Bahagian 1
Sebuah Permulaan
---------------------------------------------------------------------------------------
Ianya ilham Perdana Menteri ke 4 Malaysia, Dr Mahathir Mohammad.
Secara ringkas Wawasan 2020 memacu Malaysia dan warganya ke arah menjadi sebuah negara maju yang dihuni oleh rakyatnya yang maju dalam pemikiran, industri dan akhlak serta berani bersaing dan berdikari di atas pentas dunia.
Dua perkara penting menjadi sasaran; ekonomi dan peribadi warganya.
Peribadi Warga Malaysia
1) Waktu dipercepatkan 1 jam lebih awal. Rakyat Malaysia terpaksa bangun lebih awal untuk memulakan hari mereka.
2) Dasar Pandang ke Timur diterapkan. Rakyat digalakkan mengamalkan budaya kerja rakyat Jepun yang mementingkan ketaatan kepada majikan, kreatif di dalam melaksanakan tugas, rajin dan istiqamah ketika bekerja.
3) Menyingkirkan pesaing-pesaing politik yang bersikap konservatif yang diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam. Dr Mahathir berkeyakinan jika dibiarkan pengaruh mereka berkembang dalam parti nescaya projek mega Wawasan 2020 akan terbantut.
Dari rentetan beberapa peristiwa politik dalaman parti maka UMNO telah diharamkan. Ianya diganti dengan UMNO Baru yang dipimpin oleh Dr Mahathir. Beliau menyusun kepimpinan baru yang radikal termasuk Daim Zainuddin, Anwar Ibrahim, Muhammad Taib, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak. Mereka melaungkan slogan MELAYU BARU sebagai pembangkit semangat warga Melayu untuk mengejar impian menjadi bangsa maju dunia.
4) Melemahkan pengaruh Islam konservatif yang diperjuangkan oleh PAS dan Arqam.
Pengaruh ABIM yang berwatakan Islam Progresif yang dinaungi oleh Anwar Ibrahim berjaya mengendurkan pengaruh PAS.
Manakala dengan kerjasama Pasukan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Agama Islam Malaysia Darul Arqam berjaya diharamkan, aktiviti dan perniagaan mereka disekat lantas pengaruh mereka terus berkurangan.
Dengan kejayaan-kejayaan besar ini Dr Mahathir menumpukan kepada agenda keduanya.
Kemakmuran Ekonomi
1) Prasarana negara digerakkan besar-besaran.
Lebuhraya PLUS disempurnakan sehingga ke Bukit Kayu Hitam. Jambatan Pulau Pinang menghubungkan tanah daratan dengan pulau tersebut. Pantai Timur dan Pantai Barat dihubungkan dengan Lebuhraya Timur-Barat. Lebuhraya kedua Elite dibina menuju Klang dan ke utara tanah air.
Kotaraya Kuala Lumpur dilakarkan dengan berbagai lebuhraya penyuraian trafik seperti Kerinci Link, LDP dan sebagainya.
Pengangkutan pilihan seperti sistem komuter, STAR, Putra dan Monorail dilancarkan serentak. Pengangkutan bas-bas awam swasta disatukan bawah satu syarikat, Cityliner.
2) Aset negara diswastakan.
MAS diberi kepada Tajuddin Ramli. KTM kepada Renong. MISC kepada Mirzan Mahathir. TNB, Telekom Malaysia, Pos Malaysia dan Felda dikorporatkan. Sebahagian penswastaan hospital dikongsi oleh Tongkah dan MediCare. Kemasukan ke pusat pengajian tinggi diringankan dengan sekim PTPTN serta program-program berkembar dengan pusat-pusat pengajian tinggi luar negara.
3) Sistem komunikasi negara diberikan nafas baru. Maka lahirlah MAXIS, Celcom, Sapura, DiGi, Mobikom, Astro dan MegaTV.
Koridor raya multimedia dilancarkan. Kotanya di Cyberjaya. Rakyat Malaysia dikejutkan dengan dunia siber. Internet menjadi buah hati rakyat yang sedang berlari ke arah kemajuan.
4) Industri berat menjadi pemangkin menggerakkan ekonomi mega. Syarikat yang diamanahkan menjalankannya termasuklah HICOM dan Perwaja. Projek kesayangan Dr Mahathir ialah pembinaan industri kereta nasional, Proton.
Bila pembangunan bertambah rancak maka bangunan-bangunan pejabat wajib dibina. Lahirlah bangunan Dayabumi, PWTC dan Petronas Twin Tower.
Pentadbiran kerajaan pusat dipindahkan ke kawasan baru, Putrajaya.
5) Rakyat bertambah mewah dan mereka perlukan rumah. Kerajaan pimpinan Dr Mahathir memberi kemudahan kepada syarikat perumahan dengan menggalakkan sekim pengambilan deposit dan bina. Maksudnya rumah ditempah lebih awal dan setelah cukup kuota baru dibina.
6) Untuk menggalakan warga Melayu menabung sekim ASN/ASB dilancarkan sebagai sokongan kepada sekim Tabung Haji. Kedua-dua sekim ini ternyata sangat berjaya.
Tahun-tahun 1991 - 1997 kepesatan pembangunan material begitu dirasakan. Rakyat mewah, makanan serba cukup, keadaan politik stabil dan rata-rata semuanya yakin Wawasan 2020 bakal dicapai lebih awal.
Kemewahan yang dikecapi sekaligus merabunkan rakyatnya. Mereka terlupa pada hukum alam. Yang hidup pasti mati, yang kecil akan membesar. Yang muda menjadi tua. Yang naik pasti turun. Yang segar akan layu.
Impian Dr Mahathir dan rakyat Malaysia bakal dilanda tsunami pada Oktober 1997.
(ikuti siri ke 2)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment