Baru-baru ini saya berkesempatan melayar laman sesawang Oh Artis! Dahsyat juga! Dahsyat kerana saya tabik kepada paparazi mereka! Seronok juga melihat gelagat artis kita, gelagat anak-anak orang kenamaan kita dan gelagat remaja kita.
Artis ini bukan malaikat. Drama tv lain. Penampilan di tv pun lain. Itu dunia dia orang cari makan. Dunia sebenarnya lain.
Bukan artis saja. Orang lain pun macam itu. Yang bertudung dan berserban pun sama. Kalau tak percaya kerahkan paparazi supaya bekerja keras skodeng mereka.
Zaman sekarang istilahnya bohsia, anak abu, bohjan dan macam-macam lagi.
Zaman muda saya istilahnya resen (atau ration) bagi perempuan dan buaya darat bagi lelaki. Kalau resen datang berkumpulan kita gelar mereka ARAB yaitu Angkatan Resen Antara Bangsa! Kalau buaya darat datang berkumpulan kita panggil mereka ABDUL yaitu Angkatan Buaya Darat, Udara dan Laut!
Modus operandinya sama. Resen dikongsi oleh buaya darat macam bohsia dikongsi oleh bohjan.
Peringkat umur pun pelbagai, Dari 12 tahun ke 30an! 12 tahun? Ya! Ketika saya mengajar di Temerloh dulu saya pernah bertemu seorang resen yang berusia 12 tahun yang lari dari rumah dan tinggal bersama kakak angkatnya yang berumur 17 tahun. Kedua-dua mereka bekerja di sebuah pub di Temerloh!
Zaman ini budak 12 tahun masih main anak patung lagi.
Minum arak? Hisap ganja? Sedut heroin? Itu perkara biasa! Ingat tak Woodstock di Cheras? Kau orang ingat Woodstock di L.A. saja? Huh! Ganja dan arak jadi hidangan favourite!
Setakat minum arak dan hisap fit dalam disko itu perkara kecil. Dulu-dulu dia orang minum arak dalam kedai Ah Teng, Tai Ah atau kedai Cina yang bertaburan dalam kampung atau pekan. Kalau ada joget lambak malam tu dah tentu nak berdengung dengan weng sekali! Kalau tak stone malam tu tak ruggedlah!
Dulu tak ada internet. Surat khabar pun tak cukup stringer. Paparazi langsung tak wujud. Kisah-kisah resen dan buaya darat menjadi pengalaman peribadi.
Dulu awek-awek yang berkumpulan datang dalam pelbagai nama. Satu nama yang saya masih ingat lagi ialah Bad Company! Hari ini dia orang tu dah jadi bini orang dan ada anak. Kawin juga! Jadi orang juga!
Setiap zaman ada hitam-putihnya. Cuma hari ini semua orang dapat melihatnya; dalam laman sesawang, youtube, hand phone, vcd skodeng dan apa sajalah.
Buatlah apapun hitam-putih tetap mewarnai kehidupan kita! Perhatikan diri kita sendiri. Jantung hitam, otak putih. Pandai-pandailah bawa diri.
No comments:
Post a Comment