Dalam dekad 90an dulu di mana mantan perdana menteri Tun Mahathir melancarkan dasar penswastaan negara maka lahirlah beberapa pemuka korporat melayu yang berjaya mengawal ekonomi negara dalam sekelip mata. Bangsa melayu ketika itu dilanda mimpi-mimpi enak yang tidur dan bangunnya beralaskan wang jutaan ringgit.
Tiba-tiba seseorang menyarankan tokoh korporat ini dijadikan ikon tanah air! Walaupun ada pro dan kontra tapi dengan kebijaksanaan mantan perdana menteri dia tidak mengendahkan saranan tersebut.
Berlakulah tsunami kejatuhan matawang negara-negara asia pada 1997-1998. Dan terbongkarlah kisah di belakang tabir tokoh-tokoh ini.
Mereka terpaksa diselamatkan kalau tidak syarikat-syarikat gergasi yang mereka pimpin akan lenyap! Ianya termasuk MAS, Renong, MISC dan banyak lagi.
Sebenarnya mereka-mereka ini ibarat pokok-pokok hiasan yang ditanam oleh pihak DBKL di merata jalanraya KL. Pokok-pokok ini tiada akar tunjang. Datang ribut tercabutlah ia. Bukan macam pokok meranti dalam hutan. Kokoh berdiri dengan akar tunjangnya tertancap jauh ke dalam bumi!
Mereka anak emas. Mereka dipilih untuk menjadi jutawan korporat. Kriteria yang menjadi ukuran ialah mereka berdamping dengan golongan yang berkuasa ketika itu. Pengalaman tidak ada. Ibarat bertemu harta karun. Dan nasib mereka seperti Kassim Baba.
Berbeda dengan kaum cina atau india. Kekayaan mereka adalah hasil titik-peluh mereka. Mereka bermula kecil dan terus menjadi besar, kokoh dan kuat. Dan mereka tidak sesekali melupakan budaya, agama dan bangsa mereka. Mereka mendirikan berbagai-bagai persatuan untuk membantu bangsa mereka.
Berlainan dengan bangsa kita. Sesudah mendapat harta karun mereka bergerak sendiri-sendiri. Mereka membina rangkaian yang dimonopoli oleh sanak-saudara. Peniaga melayu yang berpotensi besar terpaksa mencari jalan keluar sendiri.
Maka lahirlah golongan jutawan melayu yang berdikari seperti jutawan senyap, jutawan MLM, jutawan internet dan berbagai jutawan lagi.
Sebenarnya ada beberapa golongan yang tidak layak menyandang gelaran ikon. Selain artis ialah ahli politik, ahli perniagaan, ahli korporat, menteri-menteri dan banyak lagi. Semua mereka ini ada udang di sebalik batu. Ahli politik inginkan kuasa, ahli perniagaan inginkan peluang niaga, ahli korporat inginkan projek dan menteri-menteri inginkan kekekalan kuasa.
Oleh sebab itu gelaran ikon sepatutnya menjadi milik para ilmuan yang unggul, sasterawan-sasterawan, para saintis yang menemukan penemuan baru dalam sains dan yang seumpamanya.
Lain kali kalau membicarakan soal ikon fikir dulu bukan terjah ikut sedap mulut.