Wednesday, March 3, 2010

Artis dan Orang Politik

Mereka ini kembar tak seiras. Sama-sama menjadi tumpuan orang ramai. Sentiasa menjadi kepala berita. Sentiasa menjadi tajuk perbualan di warung-warung kopi atau ketika suri-surirumah menunggu van sayur datang.

Apa yang istimewa sangat tentang dua kaum ini?

1. Gila Glamour.

Memang pun. Kalau tak gila glamour tak ada siapa yang kenal seseorang artis itu. Kadang-kadang nak harapkan kemantapan lakonan atau nyanyian jauh sekali. Nak cepat glamour lakukanlah perkara yang boleh menimbulkan sensasi.

Anda mungkin seronok menonton rancangan tv seperti melodi atau rancangan yang gempak-gempak yang macam melodi. sebenarnya rancangan begini adalah pintu kepada berita-berita sensasi. Artis-artis disensasikan dan dua-dua pihak menang-menang; rating naik dan artis dikenali.

Orang politik pun macam itu juga. Jangan saja pemimpin tertinggi menyatakan sesuatu maka sahut-menyahutlah mereka yang di bawah menyokong kenyataan itu supaya orang ramai dapat mendengar kononnya “buah fikiran mereka”.

Jangan saja ada majlis keraian yang dihadiri pemimpin tertinggi maka berduyunlah yang di bawah itu datang berasak-asak nak tumpang sekaki dalam foto-foto kenangan. Mana tau kalau disiarkan dalam tv atau surat khabar foto-foto itu?

Hakikatnya pada artis dan orang politik kalau tak glamour orang tak kenal. Kulit saja gah isi tak ada. Inilah sebabnya dunia hiburan dan dunia politik kita caca-marba.

2. Cakap Tak Serupa Bikin

Bila artis diwawancara bukan main lagi mereka paksa kita percaya yang mereka adalah selebriti terbaik dalam perangai dan tutur-kata. Cita-cita mereka ialah hendak menaikkan taraf lakonan atau nyanyian ke taraf global. Dan mereka sedang berusaha keras sekarang! Lepas itu beransur-ansur hilang atau tenggelam-timbul. Bila terbit cerita kita terkejut. Ada yang kena tangkap basah. Kena serbu fasal dadah. Ada yang pencen tiba-tiba kerana kalah bersaing.  Ada yang kawin senyap-senyap dengan laki orang. Ada yang senyap tu sebab dah ada orang yang bela. Duit pun dah banyak. Macam-macamlah.

Orang politik pun macam itu. Terutama bila nak pilihanraya. Masa itu barulah kita nampak dia orang. Dia datang dengan “janji manismu”. Dia datang dengan “lenggang-lenggoknya”. Bila dah menang atau kalah terus tenggelam macam tenggelamnya batu. Saya banyak jumpa orang yang kena tipu oleh orang politik. Semasa orang politik itu sedang naik ada saja mamat atau minah yang membontotinya. Macam belangkas. Ada orang politik itu adalah dia. Bila dapat projek orang politik dapat daging dia dapat tulang. Ada tu langsung tak merasa.

3. Suka Berkelahi Sesama Sendiri

Semua orang tahu. Artis perempuan kelahi kerana berebutkan jantan (ada juga yang merebutkan suami kawan sendiri). Ada yang masuk mahkamah. Ada yang bertelagah dalam akhbar dan televisyen. Bila kena berlakon berdua yang satu lagi akan tarik diri. Kes yang terbaru dalam akhbar sekarang ni pula fasal bekas sepasang kekasih yang berkelahi. Dulu melibatkan sepasang suami-isteri sampai bercerai-berai.

Orang politik pun macam itu. Depan “kawan politiknya” mereka istiharkan kawan. Belakang “kawan” mereka cari jalan nak jatuhkan sikawan tadi. Perkara biasa. Jatuh-menjatuh di dalam politik adalah seperti mainan dam aji di warung-warung di kampung. “Makan jangan tak makan. Kalau tak makan macam mana dam nak naik aji? Nak pandai makan pandailah pasang perangkap! Bila dah naik aji makan besar le!”.

4. Pandai Bermuka-muka

Malas nak cakaplah. Itu trend masa kini. Tanya pengarah-pengarah drama atau komposer-komposer yang tertentu. Berapa ramai yang dah kenyang? Artis-artis ni pandai melayan. Pandai bermuka-muka. Berapa banyak orang yang berduit dah terkena?

Orang politik pun macam tu. Tanya pengundi-pengundi. Berapa ramai yang dah terkena? Yang baru ni kisah tong ikan. Dulu fasal talipinggang keledar. Lama dulu fasal topi keledar. Janji pembangunan atas bukit tak boleh. Kemudian dibolehkan pula. Kertas putih tentang bermacam-macam tragedi tinggal putih saja. Macam jembatan runtuh. Banyak pengundi berputih mata. Sekarang ni sedang tunggu apa akan jadi pada kadar tol PLUS! Mereka ni depan kita kata lain. Belakang lain pula!

5. Nasib Kembar Tak Seiras

Artis dengan orang politik mempunyai sifat yang sama tapi kerjaya lain-lain. Sebab itu mereka sangat sesuai. Artis memang cari orang-orang politik. Dan anehnya orang-orang politik pun gemar cari artis! Dengar sajalah khabar-khabar angin yang bertiup. Yang mengherankan trend ini hanya berlaku di tanah air kita.

Ada ke lagi artis dan orang politik yang berkualiti dalam tanah air kita ini? Kalau ada kita bagi sokongan kuat pada mereka agar dunia hiburan dan dunia politik kita boelh dibanggakan.

No comments:

Post a Comment