Wednesday, May 19, 2010

Dongeng Diet

Bila disebut diet sekaligus orang kita faham maksudnya sebagai "proses menguruskan badan". Kalau nak dihitung pakej diet yang ditawarkan kepada orang kita memang tak terhitung; samaada jenama tempatan atau luar negara ianya melambak boleh ditemui di serata mall atau perniagaan MLM. Kononnya ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Tidak ada kajian mengenainya. Oleh itu kita tidak tau kisah kejayaannya.

Di kalangan sahabat-handai atau saudara-mara atau ipar-duai yang di keliling saya dapat saya ukur kejayaan mereka. Hampir semua berjaya separuh jalan saja. Kebanyakannya akan jemu dengan produk yang dimakan lalu berhenti sekerat jalan. Bila diperkenalkan produk baru dicubanya lagi. Jemu sekerat jalan. Berhenti dan begitulah seterusnya. Beribu-ribu ringgit habis begitu saja.

Ada yang berjaya lalu berhenti berdiet. Maklumlah maksud sudah tercapai. Tiba-tiba kemaruk makan datang menyerang. Makan tak kira waktu. Badan berisi semula. Timbul keinginan nak berdiet. Cari produk lain. Yang menghairankan kenapa tak rujuk produk yang lalu? Entah!

Baru-baru ini saya menonton Granada TV yaitu salah satu saloran di Astro. Ianya membicarakan satu kajian ilmiah yang dilakukan kepada sebahagian besar wanita di England yang obsess dengan berdiet menggunakan produk-produk diet segera yang ditawarkan kepada mereka.

Hampir semua akan sentiasa mengejar produk-produk baru. Amalan diet mereka tidak pernah mendapat kejayaan yang berkekalan. Setiap kali sesudah melepasi berat badan yang diinginkan mereka berhenti memakan produk yang diamalkan. Tak lama kemudian kemaruk makan akan menyerang mereka. Berat badan kembali menghantui. Lalu mereka cari produk baru kerana merasakan produk lama telah gagal untuk mengekalkan kelangsingan badan.

Masalah besar kepada produk-produk segera ini ialah ianya dicipta untuk menghalang merasa lapar. Dengan segelas air yang diramukan dengan sesudu tepung bahan diet itu sudah cukup untuk membuat pengamalnya berasa kenyang. Hakikatnya ia melanggar sistem penghadaman perut.

Sistem penghadaman perut perlukan bahan pepejal dan cecair untuk kesempurnaan fungsinya. Segelas air dengan sesudu ramuan bahan diet bukanlah unsur yang baik untuk sistem itu. Bila anda berhenti dari mengamalkan bahan diet tadi sistem penghadaman kembali normal. Sudah tentu sistem itu menuntut cara lazim untuk "mengenyangkannya". Oleh kerana anda sudah lama tidak makan dengan sempurna dan selera anda kembali normal maka anda secara semulajadi akan diserang kemaruk makan!

Sebenarnya diet secara semulajadi amat mudah. Saya sudah mengamalkannya. Saya kurangkan makan yang bergoreng. Roti canai diganti dengan tose atau capati. Sayur goreng diganti dengan yang direbus, ulam atau mentah (seperti kobis, salad dan sebagainya). Ikan, ayam dan daging goreng digantikan dengan yang dipanggang atau dibakar. Nasi sepinggan dikurangkan kepada secawan nasi tapi lauknya banyak! Dengan cara ini anda terus makan dengan kenyang tapi berupaya mengurangkan lemak dalam badan. Saya yakin anda akan memiliki susuk tubuh yang anda ingini tanpa merosakkan sistem penghadaman anda.

Cubalah.

No comments:

Post a Comment