Dulu Bukit Putus sangat sinonim dengan perjalanan ulang-alik dari Kuala Pilah ke Seremban. Lingkarannya sepanjang 4 atau lebih kilometer. Ia merentas bukit yang menjadi sebahagian dari banjaran Gunung Angsi. Bagaimana ia mendapat nama Bukit Putus saya tak tau. Jalannya berliku-liku. Sebelah jalan bertembokkan bukit dan sebelah lagi bersempadankan gaung.
Sesiapa yang pernah merentas Bukit Putus mempunyai pengalaman sendiri-sendiri. Apa yang hendak saya coretkan di sini ialah pengalaman dari dua orang adik saya.
Ini adalah cerita benar. Bukan rekaan.
1) Usung-usungan
Adik saya ialah seorang drebar lori yang membekalkan air tin, air botol dan air kotak. Jajahan niaganya meliputi negeri Melaka, Negeri 9 dan Selangor. Dia menetap di Kuala Pilah. Setiap jam 10 pagi dia akan berangkat dengan lorinya dan akan menjelajah sekitar bandar-bandar di ketiga-tiga negeri itu. Dia akan pulang bila malam telah larut.
Pekerjaannya tidak menjemukan, selalu bertemu orang dan waktu kerja atas dirinya sendiri. Dia hanya perlu penuhkan kuota yang ditetapkan oleh syarikat. Pendapatannya cukup selesa.
Di pertengahan Bukit Putus itu mengalir sebatang anak air. Di sinilah kebanyakan orang berhenti untuk menggunakan kemudahan semulajadi itu. Ia berada di sebuah selekoh tajam.
Jam tangannya menunjukkan pukul 2 pagi.
Man yang keletihan itu tiba-tiba berwaspada. Dia terdengar bunyi riuh-rendah orang turun dari kawasan anak air itu. Mereka merentas jalan untuk turun ke gaung.
Man kaget. Dia berhenti dan memberi laluan.
Ke semua mereka berpakaian kuning dan putih. Mereka sedang mengusung sebuah keranda. Rombongannya cukup ramai. Ketika melintas mereka tidak langsung mempedulikan Man dan lorinya.
Man tertinjau-tinjau ke gaung untuk memastikan ke mana mereka pergi. Malangnya mereka menghilang dalam semak-belukar yang tebal.
Akhirnya ke semua orang dalam rombongan itu selamat melintas.
Suasana kembali sunyi-sepi. Man hidupkan injin lorinya dan bergerak pergi.
Sehingga hari ini masih tidak terjawab siapa yang diusung dan kenapa.
2) Nombor yang Berdarah
Waktu itu senja. Hujan renyai-renyai. Sam memandu keretanya. Dia dari pejabatnya di Jalan Jelebu. Dia hendak balik ke Kuala Pilah.
Tidak jauh dari kaki Bukit Putus seorang sami Hindu menahan keretanya. Anehnya Sam berhenti tanpa curiga.
“Ane mau pergi mana?”
“Sana atas saja sikit!”
Sepanjang perjalanan Sam tak sedap hati. Kerap-kali dia mengerling ke arah sami itu yang kelihatannya melayan fikiran sendiri.
Sam taulah sikit-sikit jampi serapah. Dia baca jampi yang dia tahu dan hembuskan pada sami tersebut.
Tak ada apa-apa. Agaknya sami itu memang sami betul.
Agak-agak lebih kurang berdekatan dengan anak air sami itu menoleh ke arahnya.
“Tambi. Sini cukup. Banyak terima kasih.”
Dia bagi Sam secebis kertas sebagai upah. Sam ambil dan simpan dalam poket bajunya.
Sami turun dan menghilang ke bawah gaung.
Sam pecut keretanya. Memang ada yang tak kena dengan sami tersebut.
Sampai di rumah Sam meneliti kertas tersebut. Ada empat angka yang ditulis dengan warna merah. Sam tak sedap hati dan pergi mencari seseorang yang pandai menujum perkara aneh ini.
Ikut firasat ahli nujum warna merah itu ialah darah. Dan 4 nombor itu ialah nombor ekor. Kemungkinan besar nombor itu akan menyinggah nombor satu.
Sam ada dua pilihan.
Jika dia mengambil nombor itu kemungkinan besar dia akan menang besar. Sebagai galang-ganti anak yang sedang dikandung oleh isterinya akan diambil oleh penunggu tersebut.
Nasib baik Sam masih waras lagi. Dia bakar nombor itu dan terus lupakannya.
Hari ini Bukit Putus tinggal kenangan saja. Sebuah jalan baru yang merentas gaungnya telah dibina. Kalau dulu jalan yang berkelok memakan masa 15 ke 20 minit hari ini merentas gaung hanya memerlukan 3 ke 7 minit sahaja!
Mungkinkah berakhir kisah penunggunya?
No comments:
Post a Comment