Saya sudah lama tidak singgah di gerai burger rakan saya ini. Ketika saya masih bujang dan sedang mencari tapak di bandaraya ini gerai burgernyalah yang menjadi tumpuan untuk mencari sesuap makanan dan sedikit gaji harian untuk buat belanja. Itu 20 tahun dulu. Kini umur kami telah menjangkau lebih setengah abad dan sudah berumahtangga. Kawan saya masih lagi berniaga burger!
Sekonyong-konyongnya singgahlah seseorang yang umurnya barangkali muda sedikit dari kami. Dia memesan burger untuk makan tengah hari. Kemudian dia mulalah berceloteh. Dia berborak fasal Najib dan Guan Eng.
Lebih kurang beginilah celotehnya:
"Najib bagus! Dia dah banyak tolong orang Melayu. Itu yang kita nak! Apa yang jahat dia buat itu gasak dialah! Kalau dia nak pergi neraka pun lantak dialah! Itu urusan dia dengan Tuhan! Janji dia tolong orang Melayu! Mahathir pun bagus. Dia dah buat orang Melayu maju!"
"Guan Eng tak guna! Dia patut kena tembak! Hantar dua orang komando pun cukup. Bom dia! Dia ingat Pulau Pinang itu dia punya! Kalau aku kena hantar pun aku nak!"
Sepanjang dia berceloteh itu saya tak pedulilah. Saya pun tak kenal dia. Sambil menggoreng kawan saya menyampuk:
"Abang jangan cakap kuat-kuat. Karang kena tangkap masuk ISA baru padan muka!"
"Aku memang menyampah dengan Guan Eng. Aku puji Najib! Sejak dia naik memang banyak dia tolong orang Melayu!"
Setelah dapat burgernya dia beredar.
Saya hanya tersenyum simpul saja sambil memikirkan jalur fikir orang tadi.
Salah seorang dari pelanggan yang dari tadi membisu mencelah:
"Itulah padahnya kalau hanya baca surat khabar Utusan Melayu dan tengok tv RTM. Kalau nak borak politik ni kena baca semua. Barulah betul!"
Saya tidak ada apa hendak ulas. Borak tengah jalan ini membazir saja. Yang buat saya kesian pada orang tadi hanya dua perkara saja:
1) Dia tidak tahu bahawa sejak Pulau Pinang dijual oleh kerajaan Melayu kepada Francis Light dulu bermulalah sejarah di mana orang-orang Melayu dipinggirkan di pulau itu. Guan Eng hanya menjadi perwaris dari sejarah ini yang berulang semula ketika Chong Eu dari Gerakan merampas kembali Pulau Pinang dari tangan Perikatan. Francis Light, Chong Eu dan Guan Eng tidak boleh dipersalahkan! Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi anak jati Pulau Pinang. Datuk Seri Anwar Ibrahim orang Pulau Pinang. Mereka pun tak boleh buat apa-apa. Kisah tragik Pulau Pinang bermula dari sikap orang Melayu yang mudah dibeli. Hari ini cuc-cicit orang Melayu di Pulau Pinang terpaksa merempat di tanah air sendiri.
Orang Melayu hari ini masih lagi buta sejarah macam orang yang beli burger tadi! Dan masih lagi ada politikus Melayu yang boleh dibeli sehingga hari ini!
2) Dia kata Mahathir majukan orang Melayu dan Najib tolong orang Melayu. Apa yang dia tidak tahu ialah Tun Razaklah sebenar-benarnya yang menyediakan infrastruktur untuk memajukan orang Melayu! Dari Felda, Mara, Uda, Politeknik, Petronas dan Bank Bumiputra inilah infrastruktur yang didirikan oleh Tun Razak sebagai pemangkin untuk memajukan orang Melayu.
Mahathir hanya melanjutkan usaha ini dan sambil itu di zaman beliau Bank Bumiputra telah bengkrap kerana dananya disalahgunakan oleh segelintir kroni-kroninya yang tidak bertanggungjawab. Di zaman beliaulah pergeseran orang Melayu bertambah parah sehingga wujud dua parti Melayu yaitu Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat.
Najib adalah perwaris yang malang. Dia mewarisi pertelingkahan orang Melayu yang dicetuskan oleh Mahathir. Dia mewarisi sistem ekonomi tempang yang bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman. Dia mewarisi kecurigaan kaum lain yang diwarisi dari kerajaan Abdullah Badawi. Saya tak faham kenapa orang yang beli burger tadi kata Najib tolong orang Melayu sedangkan apa yang Najib buat sekarang ini ialah cuba menolong semua warga Malaysia tanpa mengira orang Melayu atau Cina atau India!
Mungkin betul juga kata mamat tadi inilah padahnya kalau baca surat khabar atau tengok tv dan percaya bulat-bulat dengan apa yang diwartakan. Saya selalu mengingatkan pada kawan-kawan saya yang dua perkara ini:
i) Surat khabar atau tv bukan Quran.
ii) Cakap-cakap orang politik bukan wahyu.
Hati-hatilah. Dan bersikap bijaksana. Ingat pesan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir, "Orang Melayu mudah lupa!"
Monday, April 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment