Saturday, September 15, 2012

Antara Syiah/Sunni ... Umno/Pas

Kita telusuri kisah Syiah dan Sunni dulu. 

Asalnya pertentangan politik dalam pemilihan khalifah selepas RasululLah wafat. Syiah menyokong kekhalifahan Saidina Ali kwj. Manakala puak yang menyokong selain Saidina Ali kwj digelar puak Sunni. Apabila Khalifah Abu Bakar Siddiq terpilih benih permusuhan Syiah /Sunni pun bercambah. Ia bertambah buruk bila Khalifah Omar dan Othman dilantik. Bila Khalifah Othman wafat dibunuh Saidina Ali kwj menjadi sasaran fitnah kewafatan Saidina Othman. Kemudian Saidina Ali kwj dilantik khalifah. Selepas 3 khalifah dimiliki kaum Sunni ianya terputus pada Saidina Ali kwj. Puak Syiah bersorak menang dan puak Sunni berdendam. Puak Sunni diterajui oleh Muawiyah dan disokong oleh Saiditina Aisyah. 

Pertelingkahan kedua puak itu menyebabkan Saidina Ali kwj wafat dibunuh dan keluarganya termasuk Saidina Hasan/Husin dan bapa-bapa saudara terdekat menjadi mangsa pembunuhan kejam. Ketika itu para Imam-imam Syiah pun mengeluarkan berbagai fatwa, hadis dan firman mengutuk dan mengecam angkara para Sunni yang menyanggah ke khalifahan Saidina Ali kwj. 

Puluhan dan ratusan tahun berlalu fatwa-fatwa yang dikarang dalam kitab-kitab kaum Syiah serta disokong oleh hadis-hadis dan firman-firman terpilih akhirnya menjadi wacana yang diterima-pakai sebagai satu ideologi dan fahaman agama. Ia digelar sebagai mazhab Syiah. 

Hari ini UMNO dan PAS juga sedang bergerak ke arah tersebut.

Andaian saya ini sangat berasas. Berikut ialah sebab-sebab andaian saya itu: 


  • UMNO mengamalkan dasar "penerapan nilai-nilai Islam". Dasar ini disokong dengan penubuhan berbagai institusi agama seperti JAWI, JAKIM, UIA, Kolej Islam, Bank Islam, pajak-gadai Islam, musabaqah al quran dan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di dalam perlembagaan negara. Ke semua institusi ini bertujuan mengolah fikiran dan jiwa orang Melayu bahawa UMNO adalah Islam dan Islam adalah UMNO. 
  •  Manakala PAS menerapkan perjuangan Islam dalam manifesto partinya. Untuk mewajarkan ia juga memperjuangkan Islam maka hukum hudud menjadi tonggak perjuangannya. Walaupun PAS tidak menyatakan dengan terperinci bagaimana hukum hudud itu akan dibawa masuk sama ada ia berada dalam hukum jenayah yang termaktub dalam perlembagaan atau ianya berdiri sendiri tidaklah diketahui! Tapi ianya membawa maksud PAS itu Islam dan Islam itu PAS. 
  • UMNO kini mempunyai pasukan ulamak-ulamak yang merangka dasar "wadah Islam" yang patut diamalkan oleh Melayu Muslim negara ini. Wadah itu dikembangkan melalui blog-blog rasmi dan persendirian, dimuat-naik ke laman-laman sosial seperti youtube, facebook dan sebagainya, dianjurkan dalam radio dan tv serta akhbar dan majalah. Undang-undang kecil syariah juga dinukilkan bagi mengawal para pendakwah pembangkang dan memberi kebebasan kepada pendakwah mereka. 
  • PAS juga mempunyai pasukan yang hebat juga. Pasukan mereka diterajui oleh pemimpin politik mereka sendiri seperti Yang diPertua PAS, Ketua Pemuda PAS, Menteri-menteri PAS dan banyak lagi. Mereka ini digelar ulamak dan Tuan Guru. Dan pengaruhnya amat hebat dan berkesan. 
  • Dakwah berterusan dari UMNO telah berjaya mengumpulkan pengikut-pengikut setia yang akan berbuat apa saja untuk mempertahankan wadah keIslaman mereka. Ini termasuk menggunakan hadis dan firman terpilih untuk mengawal pergerakan dan minda rakyat serta mewajarkan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin mereka. Satu contoh klasik ialah pembunuhan di Memali yang mangsanya dikaitkan dengan penyokong PAS. 
  • PAS juga menggunakan taktik yang sama. Mereka pergi lebih jauh lagi. Mereka  mengeluarkan fatwa "kafir" kepada UMNO. 
  • Gejala perbalahan politik cum agama ini telah menghasilkan banyak peristiwa yang menakutkan. Suami-isteri bercerai kerana perbedaan fahaman. Anak-menantu yang bakal diijab-kabulkan hanya boleh dilakukan oleh kadi yang sealiran. Solat jemaah dan solat Jumaat dilakukan bergilir-gilir mngikut imam masing-masing. Para pengikut tegar sanggup mati syahid di jalan agama! Blog-blog dihasilkan untuk mengembangkan pengaruh masing-masing! 
  • Jelaslah perbedaan fahaman politik beransur-ansur menjadi perbedaan fahaman agama. Percaturan politik kini telah menjadikan agama Islam sebagai "ayam sabung" kepada puak yang berbalah. 
Cuba anda renungkan dalam-dalam. 

Inilah bibit-bibit awal perpecahan kita kaum muslimin. Bayangkan 50 tahun akan datang. Atau 100 tahun akan datang. Ketika itu segala fatwa, hadis dan firman terpilih yang mengecam pihak lain dan mengokohkan pihak sendiri menjadi teks rujukan para pengikut tegar! Ceramah dan tazkirah yang berterusan dalam bentuk video, internet, media cetak, kuliah agama, silibus agama dalam sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi termasuklah dasar keagamaan negara  akan berkembang pesat. 

Pada hemat saya tidak mustahil cucu, cicit dan piut kita nanti akan menyaksikan kemunculan dua mazhab baru ... mazhab UMNO dan mazhab PAS! 

Sekian.

No comments:

Post a Comment