Benih kacang panjang. Pada petani ia asal sejenis pokok kacang yang ditanam untuk buahnya. Pada peniaga pasar kacang panjang menjadi barang niaganya . Pada penggemar sayur kacang benihnya tak dipedulikan sangat.
Kalau dibelah dua biji kacang hanya menampakkan isinya yang keputih-putihan seolah-olah seperti tidak ada apa-apa.
Ambil satu botol kosong. Basahkan segumpal kapas, masukkan ke dalam botol kemudian tanamkan benih kacang ke dalam kapas tersebut.
Benih kacang yang kering akan kembang bila digomoli air dari kapas yang basah. Ada tenaga luar-biasa yang bergolak di dalam benih kacang.
Beberapa hari selepas itu akan zahirlah muncung akar tunjangnya. Penzahiran yang pertama ini kita katakan "akar awal" sebab ianya akan memanjang dan memaut bumi untuk mengokohkan pokoknya nanti.
Selang bebeberapa hari lagi akan zahir pucuknya yang menongkat langit berserta dua daun awal. Penzahiran kedua ini memberi bentuk pada pokok kacang. Maka sempurnalah penzahiran pokok kacang dari benihnya menerusi tiga langkah tadi yaitu benih, akar awal dan pucuk awal.
Dan proses ini benar untuk semua benih sayur-sayuran.
Kejadian manusia juga begitu. Setelah benih lelaki (air mani) bertemu benih perempuan (telur) berlakulah proses persenyawaan. Setelah beberapa hari yang pertama zahir ialah unsur halus yang berkaitan dengan pertumbuhan otak yang diistilahkan sebagai "akal awal". Beberapa hari kemudian pada penzahiran kedua ialah unsur-unsur halus kelengkapan seorang manusia. Selepas sembilan bulan sepuluh hari lahirlah bayi yang lengkap berupa seorang manusia kecil.
Lebih menakjubkan bila kita hendak menulis sesuatu di atas kertas. Bila mata pena menyentuh kertas unsur yang pertama terjadi ialah "noktah". Unsur kedua pula ialah satu garisan halus melepasi noktah itu. Kemudian ianya diikuti oleh huruf yang hendak kita tulis (a, b, c ... alif, ba, ta ...). Prosesnya sama sahaja - noktah, garisan halus dan huruf!
Benih (pokok, haiwan, manusia), telur (telur ayam, itik dsb) dan noktah ialah "perbendaharaan yang tersembunyi". Dalam bentuknya yang asli ia tidak berwajah dan tidak bertubuh. Bila berlaku proses "persenyawaan" barulah "yang tersembunyi" menzahirkan "dirinya". Dan ianya dikawal oleh penzahiran pertama dan penzahiran kedua. Selepas itu berlakulah proses perincian dan penyempurnaan.
Rupa-bentuk yang dihasilkan tidak berubah-ubah. Pokok kacang yang dulu pun seperti pokok kacang yang sekarang ini. Reka-bentuk manusia tetaplah begitu. Burung kakak tua pun begitu juga.
Bila tiba masanya semuanya akan kembali kepada asal mereka yaitu menjadi rahsia bumi ataupun ... noktah.
Proses kejadian tidak memerlukan alat. Ianya dizahirkan. Sesekali elok kita renung kejadian kita. Kita dulu berasal dari "rahsia yang terpendam". Kita berada di sulbi ayah kemudian pindah ke rahim ibu - diperincikan dan disempurnakan lalu zahir ke alam nyata. "Rahsia yang terpendam" itu sudah nyata. Terpulang pada kita untuk mengenalinya.
Wallahu Alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam Tuan,
ReplyDeleteTerlalu banyak petunjuk yg jelas yg terdapat pd alam ini. Malah, alam inilah ALQuran yg tidak berhuruf. Namun, ramai yg gagal untuk iqra' terhadapnya.
Terimakasih. Selamat berkarya sama sepertiNya.