Cerita ini dikisahkan oleh kawan saya banyak tahun dahulu yaitu sekitar tahun 90an. Ianya mengenai pak Malau jirannya yang ketagih kopi.
Pak Malau tinggal dengan keluarganya nun jauh di utara sana. Ada rumah tengah sawah. Sawah pula berelong-relong. Setiap kali selepas subuh dan sebelum membenamkan kaki ke dalam lumpur sawah dia akan ke warung kopi pak Utih.
Kopi pak Utih ibarat tonik. Gogok dulu dua tiga cawan kopi pekat barulah bertenaga menghayun tajak dalam sawah. Subuh, pagi, tengah hari, petang dan malam mesti nak pekena dulu. Kalau tidak sehari suntuk badan lemah-longlai.
Ini bukan penyakit pak Malau seorang tapi penyakit yang melanda orang-orang kampung macam pak Malau! Bedanya pak Malau lagi teruk!
Walau tanah sawah luas tapi pak Malau bukannya orang senang. Cukup makan dan pakai aje. Seperti orang-orang kampung yang lain pak Malau bukan ada ilmu mengawal keluar-masuk hasil jualan padi. Ilmu nak menggandakan hasil padi pun tak ada. Ilmu kira-kira yang dia pakai ialah ilmu yang diwarisi dari nenek-moyangnya. Asalkan cukup untuk makan dan pakai sudah dikira senang!
Lain pak Utih orang yang berniaga. Setiap satu sen yang keluar atau masuk direkodkan. Aliran tunai ini akan dilaburkan supaya pendapatannya bertambah.
Hasil padi bukan sentiasa sama. Ianya bergantung pada musim kemarau, musim hujan, burung, tikus, benih dan keadaan tuan badan yang kadang-kala rajin, ada masanya malas dan kadang-kadang diserang sakit-pening.
Walau bagaimanapun perihal rutin minum kopi tetap sama! Sekali mengadap dah tentu lebih dari dua tiga cawan.
Banyak kali terjadi hasil padi sangat kurang dari hutang minum kopi. Pak Malau bayar dengan gadaikan sebahagian sawahnya.
Mula-mula ralat juga tapi hutang langsai. Taklah pening kepala. Bila beberapa relong telah digadaikan kepada pak Utih kerana nak bayar hutang terasa pula taklah berat sangat. Dari matanya yang memandang luas sawahnya tak nampak pun susut.
Ketagih kopi semakin mengancam. Pak malau cipta satu cara baru yang tak payah bergantung kepada hasil padi. Dia cagarkan sebahagian sawahnya kepada pak Utih. Kali ini dia pergi minum kopi tak payah bayar. Potong dari duit cagaran sawah!
Tahun demi tahun terasa minum kopi macam minum percuma. Tak payah lagi nak ke sawah.
Pak Utih baik hati. Dia benarkan anak-bini pak malau kerjakan sawah yang dicagarkan. Hasilnya boleh diambil tapi sekadar untuk makan-minum saja.
Pak malau lebih suka duduk berborak di warung sambil minum kopi.
Lama-kelamaan pak malau bukan saja ketagih kopi tapi ketagih berborak dan ketagih goyang kaki. Tahun demi tahun akhirnya sawah pak malau tergadai terus kepada pak Utih.
Bini pak malau mati beragan mengenangkan nasib malangnya. Anak-anaknya dah lama berhijrah cari padang baru.
Namun begitu pak Utih tidak berhajat nak beli tanah yang jadi tapak rumah pak malau di tengah sawah. Biarlah pak malau duduk sendirian di situ.
Sawah yang tergadai kini dikerjakan oleh pak Itam, pekerja pak Utih.
Setiap musim menuai pak Utih akan sedekahkan beras untuk pak malau. Taklah pak malau kelaparan. Perihal minum kopi pak Utih bagi percuma saja. Kesiankan pak malau. Di tangan pak Utih hasil sawah gadaian pak malau meningkat berlipat kali ganda! Maklumlah otak orang berniaga ini ligat buat duit!
Oleh kerana pak malau tinggal seorang diri di tengah sawah maka dibenarkannyalah pak Itam sekeluarga buat rumah di tanah sekangkang kera itu. Setidak-tidaknya taklah pak malau keseorangan. Sakit-pening ada juga yang datang tengok.
Satu hari pak Itam bertanya, "Kalau kau mati 'sok apa jadi pada tanah ni?"
Pak malau tersengih, "Anak-anak aku semuanya dah pergi entah ke mana. Merajuk sebab tanah sawah ni terlepas ke Utih. Kalau aku mati 'sok tanah ini kaulah ambik. Aku pun dah takde kawan lagi melainkan kau dan Utih aje."
Kawan saya dengarnya dah pulang ke utara. Dia sibuk dengan ternakan udang harimaunya. Apa jadi pada pak malau hari ini saya pun tak tau.
Monday, April 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment