Saturday, February 13, 2010

Dongeng Pak Kaduk, Luncai dan Pak Pandir

Dulu watak pak kaduk, siluncai dan pak pandir adalah di kalangan rakyat marhaen. Hari ini sindrom pak kaduk, siluncai dan pak pandir sudah melanda barisan kepimpinan tertinggi negara.

Yang saya maksudkan dengan kepimpinan tertinggi ialah barisan pemimpin dalam kerajaan dan dalam parti-parti politik.

Sepintas lalu pak kaduk hendak bersabung ayam. Dengan helah sultan ayam sabung pak kaduk yang bertuah menjadi milik sultan. Pak kaduk pertaruhkan kampung halamannya.  Bila ayam sabung sultan menang pak kaduk sangka ayam dia yang menang! Akhirnya kalah sabung kampung tergadai.

Ekonomi kita memang lembab. Tanya mereka yang arif atau tanya kaum peniaga. Semua mengeluh. Malangnya kerajaan tidak melakukan sesuatu untuk menaikkan taraf kewibawaan kita di depan mata pelabur. Kita masih lagi diseret dalam sengketa ketidak-adilan judisiari, sengketa buruk sangka antara kaum dan agama dan sengketa politik yang berpanjangan.

Kenapa?

Sebab barisan pemimpin kita ada ayam sabung masing-masing!

Pada kerajaan ayam sabungnya ialah Petronas, EPF, PNB dan Tabung Haji! Jumlah duit yang terkumpul dalam 4 entiti ini sudah cukup untuk mempertahankan ekonomi kita yang lembab. Zaman kemelut matawang 1997-1998 mantan perdana menteri Tun Mahathir gunakan wang EPF dan beliau berjaya merangsang pergerakan ekonomi domestik tanpa campur-tangan pelabur luar.

Demi mengekalkan kuasa walau tipis mana sekalipun barisan nasional ada ayam sabung mereka. Seperti yang pernah dikatakan oleh presiden mereka beberapa waktu dulu (lebih-kurang begini bunyinya), “Sabah dan Sarawak adalah insurans kita!”.  Itu sebab parti ini tidak gentar melakukan tindak-tanduk yang kadang-kala merimaskan rakyat seperti berebutkan Perak, berebut kuasa sesama sendiri (MCA), tikam-menikam di belakang (politik Trengganu dan N9) dan macam-macam lagi!

Pun begitu pakatan rakyat ada juga ayam sabung mereka. Mereka ialah pengundi-pengundi cina dan india, pengundi-pengundi baru, Datuk Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Nik Aziz. Mereka ini mempunyai strategi jangkamasa yang panjang. Ibarat api dalam sekam. Api tak nampak tapi baranya makan jauh ke dalam sekam!

Siapa pula siluncai? Ikut ceritanya siluncai dihukum bunuh. Semasa dalam sampan untuk dibawa ke tempat pembunuhan siluncai ajar pegawai istana menyanyi, “SiLuncai terjun dengan labunya. Biarkan, biarkan”. Bila siluncai benar-benar terjun dengan labunya pegawai istana menjerit-jerit mengatakan “, SiLuncai terjun dengan labunya!’ Pegawai istana yang lain mengatakan, “Biarkan! Biarkan!” Siluncai selamat.

Cuba renung senarai ini: Perwaja, skandal BMF, skandal MAS, skandal kejatuhan matawang 1997-1998, kapal selam yang tak mahu menyelam, PKFZ, jambatan runtuh, MRR2, bangunan runtuh dan bermacam-macam lagi.  Ada dengar tak sesiapa yang kena hukum dan masuk penjara? Perasan tak segala broker, kroni, peniaga, kontraktor, pemimpin dan ramai lagi yang terlibat dalam skandal ini bukan saja bebas tapi ada yang diberi pampasan lagi! “Siluncai terjun dengan labunya. Biarkan, biarkan!”.

Dalam arena politik pula ramai orang lama dah bersara atau dipencenkan oleh pengundi. Mereka ini terselamat dari segala tohmahan salah-laku yang mereka lakukan ketika berkuasa dulu. “Siluncai terjun dengan labunya. Biarkan, biarkan!”

Dalam pakatan rakyat juga ada luncai mereka. Mereka diam-diam menyeberang ke daerah musuh dengan labu-labu mereka. “Biarkan, biarkan!”

Siapa pula yang jadi pak pandir? Mengikut kisahnya pak pandir dungu lagi lurus bendul. Apa saja andeh suruh dia buat walaupun dia tak tahu hujung-pangkal perkara yang disuruh.

Kalau nak tau siapa pak pandir jawabnya, “Lu pikirlah sendiri!”

No comments:

Post a Comment