Ini cerita lama. Dongeng moden.
Munir didatangi Kassim. Kawan lama. Kassim bawa peluang niaga. Munir memang dah lama tunggu peluang macam ini.
Kononnya ada seorang tuan tanah. Tanah tepi jalan raya. Jalan raya sibuk. Dia dah pohon nak dirikan stesen minyak. Lulus. Modal kurang. Kena buat pinjaman. Tak berani jalankan sorang-sorang. Nak cari rakan niaga yang aktif. Sanggup kongsi 60/40. 40% dia punya. 60% rakan kongsi punya. Dia rakan tidur saja.
Munir teruja. Dia sediakan kertas-kerja. Gedebuk-gedebak dari sifar sampai buka stesen dia perlukan RM 2 juta.
Dia serahkan kertas kerja pada Kassim, orang suruhan tuan tanah itu.
Kini Munir tunggu. Tunggu, tunggu dan tunggu.
Kassim datang. Wajah berseri-seri. "Tanggung beres", katanya.
Dia serahkan satu fail tebal pada Munir. Munir bawa balik untuk ditelaah.
Untuk urusan tanah, lesen dan pinjaman ada seorang datuk yang akan jalankan. Datuk ini banyak kenalan dan kuat pengaruh. Untuk meluluskan pinjaman melibat dua pegawai besar bank. Seorang ketuanya dan seorang lagi pegawai pinjaman.
Pinjaman RM 2 juta TAK LULUS! Akan tetapi pinjaman yang disyorkan ialah RM 6 juta! INI PASTI LULUS!
Munir bingung. Dia jumpa Kassim. "Apa cerita ni Kassim ..." rungutnya.
Kassim tersenyum bermuslihat.
" 2 juta untuk engkau. 4 juta bakinya untuk datuk, tuan tanah, 2 orang pegawai bank dan aku! Hai ... orang berbudi kita berbahasa maka sama-sama merasa! "
Munir fikir panjang.
"Perniagaan belum pun nampak kelibat dah ada orang dapat untung. Aku yang tanggung hutang! Kerja gila ni!"
Munir pun tolak kerjasama ini. Nasib baik dia masih waras lagi.
Dengar khabarnya ada juga orang yang sanggup jadi barua kepada peraih-peraih untung atas angin ini. Banyak yang lingkup sebab taggung hutang luar kemampuan. Peraih-peraih tadi dah lama ketawa besar kerana dapat untung besar tanpa keluar setitik peluh pun!
Wednesday, August 24, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment