Petang Ahad di Pekan, Pahang, 1977.
Saya ditukarkan mengajar di sini dari Kg Awah, Temerloh.Dengan rakan-rakan bujang kami menetap di Kg Ketapang. Sungai Pahang tidak jauh dari rumah kami.
Hari minggu dengan cuaca panas adalah sangat membosankan. Pekan mati tidak menjanjikan apa-apa keseronokan.
Seorang dari kawan saya ajak pergi memancing. Sekurang-kurangnya dalam hutan redup sikit. Dan zaman itu hutan amat mewah di Pekan.
Kami menyusur jalanraya sejauh satu batu; berjalan kaki. Kemudian kami merentas sebuah belukar. Jauhnya ke anak sungai lebih kurang satu batu juga.
Denai semakin menyempit. Belukar semakin tebal. Kami terpaksa berjalan dalam satu barisan. Saya orang yang ke lima dan belakang saya ada seorang lagi.
Mula-mula jarak kami di antara satu sama lain sangat rapat. Setelah berjalan lebih sebatu masing-masing dah mula letih. Hayunan kaki menjadi perlahan. Semakin lama semakin menjarak. Nak berbual pun dah tak kuasa lagi. Masing-masing melayan angan-angan masing-masing. Yang kedengaran hanya bunyi hutan.
Ketika itulah saya ternampak sebuah rumah limas. Comel dan kemas. Tak nampak penghuninya.
Seekor ayam jantan sedang merentas halaman rumah yang sangat kemas dan bersih. Beberapa pokok buah-buahan terdapat di keliling rumah. Di ampaian kain terdapat beberapa pakaian wanita sedang terjemur; kain batik dan baju kurung. Beberapa tingkap terbuka dan kelihatan langsir rumah yang cantik berbunga-bunga. Anjung rumah sepi. Pintunya terbuka.
Saya memerhati jika ada tuan rumah. Pagarnya tertutup. Entah macam mana terlintas fikiran ini dalam benak saya, “Eh! Macam mana pula ada sebuah rumah sahaja dalam belukar ini?”
Tiba-tiba telinga saya berdesing. Pandangan saya berkunang-kunang. Saya terasa mamai sekejap. Hendak muntah pun ada.
Saya terasa bahu saya ditepuk kuat.
“Hang nak ke mana Din? Puas aku teriak nama hang tadi!”
Saya terpinga-pinga. Saya perhati keliling. Tiada rumah di situ. Hanya belukar yang tebal saja. Dan saya masih mamai dan keliru.
“Hang kalau nak pi kencin pun tak usahlah jauh sangat. Jenuh aku ligan hang!”
“Mana budak-budak tu"?
“Depa dah lepaih jauh dah! Jum!”
Kami pun beredar. Saya perhati semula kok tersalah pandang. Memang tidak ada rumah di situ.
Ketika berjalan saya terfikir.
“Nasib baik ada sorang lagi kat belakang!”
No comments:
Post a Comment