-baru ini saya menonton satu ceramah agama di tv. Sudah lama saya tidak menonton ceramah agama sebab isi kandungannya saya anggap masih tahap "darjah 1". Saya perhatikan selalunya penceramah hanya syok sendiri dan para khalayak yang hadir tidak ubah seperti robot yang dipaksa mendengar gebang-gebang kosong. Akhirnya yang untung adalah para penceramah sebab mereka pulang dengan bayaran yang lumayan. Manakala para khalayak pada hemat saya pulang seperti mana mereka datang tadi.

Berbalik pada ceramah yang saya tonton tadi. Mukadimmahnya seperti ini:


  • Setiap butir nasi yang dimakan isteri sisuami akan dapat pahala. Bayangkan kalau sisuami ada 4 isteri. Maka bergandalah pahala sisuami!
  • Malah sisuami juga akan dapat pahala jika menggantikan getah seluar dalam isteri yang telah longgar!
  • Dan isi ceramah beralih kepada bidadari dan penghulu bidadari.
Semakin lama saya tonton semakin mual saya dibuatnya.

Inikah tahap IQ  orang kita?

Cuba tilik apa yang orang kita ada:
  • UIA, Kolej-kolej Islam, Sekolah Agama Tinggi, Sekolah Agama Rakyat dll.
  • JAKIM, JAIS, MUIS, Majlis Fatwa dll.
  • Mahkamah Syariah, Hakim dan Peguam Syarii, Kadi, Mufti dll.
  • Tabung Haji, Bank Islam, Bank Muamalat, Ar Rahnu dll.
  • Oasis, TV Hijrah ...
  • Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Fathul Bari, Ustaz Qazim, Ustaz Don, Ustaz Asri, Ustaz Rasul Dahri, Ustazah Nor Bahiyah dll.
  • Imam Muda, Ustazah Pilihan dll.
Dengan angkatan yang besar yang saya nyatakan di atas sepatutnya ilmu agama yang kita miliki sudah mencapai satu tahap yang hebat kalaupun tidak sehebat zaman kebangkitan keIlmuan Islam dulu.

Malangnya ia amat mengecewakan. 

Kemegahan pembangunan yang zahir tidak sepadan dengan pembangunan "fikiran" khalayak. Kalau dibiarkan "fikiran" ini akan terjerumus ke lembah jumud.

Bila saya fikir-fikirkan tidak hairanlah sebahagian khalayak yang jemu dengan "fikiran" yang tidak berkembang ini akhirnya mencari pilihan lain.

Jangan salahkan mereka yang menjadi ahli Arqam atau menganut fahaman Syiah atau menjadi Islam Liberal atau beralih kepada agama Kristian dan Hindu atau menolak agama sama sekali.

Nasihat saya ialah cari jalan untuk menjadikan keilmuan Islam ini sesuatu yang menyelerakan "fikiran" dan "rohani".

Di zaman kegemilangan kebangkitan ilmu Islam dulu khalayak sangat bebas berhujah dan mengupas kandungan ilmu itu sehingga ilmu itu dihormati dan dikaji oleh pelbagai bangsa dan agama.

Hari ini semuanya serba tidak boleh. Oleh itu "fikiran" menjadi kaku dan jumud.

Berbalik kepada kepada kandungan ceramah yang saya tonton itu.

Kita akan pulang satu hari nanti untuk meniti titian siratul mustaqim.

Adakah gebang mengenai nasi yang isteri makan dan getah seluar dalam isteri boleh menjamin keselamatan kita di titian siratul mustaqim?

Fikir-fikirkanlah.

Sunday, August 4, 2013

Dongeng Syafii, Salaf, Syiah dan ...

Dianggarkan lebih kurang 50+% penduduk Malaysia adalah Melayu (selepas ditolak etnik Cina, India, Kadazan, Iban, Asli dan lain-lain lagi). Dan 99+% berpusat di Semenanjung Tanah Melayu. Mungkin jumlahnya sekitar 15 juta? Dan penduduk Malaysia dianggarkan lebih kurang 26 juta orang. Dan dimaklumkan asalnya ke semua orang Melayu ini beragama Islam yang bermazhabkan Imam Syafii ra.

Hari ini (2013) Melayu Muslim berpecah kepada pelbagai aliran - Syafii, Salaf (aka Wahabi), Syiah, Tabligh, Al Arqam, Ayah Pin, Qadiani, Rasul Melayu, Muhammad Matahari, Kristian, Hindu, Atheis, Muslim Liberal, Jemaah al Quran, Anti Hadith, Sisters of Islam dan berbagai-bagai lagi sehingga tidak terhitung! Bagi satu bangsa yang amat kecil jumlahnya dibandingkan dengan bangsa dunia yang lain kepelbagaian aliran ini hanya menimbulkan persengketaan di antara mereka sehingga menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang menunggu masa untuk meledak sahaja. Ianya berlaku kerana penganut aliran yang terbesar sekali (Syafii) ingin mengekalkan status quo mereka.

Saya berfikir kenapa berlaku pengaliran keluar dari pemikiran Syafii? Dan bila ianya berlaku? Saya berpendapat ia berlaku bila Melayu Muslim keluar beramai-ramai dari "tempurung" mereka.

Bila negara Malaysia maju dan makmur generasi baru Muslim Melayu mula menjelajah dunia untuk mencari ilmu, berniaga dan membina karier di seberang laut. Dan mereka berdepan dengan aliran-aliran "baru" yang mencabar pemikiran Syafii yang bersifat "tradisional dan statik " itu.

Saya katakan pemikiran Syafii itu bersifat "tradisional dan statik" sebab ia diwariskan melalui guru-guru mengaji Quran, kitab-kitab lama dalam surau, pengajian pondok dan madrasah, sekolah-sekolah agama rakyat yang silibusnya "yang itu-itu juga" sejak zaman berzaman. Pemikiran Syafii sudah diubah-suai ke dalam budaya Melayu sehingga wujud ritual (contohnya) kenduri tahlil dan upacara "membatalkan" air sembahyang selepas akad nikah! Ianya sudah tidak tulen lagi.

Persoalannya kenapa berubah aliran? Kenapa tidak dibersihkan saja pemikiran Syafii kepada asalnya?

Pada hemat saya apabila sesuatu pemikiran itu sudah bercampur-aduk dengan budaya setempat ia sudah tidak selamat lagi. Inilah dilemma Melayu Muslim moden.

Untuk selamat dalam beragama kita wajib kembali kepada Allah dan Rasulnya. Tiada syarat lain. Dan untuk kembali kepada Allah dan Rasul kita perlu menjadi "umat Muhammad" sejati. Mengakui keRasulan Baginda sahaja belum mencukupi! Inilah kunci  kenapa berlaku perpindahan aliran itu.

Keterujaan untuk beramal seperti RasululLah saw dan seterusnya diakui umat oleh Baginda menjadi cita-cita Melayu Muslim.

1) Aliran Syafii

Secara ringkasnya kita diajar jalan ke syurga adalah "amar makruf, nahi mungkar" yaitu "buat yang disuruh tinggalkan yang dilarang". Selain dari Al Quran, Sunnah Rasul menjadi panduan untuk mempraktikkan "amar makruf nahi mungkar". Ajaran Syafii sangat terperinci sehingga apa yang tidak berhukum pada mazhab lain menjadi hukum dalam mazhab Syafii (contohnya)membaca qunut dan hukum bersentuhan kulit lelaki dan perempuan.

Ulamak-ulamak mereka (dalam konteks dan tulisan ini saya tujukan kepada bangsa Melayu sahaja) amat menonjol; dengan jubah dan serban dan kadangkala misai dan janggut sejemput. Ceramah-ceramah mereka lantang dan garang. Tidak ada tolak ansur. Mereka juga tidak segan-segan menyerang fahaman yang tidak sealiran. Pahala atau dosa. Pilih! Syurga atau neraka! Yang engkar tangkap dan penjara. Kemudian masukkan mereka dalam pusat pemulihan.

2) Aliran Salaf

Ia mudah dan ringkas. Ia dikatakan berasal dari kaum Salaf yang menghuni masjid sekitar Madinah dan Mekah sejak zaman Baginda masih hidup sehinggalah sesudah wafatnya Baginda. Ia dikatakan beramal seperti yang dilakukan Baginda. Tidak ada ada talkin, tahlil dan sebagainya. Yang mana tidak diamalkan oleh Baginda ditinggalkan sama sekali. Dan mereka ini (jika anda bergaul dengan mereka) sangat berlapang dada dan terbuka fikiran.

Ajaran Salaf adalah "direct to the point". Tidak berlebih-lebih dan tidak bertokok-tambah. Jika diajak berdebat tidak lari. Mereka sangat yakin dengan amalan RasululLah sehingga hujah mereka sukar ditepis. Tidak ada unsur kepercayaan khurafat di dalamnya.

3) Aliran Syiah

Aliran Syiah menawarkan satu jalan mudah untuk menjadi "kerabat" RasululLah (saw) yaitu beriman dengan Ahlul Bait! Ahlul Bait adalah Imam 12 yang menjadi tonggak ajaran Syiah. Imam 12 ialah cucu-cicit Imam Hasan dan Imam Husin (ra) yaitu anakanda Imam Ali (ra) dan Saiditina Fatimah (ra);  menantu dan anakanda Baginda RasululLah (saw).

Tawaran ini sangat eksklusif dan sukar untuk dipinggirkan. Tapi ia datang dengan satu pengorbanan besar. Anda wajib mencela para sahabat Nabi yaitu Abu Bakar (ra), Omar (ra) dan Othman (ra) serta Saiditina Aisyah (ra) isteri Nabi. Jika anda sanggup lakukan ertinya anda sudah bersedia memeluk aliran Syiah!

4) Aliran Al Arqam

Aliran ini tidak ketinggalan juga menjadikan Sunnah Rasul sebagai jalan ke surga. Malah mereka sangat ekstrim. Mereka berpakaian, makan-minum, beristeri dan berniaga seperti yang dilakukan oleh RasululLah (saw). Mereka berdikari dalam semua hal - perniagaan, pendidikan, tempat tinggal, karier dan politik. Dari jemaah yang kecil mereka berkembang menjadi jemaah yang besar dan berpengaruh. Akhirnya mereka menjadi mangsa percaturan politik UMNO sekitar tahun 90an dulu.

Ketika bangsa Melayu Muslim memerlukan kerajaan untuk bangun mereka telah lebih awal melakukannya secara kecil-kecilan. Ketika saya mengajar di Pekan, Pahang sekitar tahun-tahun 1970an saya melihat sendiri sekumpulan kecil ahli Arqam yang mengusahakan sebuah kilang roti yang kecil. Di samping itu mereka berniaga sayur-sayuran yang ditanam sendiri.   Produk mereka menjadi pilihan utama Melayu Muslim di persekitaran Pekan sebab ianya dijamin halal dan bersih.

5) Tabligh

Aliran ini tujuan mereka adalah "menyampaikan" risalah Baginda Rasul (saw) kepada khalayak. Mereka akan berkampung di surau-surau atau masjid-masjid sambil berdakwah dan sesiapa yang berminat boleh mengikuti ceramah mereka. Makan-minum percuma.

Cara mereka yang santai dan tidak memaksa ini banyak menawan warga Melayu Muslim untuk menyertai mereka.

Saya rasa dengan 5 aliran yang terbesar ini pembaca budiman sudah dapat menangkap sebab-musabab kenapa perpecahan fahaman ini berlaku.

Seperti juga dengan percambahan pelbagai pasaraya masakini; Giant, Econsave, Kip Mart, Rapid, Jaya Jusco, Tesco dan lain-lain lagi sudah tentu kedai-kedai runcit akan mengalami tekanan dan persaingan perniagaan yang keras.

Dan yang menariknya (mafhumnya sebuah hadis) "umatku akan berpecah kepada 73 golongan hanya SATU sahaja yang diakui SAH".  Bangsa Melayu Muslim akan terus mencari yang SATU itu.

Sekian.