Monday, April 26, 2010

Kisah Pak Malau

Cerita ini dikisahkan oleh kawan saya banyak tahun dahulu yaitu sekitar tahun 90an. Ianya mengenai pak Malau jirannya yang ketagih kopi.

Pak Malau tinggal dengan keluarganya nun jauh di utara sana. Ada rumah tengah sawah. Sawah pula berelong-relong. Setiap kali selepas subuh dan sebelum membenamkan kaki ke dalam lumpur sawah dia akan ke warung kopi pak Utih.

Kopi pak Utih ibarat tonik. Gogok dulu dua tiga cawan kopi pekat barulah bertenaga menghayun tajak dalam sawah. Subuh, pagi, tengah hari, petang dan malam mesti nak pekena dulu. Kalau tidak sehari suntuk badan lemah-longlai.

Ini bukan penyakit pak Malau seorang tapi penyakit yang melanda orang-orang kampung macam pak Malau! Bedanya pak Malau lagi teruk!

Walau tanah sawah luas tapi pak Malau bukannya orang senang. Cukup makan dan pakai aje. Seperti orang-orang kampung yang lain pak Malau bukan ada ilmu mengawal keluar-masuk hasil jualan padi. Ilmu nak menggandakan hasil padi pun tak ada. Ilmu kira-kira yang dia pakai ialah ilmu yang diwarisi dari nenek-moyangnya. Asalkan cukup untuk makan dan pakai sudah dikira senang!

Lain pak Utih orang yang berniaga. Setiap satu sen yang keluar atau masuk direkodkan. Aliran tunai ini akan dilaburkan supaya pendapatannya bertambah.

Hasil padi bukan sentiasa sama. Ianya bergantung pada musim kemarau, musim hujan, burung, tikus, benih dan keadaan tuan badan yang kadang-kala rajin, ada masanya malas dan kadang-kadang diserang sakit-pening.

Walau bagaimanapun perihal rutin minum kopi tetap sama! Sekali mengadap dah tentu lebih dari dua tiga cawan.

Banyak kali terjadi hasil padi sangat kurang dari hutang minum kopi. Pak Malau bayar dengan gadaikan sebahagian sawahnya.

Mula-mula ralat juga tapi hutang langsai. Taklah pening kepala. Bila beberapa relong telah digadaikan kepada pak Utih kerana nak bayar hutang terasa pula taklah berat sangat. Dari matanya yang memandang luas sawahnya tak nampak pun susut.

Ketagih kopi semakin mengancam. Pak malau cipta satu cara baru yang tak payah bergantung kepada hasil padi. Dia cagarkan sebahagian sawahnya kepada pak Utih. Kali ini dia pergi minum kopi tak payah bayar. Potong dari duit cagaran sawah!

Tahun demi tahun terasa minum kopi macam minum percuma. Tak payah lagi nak ke sawah.

Pak Utih baik hati. Dia benarkan anak-bini pak malau kerjakan sawah yang dicagarkan. Hasilnya boleh diambil tapi sekadar untuk makan-minum saja.

Pak malau lebih suka duduk berborak di warung sambil minum kopi.

Lama-kelamaan pak malau bukan saja ketagih kopi tapi ketagih berborak dan ketagih goyang kaki. Tahun demi tahun akhirnya sawah pak malau tergadai terus kepada pak Utih.

Bini pak malau mati beragan mengenangkan nasib malangnya. Anak-anaknya dah lama berhijrah cari padang baru.

Namun begitu pak Utih tidak berhajat nak beli tanah yang jadi tapak rumah pak malau di tengah sawah. Biarlah pak malau duduk sendirian di situ.

Sawah yang tergadai kini dikerjakan oleh pak Itam, pekerja pak Utih.

Setiap musim menuai pak Utih akan sedekahkan beras untuk pak malau. Taklah pak malau kelaparan. Perihal minum kopi pak Utih bagi percuma saja. Kesiankan pak malau. Di tangan pak Utih hasil sawah gadaian pak malau meningkat berlipat kali ganda! Maklumlah otak orang berniaga ini ligat buat duit!

Oleh kerana pak malau tinggal seorang diri di tengah sawah maka dibenarkannyalah pak Itam sekeluarga buat rumah di tanah sekangkang kera itu. Setidak-tidaknya taklah pak malau keseorangan. Sakit-pening ada juga yang datang tengok.

Satu hari pak Itam bertanya, "Kalau kau mati 'sok apa jadi pada tanah ni?"

Pak malau tersengih, "Anak-anak aku semuanya dah pergi entah ke mana. Merajuk sebab tanah sawah ni terlepas ke Utih. Kalau aku mati 'sok tanah ini kaulah ambik. Aku pun dah takde kawan lagi melainkan kau dan Utih aje."

Kawan saya dengarnya dah pulang ke utara. Dia sibuk dengan ternakan udang harimaunya. Apa jadi pada pak malau hari ini saya pun tak tau.

Friday, April 9, 2010

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Apa yang kita boleh belajar dari dia?

Semangatnya!

Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir orang yang paling berkuasa satu ketika dulu telah menggunakan segala kelengkapan negara yaitu polis dan ketuanya, pasukan risikan, surat-suratkhabar perdana, mahkamah, Umno, radio dan televisyen dan apa sajalah untuk menjatuhkan, menghina dan mengaibkan beliau.

Setelah dipecat dari kerajaan dan UMNO beliau menjadi rakyat biasa seperti kita. Beliau tidak patah semangat. Dengan sokongan keluarga, sahabat-handai dan rakyat yang masih lagi boleh berfikir beliau bangun untuk menegakkan maruah dan keadilan yang tidak diberikan kepada beliau.

10 tahun kemudian beliau buktikan kuasa besar itu boleh dikalahkan jika kita ada semangat dan kepercayaan kepada diri dan Tuhan!

Itu sebab beliau sangat digeruni sebab semangat yang begitu sudah lama hilang dari bumi Melayu.

Perbidalan melayu ada mengatakan:

  1. Genggam bara api biar sampai jadi bara.
  2. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
  3. Biar putih mata jangan putih tulang.
  4. Sebelum ajal berpantang maut.

Ini semangat orang Melayu! Orang Melayu dulu-dulu! Bukan orang Melayu sekarang!

Semangat ini jugalah:

  1. Dimiliki oleh pejuang-pejuang Islam ketika zaman jahiliah Arab dulu. Disiksa, ditindas dan dihina mereka bangun dengan semangat ini!
  2. Gandhi membawa benua India mengecapi kemerdekaan dengan semangat ini.
  3. Orang Vietnam menghalau penjajah Amerika dengan semangat ini.
  4. Orang Afghanistan menghalau penjajah komunis USSR dengan semangat ini.
  5. Penjajah Belanda dihalau dari bumi Indonesia dengan semangat ini!

Semangat yang dibangunkan beliau bukan saja untuk digunakan dalam gelanggang politik. Semangat ini boleh digunakan dalam:

  1. Perjuangan membangunkan cita-cita.
  2. Perjuangan membangunkan karier.
  3. Perjuangan membangunkan bangsa.

Dr Mahathir mengajar kita menjadi pak angguk, pak tepuk-tangan, pak sorak-sorai, pengemis projek, pengemis subsidi, menjadi burung kakak tua dan bersikap lalang.

Saudara Anwar Ibrahim mengajar kita menjadi kuat, percaya pada diri dan Tuhan, berjuang demi maruah diri dan bangsa walaupun kita tidak punya apa-apa kita boleh berjaya asalkan istiqamah, bijaksana dan berwawasan!

Ezam, Nallakaruppan dan beberapa orang lagi sahabat beliau tidak mempunyai semangat ini.

Anda buat pilihan.

Jika anda datang dari sarang pencacai anda pilihlah semangat yang dianjurkan oleh Dr Mahathir.

Jika anda ingin menjadi pejuang anda pilihlah semangat yang dianjurkan oleh saudara Anwar Ibrahim.

Monday, April 5, 2010

Celoteh Seorang Rakyat Marhaen

Saya sudah lama tidak singgah di gerai burger rakan saya ini. Ketika saya masih bujang dan sedang mencari tapak di bandaraya ini gerai burgernyalah yang menjadi tumpuan untuk mencari sesuap makanan dan sedikit gaji harian untuk buat belanja. Itu 20 tahun dulu. Kini umur kami telah menjangkau lebih setengah abad dan sudah berumahtangga. Kawan saya masih lagi berniaga burger!

Sekonyong-konyongnya singgahlah seseorang yang umurnya barangkali muda sedikit dari kami. Dia memesan burger untuk makan tengah hari. Kemudian dia mulalah berceloteh. Dia berborak fasal Najib dan Guan Eng.

Lebih kurang beginilah celotehnya:

"Najib bagus! Dia dah banyak tolong orang Melayu. Itu yang kita nak! Apa yang jahat dia buat itu gasak dialah! Kalau dia nak pergi neraka pun lantak dialah! Itu urusan dia dengan Tuhan! Janji dia tolong orang Melayu! Mahathir pun bagus. Dia dah buat orang Melayu maju!"

"Guan Eng tak guna! Dia patut kena tembak! Hantar dua orang komando pun cukup. Bom dia! Dia ingat Pulau Pinang itu dia punya! Kalau aku kena hantar pun aku nak!"

Sepanjang dia berceloteh itu saya tak pedulilah. Saya pun tak kenal dia. Sambil menggoreng kawan saya menyampuk:

"Abang jangan cakap kuat-kuat. Karang kena tangkap masuk ISA baru padan muka!"

"Aku memang menyampah dengan Guan Eng. Aku puji Najib! Sejak dia naik memang banyak dia tolong orang Melayu!"

Setelah dapat burgernya dia beredar.

Saya hanya tersenyum simpul saja sambil memikirkan jalur fikir orang tadi.

Salah seorang dari pelanggan yang dari tadi membisu mencelah:

"Itulah padahnya kalau hanya baca surat khabar Utusan Melayu dan tengok tv RTM. Kalau nak borak politik ni kena baca semua. Barulah betul!"

Saya tidak ada apa hendak ulas. Borak tengah jalan ini membazir saja. Yang buat saya kesian pada orang tadi hanya dua perkara saja:

1) Dia tidak tahu bahawa sejak Pulau Pinang dijual oleh kerajaan Melayu kepada Francis Light dulu bermulalah sejarah di mana orang-orang Melayu dipinggirkan di pulau itu. Guan Eng hanya menjadi perwaris dari sejarah ini yang berulang semula ketika Chong Eu dari Gerakan merampas kembali Pulau Pinang dari tangan Perikatan. Francis Light, Chong Eu dan Guan Eng tidak boleh dipersalahkan! Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi anak jati Pulau Pinang. Datuk Seri Anwar Ibrahim orang Pulau Pinang. Mereka pun tak boleh buat apa-apa. Kisah tragik Pulau Pinang bermula dari sikap orang Melayu yang mudah dibeli. Hari ini cuc-cicit orang Melayu di Pulau Pinang terpaksa merempat di tanah air sendiri.

Orang Melayu hari ini masih lagi buta sejarah macam orang yang beli burger tadi! Dan masih lagi ada politikus Melayu yang boleh dibeli sehingga hari ini!

2) Dia kata Mahathir majukan orang Melayu dan Najib tolong orang Melayu. Apa yang dia tidak tahu ialah Tun Razaklah sebenar-benarnya yang menyediakan infrastruktur untuk memajukan orang Melayu! Dari Felda, Mara, Uda, Politeknik, Petronas dan Bank Bumiputra inilah infrastruktur yang didirikan oleh Tun Razak sebagai pemangkin untuk memajukan orang Melayu.

Mahathir hanya melanjutkan usaha ini dan sambil itu di zaman beliau Bank Bumiputra telah bengkrap kerana dananya disalahgunakan oleh segelintir kroni-kroninya yang tidak bertanggungjawab. Di zaman beliaulah pergeseran orang Melayu bertambah parah sehingga wujud dua parti Melayu yaitu Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat.

Najib adalah perwaris yang malang. Dia mewarisi pertelingkahan orang Melayu yang dicetuskan oleh Mahathir. Dia mewarisi sistem ekonomi tempang yang bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman. Dia mewarisi kecurigaan kaum lain yang diwarisi dari kerajaan Abdullah Badawi. Saya tak faham kenapa orang yang beli burger tadi kata Najib tolong orang Melayu sedangkan apa yang Najib buat sekarang ini ialah cuba menolong semua warga Malaysia tanpa mengira orang Melayu atau Cina atau India!

Mungkin betul juga kata mamat tadi inilah padahnya kalau baca surat khabar atau tengok tv dan percaya bulat-bulat dengan apa yang diwartakan. Saya selalu mengingatkan pada kawan-kawan saya yang dua perkara ini:

i) Surat khabar atau tv bukan Quran.
ii) Cakap-cakap orang politik bukan wahyu.

Hati-hatilah. Dan bersikap bijaksana. Ingat pesan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir, "Orang Melayu mudah lupa!"