Saturday, May 29, 2010

Sejarah Orang Melayu dan Tanah Airnya

Dulu-dulu semenanjong ini digelar Semenanjong Tanah Melayu. Di dalam peta ia dikenali sebagai the Malay Peninsula. Bahasa penduduknya bahasa Melayu. Pakaian yang dipakai dinamakan baju Melayu. Ia adalah tanah air orang Melayu. Dan bangsa penakluk menamakan tanah air orang Melayu ini sebagai Malaya. Dan bila mereka membina infrastruktur keretapi syarikatnya dinamakan Keretapi Tanah Melayu.

Pulau Temasik yang kini dikenali sebagai Singapura adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Dalam tahun 1824 kerajaan Johor-Riau yang diwakili oleh Sultan Hussain dan Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura kepada kerajaan British. Sebagai imbuhan mereka dibayar 33,200.00 ringgit sekali bayar dan gaji bulanan 1300.00 ringgit seumur hidup untuk sang sultan. Dan sang temenggong mendapat 26,000.00 ringgit sekali bayar dan gaji bulanan 700.00 ringgit seumur hidup.

Manakala Pulau Pinang pula diserah kepada Francis Light pada tahun 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa yaitu Sultan Kedah sebagai upah melindungi kerajaan Kedah dari serangan kerajaan Siam.

Dalam tahun 1511 pula kerajaan Melayu Melaka yang dilanda konspirasi politik, rasuah dan pembunuhan Tun Ali kerana Sultan ingin merampas tunangnya Tun Fatimah telah melumpuhkan jentera kerajaan sehingga ianya ditakluki oleh Portugis yang kemudian diambil-alih oleh Belanda yang akhirnya dikalahkan oleh tentera laut Inggeris.

Bila bangsa penakluk berhasrat meninggalkan Tanah Melayu tampuk pemerintahan diwarisi oleh parti Melayu yang menamakan diri mereka United Malays National Organisation atau singkatannya UMNO. Ada syarat lain dikenakan juga. UMNO wajib berganding bahu dengan MCA yang mewakili kaum Cina dan MIC yang mewakili kaum India. Pakatan 3 penjuru ini dinamakan Perikatan yang kemudiannya ditukar dengan nama Barisan Nasional.

Kaum Cina datang ke sini kerana bijih dan kaum India dibawa oleh bangsa penakluk untuk bekerja di ladang-ladang getah.

Maka bermulalah era perkongsian bangsa memerintah Malaya. Tidak wujud lagi kerajaan Melayu. Pun begitu hak orang Melayu sebagai bumiputera dijamin di dalam Perlembagaan Negara. UMNO menggunakan slogan Hidup Melayu sebagai penawar kepada perjuangan orang Melayu.

Pada 16.9.1963 North Borneo (Sabah hari ini) dan Sarawak bersetuju bergabung dengan Semenanjung Tanah Melayu. Persekutuan baru ini dinamakan Malaysia. Semenanjung Tanah Melayu dinamakan Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak digelar Malaysia Timur. Maka terhapuslah Semenanjung Tanah Melayu atau the Malay Peninsula! Bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia.

Istilah Tanah Melayu (yang bererti tanah orang Melayu) sudah tidak wujud lagi. Malaysia ialah kepunyaan orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak, Bajau, Bidayuh dan sebagainya.

Dalam tahun 1965 Singapura diserahkan kepada Lee Kuan Yew oleh Tunku Abdul Rahman yaitu pemimpin tertinggi UMNO. Alasannya dia tidak mahu ketegangan kaum yang melanda Singapura merebak ke Semenanjung Malaysia. Ironinya beliau digugurkan bila ketegangan kaum berlaku di Semenanjung Malaysia pada tahun 1969 empat tahun selepas penyerahan Singapura!

Tidak semena-mena dalam dekad 90an dan awal abad ke 21 tiba-tiba bangun satu laungan semangat oleh Pemuda UMNO yang memperjuangkan Ketuanan Melayu! Sebenarnya mereka ini buta sejarah. Nak jadi tuan negara ini mesti negara Melayu, bahasa bangsa bahasa Melayu dan kuasa 100% kuasa Melayu!

Tidak heranlah kenapa kepimpinan UMNO yang diterajui oleh Najib melaungkan slogan Satu Malaysia sebab beliau tahu Malaysia adalah kepunyaan kita yaitu orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak, Asli dan sebagainya.

Kalau gerakan keTuanan Melayu atau ekstremis Melayu rasa terkilan dengan perjuangan mereka yang sia-sia jangan salahkan DAP atau PKR atau PAS atau MCA atau MIC atau Gerakan tapi salahkan kepimpinan UMNO dahulu kala. Tindak-tanduk pemimpin merekalah yang mengakibatkan Semenanjung Tanah Melayu hilang dari peta dunia dan bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia.

Pendek kata orang Melayu sudah kehilangan tanah dan bahasa mereka sendiri!

Hari ini kita orang Melayu mesti berani mencorakkan masa depan generasi kita mengikut acuan yang dituntut oleh dunia tanpa sempadan yaitu dunia memiliki maklumat bukan dunia yang penuh kejahilan yang selalu diingatkan oleh mantan Perdana Menteri kita, Mahathir Muhammad yaitu Melayu Mudah Lupa!

Jangan lupa sejarah! Jangan lupa asal-usulmu. Pandang ke belakang untuk mengokohkan tapak dan hayun langkah menuju ke masa depan yang lebih cemerlang dan bermakna.

Thursday, May 27, 2010

Lagi Kisah Anak dan Emak ...

Kisah di bawah ini ialah sebuah dongeng moden.

Seorang emak sakit kuat. Terlantar. Anak-anaknya mengamalkan jaga emak bergilir di rumah masing-masing. Maka sang emak pun berpindah-randahlah ke rumah anak-anak mengikut jadual yang ditetapkan. Satu ketika tibalah giliran sang kakak.

Adik telefon, "Kak, bila nak datang ambik mak? Adik dah terlajak jaga ni."

Kakak jawab, "Ala ... kaulah jaga. Kakak sibuk ni. Kakak dah jadi ajk surau cabang wanita ni. Seminggu dua tiga kali mesyuarat. Setiap hari ada saja aktibiti surau; berlatih berzanji, melagukan bacaan quran, ceramah guru dan macam-macamlah. Mengganggu kakak nak buat kebajikan saja".

Adik, "Tak bolehlah macam tu kak. Tak adillah. Janji macam mana!"

Kakak jawab, "Kira saja belanjanya berapa. Kakak bayarlah bahagian kakak".

Adik mengalah.

Tidak berapa lama kemudian sang emak meninggal dunia. Adik telefon kakak, "Kak, balik. Mak dah takde!"

Kakak jawab, "Laa ... Lepas mesyuarat ajk surau ni kak balik".

Kisah yang di bawah ini saya kutip dari buku sejarah Islam.

Sekali persetua RasulluLah saw memerintah orang lelaki zaman itu pergi berjuang fi sabililLah.

Terdapat seorang ibu tua yang masih kafir tetapi sakit yang melarang anak mudanya yang Muslimin pergi berjuang. Larangan ini menjengkelkan anak muda itu lalu dia mengadu kepada RasululLah saw.

RasululLah saw dengan tegas melarang anak muda itu dari melanggar perintah ibu tuanya yang kafir kerana engkar itu membawa kepada derhaka. Derhaka kepada ibu terlebih buruk perangai di sisi Allah. Akhirnya anak muda itu membatalkan niat menyertai perang sabililLah!

Nak dinilaikan pahala perang sabililLah dengan pahala berlatih berzanji ... Orang bijak agama zaman ini banyak menyingkirkan nilai-nilai luhur dalam agama dari ceramah mereka atau khutbah Jumaat dan khutbah raya. Ceramah agama hari ini disogokkan dengan nilai menyembah dunia seperti percaya kepada cakap-cakap pemimpin politik, berterima-kasih kepada pemimpin yang bagi kita makan, berbaik dengan jiran dan sebagainya tapi sambil itu mendiamkan diri kepada gejala rasuah yang menular dalam hampir ke semua badan-badan kerajaan (cuba baca laporan audit badan kerajaan yang dikeluarkan setahun sekali itu), mendiamkan diri kepada gejala judi yang dihalalkan, mendiamkan diri kepada fitnah-fitnah politik, mendiamkan diri kepada permusuhan pemimpin-pemimpin seagama (cuba teliti kandungan khutbah haji terakhir RasululuLah yang mengharamkan permusuhan sesama Muslimin), mendiamkan diri dengan berita-berita bohong dan fitnah yang mengisi segala macam dada akhbar, tabloid dan tv dan macam-macam lagilah.

Saya kesian kepada sang kakak dan sang adik tadi. Mereka ditipu oleh kejahilan. Cuba teliti diri anda sendiri. Adakah anda masih jahil?

Saya bagi petua pada anda. Jangan cepat melatah. Jangan obsess dengan sesuatu. Lapangkan dada dan fikiran. Selalu kembali kepada kebijaksanaan yang terkandung dalam hadis dan firman. Mudah-mudahan ...

Friday, May 21, 2010

Hari-hari Terakhir Seorang Emak

Emak saya disahkan menghidap kanser pankreas yang telah merebak ke dalam perutnya. Doktor meramalkan mak boleh bertahan selama tiga bulan saja. Doktor memberi dua pilihan kepada kami.

1) Masukkan mak ke dalam wad. Mak akan dijaga oleh jururawat dan doktor. Perut mak akan ditebuk dan satu tiub akan diikat di luar perut bagi membuang segala kekotoran di dalam perut mak.

2) Mak dibawa balik ke rumah. Anak-anak jaga. Doktor akan bekalkan ubat yang sepatutnya. Doktor juga akan memberi ubat yang boleh meluruhkan kekotoran dalam perut dan dibawa keluar menerusi kencing. Oleh itu mak akan kerap buang air kecil.

Setelah berunding dengan adik beradik yang seramai sebelas orang kami mengambil kata sepakat untuk menerima pilihan kedua.

Selama tiga bulan yang diramalkan mak berada di sisi anak-anaknya yang dikasihi.

Kami semua bekerja. Kami juga ada anak-anak remaja dan yang masih kecil. Kami juga tinggal berjauhan dengan mak. Ada yang di KL. Ada yang di Seremban.

Kami sepakat mengambil cuti bergilir. Pada isteri kami, kami katakan, "Ketika kami tidak ada awak uruskan rumahtangga dan anak-anak. Besok bila mak awak sakit awak ambil cuti dan kami uruskan rumahtangga dan anak-anak".

Setiap hari sekurang-kurangnya dua di antara kami akan meneman mak. Di hujung minggu hampir kesemua turun menjaga mak.

Mak kami dukung dan mandikannya. Kami bersihkan mak. Sikat rambutnya. Bedakkan mukanya. Suapkan buburnya. Gantikan pakaiannya. Bersihkan tilam dan katilnya. Urutkan badannya. Pendek kata bagaimana mak manjakan kami ketika bayi dulu kami manjakan mak semampunya. Ketika mak tidak boleh lagi minum kami beli perkakasan untuk mengalirkan air sline ke dalam badan mak.

Pernah mak bertanya kepada saya, "Mak nak mati ke ni?" Saya tidak menjawab. Mak faham dan tabah menghadapinya.

Ada satu ketika saya bertanya," Mak macam mana sekarang ni?" Mak jawab, "Mak terasa lebih dekat ke sana dari di sini".

Bukan semua isteri kami yang sukakan mak. Maklumlah konflik menantu dan mertua memang ada-ada saja. Akan tetapi kami tidak peduli. Mereka hendak menjenguk mak atau tidak itu kami tak ambil hal. Mak ini mak kami. Bukan mak dia orang. Mak ini ialah mak yang melahirkan kami dan menjaga kami sehingga kami dewasa.

Bila mak kembali ke rahmatulLah kami yang uruskan mak. Kuburnya kami dan anak-anak yang gali. Urusan pengkebumian tidak ada orang luar yang campur tangan.

Pada yang ada mak yang sakit terlantar di wad bawalah mak pulang. Ubat-ubatan ambil saja dari hospital. Ambil cuti dan jaga mak. Minta nasihat doktor bagaimana nak jaga mak di rumah.

Hospital tak sayangkan mak anda. Hospital sayangkan duit anda. Lebih lama mak di hospital lebih banyak anda berbelanja. Lebih banyak pendapatan hospital.

Hari ini banyak mak yang meninggal dunia dikelilingi oleh para doktor dan jururawat yang mak tak kenal. Lebih sedih lagi ada mak yang meninggal dalam khemah ICU terikat di katil dengan segala macam wayar, tiub dan gajet. Anak-anak hanya menunggu di luar wad. Lepas tangan. Ada anak-anak yang hanya menunggu panggilan telefon. Kalau adapun anak di sisi mak hanyalah anak yang ditugaskan menjaga mak di malam kematiannya di wad.

Ubat boleh dibeli. Kasih sayang hanya terbit dalam hati yang luhur. Bila mak menghadap hari-hari terakhirnya mak tidak mahu dia dirawat oleh doktor dan jururawat. Apa yang mak mahu ialah dia dirawat oleh anak-anak dengan kasih-sayang yang berpanjangan.

Sayangilah mak. Itulah saja mak. Tidak ada galang-gantinya.

Wednesday, May 19, 2010

Dongeng Diet

Bila disebut diet sekaligus orang kita faham maksudnya sebagai "proses menguruskan badan". Kalau nak dihitung pakej diet yang ditawarkan kepada orang kita memang tak terhitung; samaada jenama tempatan atau luar negara ianya melambak boleh ditemui di serata mall atau perniagaan MLM. Kononnya ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Tidak ada kajian mengenainya. Oleh itu kita tidak tau kisah kejayaannya.

Di kalangan sahabat-handai atau saudara-mara atau ipar-duai yang di keliling saya dapat saya ukur kejayaan mereka. Hampir semua berjaya separuh jalan saja. Kebanyakannya akan jemu dengan produk yang dimakan lalu berhenti sekerat jalan. Bila diperkenalkan produk baru dicubanya lagi. Jemu sekerat jalan. Berhenti dan begitulah seterusnya. Beribu-ribu ringgit habis begitu saja.

Ada yang berjaya lalu berhenti berdiet. Maklumlah maksud sudah tercapai. Tiba-tiba kemaruk makan datang menyerang. Makan tak kira waktu. Badan berisi semula. Timbul keinginan nak berdiet. Cari produk lain. Yang menghairankan kenapa tak rujuk produk yang lalu? Entah!

Baru-baru ini saya menonton Granada TV yaitu salah satu saloran di Astro. Ianya membicarakan satu kajian ilmiah yang dilakukan kepada sebahagian besar wanita di England yang obsess dengan berdiet menggunakan produk-produk diet segera yang ditawarkan kepada mereka.

Hampir semua akan sentiasa mengejar produk-produk baru. Amalan diet mereka tidak pernah mendapat kejayaan yang berkekalan. Setiap kali sesudah melepasi berat badan yang diinginkan mereka berhenti memakan produk yang diamalkan. Tak lama kemudian kemaruk makan akan menyerang mereka. Berat badan kembali menghantui. Lalu mereka cari produk baru kerana merasakan produk lama telah gagal untuk mengekalkan kelangsingan badan.

Masalah besar kepada produk-produk segera ini ialah ianya dicipta untuk menghalang merasa lapar. Dengan segelas air yang diramukan dengan sesudu tepung bahan diet itu sudah cukup untuk membuat pengamalnya berasa kenyang. Hakikatnya ia melanggar sistem penghadaman perut.

Sistem penghadaman perut perlukan bahan pepejal dan cecair untuk kesempurnaan fungsinya. Segelas air dengan sesudu ramuan bahan diet bukanlah unsur yang baik untuk sistem itu. Bila anda berhenti dari mengamalkan bahan diet tadi sistem penghadaman kembali normal. Sudah tentu sistem itu menuntut cara lazim untuk "mengenyangkannya". Oleh kerana anda sudah lama tidak makan dengan sempurna dan selera anda kembali normal maka anda secara semulajadi akan diserang kemaruk makan!

Sebenarnya diet secara semulajadi amat mudah. Saya sudah mengamalkannya. Saya kurangkan makan yang bergoreng. Roti canai diganti dengan tose atau capati. Sayur goreng diganti dengan yang direbus, ulam atau mentah (seperti kobis, salad dan sebagainya). Ikan, ayam dan daging goreng digantikan dengan yang dipanggang atau dibakar. Nasi sepinggan dikurangkan kepada secawan nasi tapi lauknya banyak! Dengan cara ini anda terus makan dengan kenyang tapi berupaya mengurangkan lemak dalam badan. Saya yakin anda akan memiliki susuk tubuh yang anda ingini tanpa merosakkan sistem penghadaman anda.

Cubalah.

Friday, May 7, 2010

Jerat Yang Tersasar

Cerita ini saya kutip dari borak-borak warung kopi. Itupun saya menelinga cerita orang. Ketika itu saya dalam perjalanan ke Melaka. Dah lama cerita ni. Tak ingat dah warung kopinya.

Kononnya ada sebatang jalanraya yang sangat sibuk. Banyak kampung-kampung di sepanjang jalanraya tersebut. Di tempat yang dimaksudkan ini jalannya lurus. Kereta-motor yang lalu di jalan ini jadikannya tempat lepas geram. Hadlajunya ialah 90 kmj.

Kononnya dalam setiap bulan ada-ada saja perangkap hadlaju yang dipasang. Dan kebanyakan mangsanya ialah budak-budak kampung yang suka remp-it ketika melalui jalan tersebut. Sampailah ketikanya budak-budak ini naik angin.

Satu hari seperti biasa datanglah penguasa jalanraya. Mereka datang naik kereta. Penguasa yang berkenaan turun bawa kamera dan melintas jalanraya. Kemudian kereta tadi bergerak pergi.

Di seberang jalanraya yang dimaksudkan itu ada bukit yang semak-samun. Di sinilah sang penguasa gemar bersembunyi dan halakan perangkap lasernya ke jalanraya. Selalunya dia berada di situ dalam tempoh tiga ke empat jam menjalankan tugasnya.

Pagi itu agak berbeda sikit. Sesampai saja dia di situ bau maung menerjah lubang hidung. Dia tertanya-tanya tapi kerana tugas dipaksakan juga. Ketika mencari tempat sesuai nak pacakkan kamera keadaan menjadi gawat. Di mana saja dia pijak dia terpijakkan tahi manusia. Bukan sikit. Merata-rata! Sang penguasa bergegas keluar dari semak-samun tadi dan cari kawasan berumput untuk bersihkan but kerjanya! Sambil itu dia menghidu baju dan seluar kok ada yang terpalit tahi!

Tak berapa lama kemudian datang semula kereta tadi. Sang penguasa pulang bawa kenangan busuk sebagai peringatan.

Sama ada ya atau tidak sahihnya cerita ini terpulanglah. Macam saya kata tadi saya kutip dari borak-borak warung kopi.

Bila difikirkan saya pun heran denga gelagat sang penguasa. Di depan klinik Ampangan ada sebuah bukit. Mengikut cerita penumpang bas yang lalu di situ dah banyak kali mereka nampak sang penguasa bersembunyi dalam semak-samun di situ sambil menembak laser hadlaju ke arah kereta-motor yang lalu di jalanraya tersebut.

Oleh kerana klinik itu di atas bukit yang bertentangan banyak dah pengunjung klinik yang nampak.

Drebar kereta atau penunggang motorsikal tak nampak sebab bukit itu tinggi. Cuma sekali saya lalu di situ saya nampak sang penguasa sedang memasukkan kamera ke dalam but kereta. Ketika itu saya rasa kerja mereka dah selesai.

Tahun-tahun 90an dulu ketika berulang-alik ke KL kerana tugas saya pernah nampak sang penguasa di tengah-tengah pembahagi lebuhraya PLUS di antara Bangi dan Nilai sedang menembak lasernya ke lebuhraya!

Tembak curi ni saya rasa tak enaklah! Buat terang-terang apa salahnya. Itu sebahagian dari kerja, kan? Tembak curi ni macam sengaja nak mengenakan orang! Itu yang tak manisnya.

Kerja buat cara kerja. Tak taulah kok tembak curi tu sebahagian dari kod kerja!