Pagi itu sebelum ke tempat kerja saya singgah dulu di warung mamak untuk minum pagi. Inilah rutin saya setiap pagi selepas menghantar anak ke sekolah.
Saya sempat mengimbas tajuk hadapan akhbar Utusan Malaysia. Dada saya berdebar. Dia atas sekali ada berita yang lebih kurang merujuk “kepada masalah Datuk Rahim Thamby Chik yang memungkinkan dia akan melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka"!”
Saya orang tv. Rakan saya banyak di kalangan wartawan berita tv dan akhbar tempatan. Saya sudah mahir membaca apa yang tersirat atau dalam bahasa Inggerisnya reading between the lines.
Saya dapat agak berita ini berita acah-acah saja! Ada sesuatu yang sangat jahat tersembunyi di dalamnya. Selepas minum teh dan makan roti canai saya singgah di kedai suratkhabar. Saya imbas semua akhbar-akhbar tempatan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Hanya Utusan Malaysia saja yang membawa berita tersebut!
Setelah beberapa hari bila berita itu mula dipolemikkan oleh pencacai-pencacai politik barulah akhbar lain menyambutnya. Akhirnya Datuk Rahim Thamby Chik benar-benar melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka!
Tidak berapa lama kemudian Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu yang mempergunakan akhbar untuk menjatuhkan beliau.
Sebelum itu Raja-raja Melayu diaibkan bila kelakuan sumbang mereka didedahkan dengan wewenang oleh pihak akhbar. Kali ini akhbar digunakan untuk menjinakkan raja-raja Melayu agar tunduk kepada kehendak pemerintah ketika itu yang mahukan kuasa mereka menidakkan rang undang-undang yang berat sebelah dihapuskan.
Akhbar kita sudah lama hilang kewibawaannya. Itu pun ramai yang tidak sedar lagi.
Dalam filem Sarjan Hasan, Salleh Kamil berlakon sebagai barua Jepun dengan berkesan sekali. Satu hari (ketika itu saya masih sekolah rendah lagi) bapa saudara saya pergilah menonton filem Isi Neraka di pawagam Rex Kuala Pilah. Tiba-tiba dia keluar panggung, bersungut, “Celaka! Barua ni berlakon pulak dia!” Begitulah bencinya dia dengan Salleh Kamil sehingga filemnya pun dia boikot. Kami ketawa terbahak-bahak.
No comments:
Post a Comment