Dia meninggal ketika umur mencecah 90an. Ketika itu saya berumur 11 tahun. Baru darjah enam sekolah melayu di Kuala Pilah.
Ilmunya sukar difahami oleh orang sekarang. Pada orang dulu-dulu ilmu itu amat berguna dan disanjung tinggi. Saya perturunkan beberapa cerita mengenai ilmunya yang dikisahkan oleh arwah nenek saya dan ayah saya.
1) Ilmu Kebal
Setelah tamat mengamalkan ilmu kebal dia mahu terus diuji. Bertempat di padang sekolah Tuanku Muhammad seorang rakannya sudah bersedia dengan selaras senapang.
Khabar ini diketahui oleh penguasa British ketika itu. Dia dan beberapa orang polis serta OCPD datang bergegas untuk melarangnya.
Mereka sudah terlambat.
Tok Nyen ditembak di dada. Bajunya koyak tapi dia tidak luka.
Penguasa British dan OCPD telah memberi amaran keras kepada mereka supaya jangan lagi melakukan stunt macam itu.
2) Ilmu Racun / Santau
Tok Nyen baru tamat mengamalkan ilmu penawar racun / santau. Satu hari dia pergi kenduri kawin. Zaman itu makan di kenduri kawin nasinya hidang. Dia terasa ada orang yang akan khianatkannya. Pun begitu dia makan juga. Beberapa minit kemudian dia muntah darah.
Tok Nyen minta carikan perut ayam. Setelah dapat dia telan perut ayam sampai ke perutnya. Kemudian dia tarik keluar perut ayam. Racun yang dimakan lekat di perut ayam dan dibawa keluar.
3) Ilmu Renung Lilin
Tujuh batang lilin yang dinyalakan di atur melintang. Renung api lilin sampai jadi sebaris. Kemudian susun tujuh batang lilin sebaris. Renung sampai ianya tersusun melintang. Jika tamat Tok Nyen dapat merenung musuh dan juga memiliki renungan yang tajam dan menggerunkan.
Satu ketika seseorang datang merayu kepadanya kerana anak perempuannya dipermainkan seorang benggali roti. Tok Nyen terharu. Dia berjanji akan bantu.
Dia nyalakan lilin sebatang. Dia merenung api lilin. Dalam makrifatnya dia nampak benggali roti sedang mengayuh basikal menjual roti. Dia ambil gunting dan gunting jantungnya.
Beberapa hari kemudian seseorang itu datang mengucapkan terima kasih kepadanya kerana dendam telah terlaksana.
Ada beberapa perkara yang menjadi keanehan kepadanya.
- Giginya tidak luntur.
- Matanya sangat tajam sehingga dia dapat membaca Quran kecil yang sebesar kotak mancis!
Ketika hendak mati mengikut cerita dari ayah saya dia memanggil anak-anaknya. Ayah saya adalah cucu menantu kepadanya.
Katanya, “Tanda aku nak mati dah sampai. Janganlah kamu adik-beradik berkelahi ketika aku takde. Dosa kau orang semua aku maafkan!” Maka bertangis-tangisanlah mereka memohon ampun pada ayahanda mereka.
Setelah reda mereka memberinya peluang berihat dan bersendirian. Beberapa ketika kemudian dia memanggil ayah saya. Dia berbisik, “Tanda yang akhir dah sampai. Berpisahlah kita”
Kemudian dia bertafakur menyusun nafas. Tanpa gentar dan dengan hati yang bulat dia menerima kematiannya.
Begitulah orang dulu-dulu. Peluru, racun dan kematian bukanlah sesuatu yang ditakutkan. Pokoknya ada ilmu di dada.
Susah nak percaya, kan? Terpulanglah.
No comments:
Post a Comment