Thursday, February 11, 2010

Dongeng Serban, Ketayap dan Songkok

Ketika tanah airku bernama Tanah Melayu serban adalah pakaian rasmi tok-tok guru pondok  dan juga mereka yang telah menunaikan haji. Orang awam memang tak berani kalau saja-saja nak pakai serban. Silap-silap haribulan kena panggil baca doa kenduri arwah atau menguruskan jenazah! Mereka yang berserban sangat dipandang mulia.

Yang pakai ketayap pula digelar lebai atau siak. Lebai ialah mereka yang rajin ke surau dan rajin menghadiri majlis ilmu. Dalam surau atau masjid mereka ialah muazzin. Manakala siak pun rajin juga ke surau dan menghadiri majlis ilmu. Dalam bidang tugas mereka menguruskan kebersihan surau. Orang awam memang tak berani kalau saja-saja nak pakai ketayap sebab tok lebai ni orang kanan tok imam. Kalau tok imam tak ada merekalah yang dipanggil untuk baca doa kenduri arwah atau menguruskan jenazah hanyasanya mereka belum menunaikan haji. Kalau mereka sudah menunaikan haji mereka beralih memakai serban.

Songkok pula ialah pakaian orang awam. Zaman itu di kedai-kedai kopi milik orang cina ramailah orang bersongkok sembang kosong dan minum kopi. Pergi menoreh atau ke sawah pun pakai songkok terutama sekali songkok lemet yaitu songkok yang lembik.

Bila tanah airku merdeka berlaku beberapa perubahan.

Serban masih lagi pakaian tok-tok guru, tok-tok imam dan tok-tok haji. Oleh kerana sipemakainya mempunyai kewibawaan maka ahli politik yang cenderung memperjuangkan konsep negara Islam maka ketua-ketua mereka pun dipilih dari mereka yang memakai serban.

Sebahagian orang awam yang cenderung ke parti islam beralih memakai ketayap. Namun begitu tok lebai dan tok siak masih lagi mengekalkan ketayap sebagai pakaian rasmi mereka.

Songkok sudah mula popular di kalangan parti melayu kebangsaan yaitu UMNO. Pendek kata songkok = melayu. Pada orang awam pula songkok hanya untuk ke surau atau majlis-majlis rasmi.

Dalam dekad 90an apabila pengaruh agama dan politik sama kuat berlaku lagi satu transformasi.

Serban masih lagi jadi milik tok-tok guru, tok-tok haji dan ketua-ketua parti islam. Kini ia juga milik abuya-abuya pergerakan kumpulan islamiyah persendirian seperti arqam, tabligh dan lain-lain lagi. Tak kira, sama ada mereka dah tunai haji ke atau belum ahli mereka dimestikan pakai serban. Serban = sunnah nabi. Di mana-mana kita melihat orang pakai serban. Serban dah hilang status quonya. Dan gaya serban diikat pun dah bermacam-macam; gaya iran, gaya arab padang pasir, gaya orang mesir, gaya orang benua india … macam-macam. Serban orang parti islam dengan orang parti kebangsaan pun  pun lain. Orang parti islam kain lilitnya putih dan ketayapnya putih. Manakala orang parti kebangsaan pula kain lilitnya putih dan ketayapnya merah. Serban juga semakin popular di kalangan ilmuan-ilmuan islam.

Ketayap pula semakin hebat perkembangannya. Orang awam sudah tidak segan-segan lagi pakai ketayap. Malah ahli parti islam gemar memakai ketayap bila berhimpun. Para anak muda mula mereka-cipta bentuk ketayap yang canggih. Ia dimulakan oleh gerakan kumpulan nasyid Raihan dan Rabbani. Berebut-rebutlah remaja dari aliran sekolah agama memakai ketayap fesyen baru itu. Malah di dekad itu kita boleh jumpa anak-anak muda pakai ketayap fesyen baru ini di gedung-gedung membeli-belah, di konsert-konsert dan di sudut-sudut lepak di mana-mana sahaja. Pangkat tok lebai dan tok siak tinggal di dalam surau.

Apa jadi pada songkok? Ia menjadi pakaian kepala yang popular di kalangan ahli kumpulan parti kebangsaan melayu. Kalau mereka berhimpun mereka akan memakai songkok tanda mereka orang melayu dan memperjuangkan agenda melayu. Songkok juga popular dua kali setahun bagi orang awam yaitu ketika menyambut aidil fitri dan aidil adha.

Bagaimana pula sekarang ini? Sekarang ialah zaman caca-marba. Sesiapa saja boleh pakai serban asalkan tahu cara mengikatnya. Pilihlah fesyen manapun; fesyen masyarakat tuareg di padang pasir? Fesyen pejuang taliban? Fesyen osama ben ladin? Terpulang. Malah kaki dadah pun pakai serban sebab nak sembunyikan dadah dalam serban mereka. Hari ini tuan rumah kalau nak panggil orang baca doa kenduri arwah kena pastikan benar-benar orang yang pakai serban itu tulen kewibawaannya. Pendek kata serban sudah kehilangan kewibawaannya! Ia hanya satu fesyen sahaja.

Kalau anda gemar pakai ketayap putih hati-hati sebab anda mungkin dicop sebagai ahli atau para simpati parti islam. Entah sejak bila ketayap putih menjadi simbol rasmi parti islam. Kalau anda penggemar  ketayap dan untuk mengelakkan dari dicop ahli parti islam pilihlah ketayap fesyen baru yang dipelopori oleh kumpulan-kumpulan nasyid tanah air. Anehnya gelaran tok lebai dan tok siak semakin tidak kedengaran lagi.

Songkok juga sudah menjadi pakaian rasmi ahli parti kebangsaan melayu. Namun begitu orang awam jarang pakai songkok. Songkok hanya perlu ketika solat jumaat atau ketika menyambut adil fitri dan aidil adha.

1 comment:

  1. PAKAI SONGKOK KETINGGALAN ZAMAN.ORANG BONGOK JE PAKAI SONGKOK.

    ReplyDelete