Monday, November 30, 2009

Ibu dan Anak

Syurga di bawah tapak kaki ibu”

Ini adalah sebuah dongeng moden.

Hari ini “syurga” adalah:

  • sebuah kerjaya atau perniagaan yang menghasilkan pendapatan yang banyak.
  • sebuah rumah milik bersama (suami-isteri) – hutang 15 ke 25 tahun.
  • dua buah kereta; satu milik suami dan satu lagi milik isteri – hutang dari 7 ke 9 tahun.
  • sekurang-kurangnya dua anak; seorang laki-laki dan seorang perempuan yang dididik semata-mata untuk lulus dengan cemerlang dalam ujian UPSR, PMR, SPM; kemudian memiliki sijil dan diploma dan digri, masters, phd dan … dan …

Rumah dan kereta dihuni oleh suami, isteri dan anak-anak. Ibu hanyalah seorang penumpang tua yang kadang-kala tidak diundang pun.

Hari ini seorang ibu tua adalah sebuah tugu.

Sebulan-sekali dan di hari-hari cuti umum atau cuti perayaan suami, isteri dan anak-anak akan menziarah tugu tua itu. Tugu tua itu akan dikalungkan dengan berbagai-bagai kalungan perhiasan; wang-ringgit, pakaian baru dan lauk-pauk.

Mereka tidak bertanya atau mengambil tahu keadaan tugu tua itu:

  • adakah di musim panas tugu tua itu panas-radang?
  • adakah di musim hujan tugu tua itu basah-kuyup?
  • bagaimana dengan keselamatan tugu tua itu?

Kalaupun bertanya sekadar menghiburkan halwa telinga tugu tua itu.

Hari ini seorang ibu tua melayari sisa hidupnya bersendirian.

Amat malanglah bagi suami, isteri dan anak-anak yang menyangka mereka akan muda selama-lamanya.

Sunday, November 29, 2009

Ulama' vs ulamak

Kedua-dua istilah itu mempunyai makna yang sama yaitu mereka yang berilmu. Oleh kerana kita ini orang melayu istilah ulama'/ulamak mempunyai maksud mereka yang mempunyai ilmu yang mendalam mengenai agama Islam.

Kenapa ejaannya berbeda? Saya bedakan untuk memudahkan faham.

Ulama' (u-l-a-m-a yang ditambah tanda ') merujuk kepada firman ini:

Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut akan Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah ulama'. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." [Faathir 35: 28]


Siapa yang kenal ulama' ini? Tiada siapa yang tahu melainkan Allah saja Yang Maha Tahu. Ulama' adalah rahsia Allah. Mustahil manusia mengetahui siapa ulama' di sisi Allah.

Sifat bimbang dan takut adalah sifat-sifat yang boleh ditunjuk-tunjukkan dan dipamer-pamerkan untuk muslihat sipemamer. Allah menggolongkan mereka ini sebagai munafik. Dan munafik sangat payah disaring.

Namun begitu Nabi s.a.w di dalam sabda Baginda ada memberi petunjuk untuk mengenali ulama' yang dimaksudkan oleh firman di atas.

Sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya para ulama' adalah pewaris para Nabi. Para Nabi tidak mewarisi dinar dan tidak pula dirham, namun (mereka) mewariskan ilmu. Sehingga sesiapa yang telah mengambilnya (ilmu tersebut), berarti telah mengambil bahagian yang sempurna." [Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya].
Ulama' pewaris nabi  bolehlah difahamkan mereka mewarisi sifat-sifat mulia para nabi. Sebahagian dari sifat-sifat itu ialah:

  • Benar di dalam kata, amal dan kelakuannya sehingga orang ramai boleh mengambil manfaat bila bergaul dengan mereka. 
  • Bila menyampaikan perintah Allah dan Rasul dilakukannya dengan telus dan tulus tanpa takut dan ragu-ragu.
  • Sangat amanah menjaga urusan agamanya.
  • Bijaksana di dalam setiap urusan sehingga kesucian agama terpelihara dan keadilan dirasai di dalam urusannya dengan manusia.
U-l-a-m-a-k (ejaan ulama yang ditambah dengan huruf k) pula merujuk kepada para ilmuan  agama yang melata di tanah air kita. Mereka telah diinstitusikan. Mereka tampil dengan berbagai rupa dan gaya.

Sebahagian mereka bermusuhan kerana berbeda mazhab, pandangan atau parti. Kadangkala mereka mencerca, memfitnah dan menghukum pihak lawan mereka.

Ada pula yang mencipta berbagai-bagai peraturan dalam urusan agama sehingga menyusahkan orang ramai. Urusan agama yang pada asalnya mudah dan ringkas menjadi payah dan rumit.

Ada pula yang membina tembok besar di keliling mereka dan bila muncul depan khalayak mereka hanya memberi arahan yang wajib dipatuhi.

Kesimpulannya ulamak tidak semestinya ulama'.

Wednesday, November 25, 2009

Di Larang Masuk !!!


Penduduk Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, Malaysia mungkin berada di sekitar belasan juta saja. Dan hampir 90% beragama Islam. Saya tak berani mengatakan 100% sebab pada tahun-tahun 70an dulu saya pernah bertemu beberapa orang Melayu yang mengaku mereka atheist. Dah lebih 30 tahun saya rasa jumlah itu sudah bertambah. Kemudian saya terbaca pula kisah-kisah mereka yang beralih kepercayaan kepada agama lain dan dengarnya jumlahnya banyak jadi andaian 90% yang beragama Islam itu rasanya memadai. 

Mereka yang beragama Islam ini pula berpuak-puak; UMNO, Pas, Jemaah Al Quran, Jemaah al Arqam, Syiah, ahlus Sunnah wal Jamaah, Wahabi, Salaf, Qadiyani, Tabligh, Islam Liberal, kaum tua, kaum muda ... dan berbagai-bagai lagi.

Dan yang menariknya semuanya berkata sumber mereka adalah Quran dan (Hadith). Saya mengurungkan perkataan Hadith sebab ada yang berkata mereka mengikut Quran saja. Dan ini bermakna mereka beriman kepada Allah dan Rasulnya, Muhammad saw.

Di atas nama Allah dan Rasulnya mereka berkelahi sesama sendiri!

Kita diajar oleh yang pandai agama bahawa agama Islam ada dua sisi. Satu sisi ialah hubungan manusia dengan Tuhannya, Allah. Satu sisi lagi ialah hubungan manusia dengan manusia.

Sisi yang pertama yaitu hubungan manusia dengan Tuhannya mencakupi daerah kesempurnaan akidah, penganugerahan pahala dan syurga, ancaman dosa dan neraka, hak mengampunkan, merahmatkan dan melaknatkan - kesemuanya ini adalah hak eksklusif Tuan yang Empunya Agama, Allah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana dan Maha Tahu. Manusia DILARANG MASUK dalam daerah keTuhanan ini!

Masalah timbul apabila pemimpin-pemimpin dari puak-puak tadi masuk campur dalam urusan keTuhanan ini.
  1. Mereka menentukan puak mana yang masuk syurga dan puak mana yang masuk neraka.
  2. Mereka melaknatkan mana-mana puak yang tidak sebulu dengan mereka.
  3. Mereka menafsirkan wahyu dan hadith mengikut kesesuaian perjuangan puak mereka.
  4. Mereka mencipta undang-undang kecil syariah yang bertentangan dengan arahan wahyu dan hadith.
  5. Mereka menentukan apa yang kita patut amalkan dan bagaimana ia diamalkan.
  6. Bila berceramah mereka memberi gambaran seolah-olah Allah menyetujui segala tindak-tanduk mereka.
  7. Dan mereka menghalalkan segala tindak-tanduk mereka sendiri walaupun kadangkala ianya jelas bertentangan dengan ajaran agama.
Ke semua mereka merujuk kepada Quran dan Hadith di dalam mempertahankan tindak-tanduk mereka. Dan mereka terus berbalah dan bermusuh.

Tidak salah berbeda pendapat asalkan kita JANGAN MASUK CAMPUR URUSAN KETUHANAN!

Ibarat sebuah rumah; pintu, tingkap, dinding, lantai, tiang dan bumbung bersatu memberi perlindungan kepada penghuninya.

Malangnya puak-puak yang bertelagah itu kekal terpisah-pisah.

Salah siapa?

Monday, November 23, 2009

Wahabi vs Syafi'i


Salam, warga siber.


Bila Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin (selepas ini digelar Dr MAZA saja) dan Jabatan Agama Islam Slelangor (selepas ini digelar JAIS) bertelagah yang menjadi sasaran ialah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Imam Syafi'i. Kedua-dua mereka telah berusaha keras memurnikan ajaran agama berpandukan nas-nas sahih bersumberkan Al Quran dan al Hadith untuk kesejahteraan muslimin dan muslimat di sepanjang zaman. Dan kita sudah maklum kedua-duanya sudah lama kembali ke RahmatulLah.

Yang tinggal hanyalah legasi mereka yang menjadi pegangan para pengikut. Dan mereka inilah yang selalu bertelagah; ibarat anak ayam kehilangan ibu bercempera mencari perlindungan apabila diancam.

Kita kerap diwar-warkan oleh mereka yang pandai agama; jika bertelagah kembali kepada al Quran dan Sunnah.

Di dalam mempertahankan dirinya Dr Maza telah kembali kepada al Quran dan Sunnah dengan memetik hadith dari al Bukhari yaitu RasululLah bersabda, "Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat".

Pihak JAIS pula merujuk kepada enakmen syariah yang boleh difahamkan maksudnya, "Tiada permit tiada ceramah agama".

Persoalannya sejak bila pula enakmen syariah menghalang perintah RasululLah? Dan kenapa pihak JAIS tidak kembali kepada al Quran dan Sunnah?

Sebagai rakyat biasa saya keliru. Saya tidak faham kenapa berlakunya pertindihan enakmen ini dengan perintah RasululLah. Dan saya juga tidak faham kenapa nasihat kembali kepada al Quran dan Sunnah tidak menjadi pilihan pihak berkuasa agama.

Fikir-fikirkanlah ...