Dulu-dulu semenanjong ini digelar Semenanjong Tanah Melayu. Di dalam peta ia dikenali sebagai the Malay Peninsula. Bahasa penduduknya bahasa Melayu. Pakaian yang dipakai dinamakan baju Melayu. Ia adalah tanah air orang Melayu. Dan bangsa penakluk menamakan tanah air orang Melayu ini sebagai Malaya. Dan bila mereka membina infrastruktur keretapi syarikatnya dinamakan Keretapi Tanah Melayu.
Pulau Temasik yang kini dikenali sebagai Singapura adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Dalam tahun 1824 kerajaan Johor-Riau yang diwakili oleh Sultan Hussain dan Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura kepada kerajaan British. Sebagai imbuhan mereka dibayar 33,200.00 ringgit sekali bayar dan gaji bulanan 1300.00 ringgit seumur hidup untuk sang sultan. Dan sang temenggong mendapat 26,000.00 ringgit sekali bayar dan gaji bulanan 700.00 ringgit seumur hidup.
Manakala Pulau Pinang pula diserah kepada Francis Light pada tahun 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa yaitu Sultan Kedah sebagai upah melindungi kerajaan Kedah dari serangan kerajaan Siam.
Dalam tahun 1511 pula kerajaan Melayu Melaka yang dilanda konspirasi politik, rasuah dan pembunuhan Tun Ali kerana Sultan ingin merampas tunangnya Tun Fatimah telah melumpuhkan jentera kerajaan sehingga ianya ditakluki oleh Portugis yang kemudian diambil-alih oleh Belanda yang akhirnya dikalahkan oleh tentera laut Inggeris.
Bila bangsa penakluk berhasrat meninggalkan Tanah Melayu tampuk pemerintahan diwarisi oleh parti Melayu yang menamakan diri mereka United Malays National Organisation atau singkatannya UMNO. Ada syarat lain dikenakan juga. UMNO wajib berganding bahu dengan MCA yang mewakili kaum Cina dan MIC yang mewakili kaum India. Pakatan 3 penjuru ini dinamakan Perikatan yang kemudiannya ditukar dengan nama Barisan Nasional.
Kaum Cina datang ke sini kerana bijih dan kaum India dibawa oleh bangsa penakluk untuk bekerja di ladang-ladang getah.
Maka bermulalah era perkongsian bangsa memerintah Malaya. Tidak wujud lagi kerajaan Melayu. Pun begitu hak orang Melayu sebagai bumiputera dijamin di dalam Perlembagaan Negara. UMNO menggunakan slogan Hidup Melayu sebagai penawar kepada perjuangan orang Melayu.
Pada 16.9.1963 North Borneo (Sabah hari ini) dan Sarawak bersetuju bergabung dengan Semenanjung Tanah Melayu. Persekutuan baru ini dinamakan Malaysia. Semenanjung Tanah Melayu dinamakan Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak digelar Malaysia Timur. Maka terhapuslah Semenanjung Tanah Melayu atau the Malay Peninsula! Bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia.
Istilah Tanah Melayu (yang bererti tanah orang Melayu) sudah tidak wujud lagi. Malaysia ialah kepunyaan orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak, Bajau, Bidayuh dan sebagainya.
Dalam tahun 1965 Singapura diserahkan kepada Lee Kuan Yew oleh Tunku Abdul Rahman yaitu pemimpin tertinggi UMNO. Alasannya dia tidak mahu ketegangan kaum yang melanda Singapura merebak ke Semenanjung Malaysia. Ironinya beliau digugurkan bila ketegangan kaum berlaku di Semenanjung Malaysia pada tahun 1969 empat tahun selepas penyerahan Singapura!
Tidak semena-mena dalam dekad 90an dan awal abad ke 21 tiba-tiba bangun satu laungan semangat oleh Pemuda UMNO yang memperjuangkan Ketuanan Melayu! Sebenarnya mereka ini buta sejarah. Nak jadi tuan negara ini mesti negara Melayu, bahasa bangsa bahasa Melayu dan kuasa 100% kuasa Melayu!
Tidak heranlah kenapa kepimpinan UMNO yang diterajui oleh Najib melaungkan slogan Satu Malaysia sebab beliau tahu Malaysia adalah kepunyaan kita yaitu orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak, Asli dan sebagainya.
Kalau gerakan keTuanan Melayu atau ekstremis Melayu rasa terkilan dengan perjuangan mereka yang sia-sia jangan salahkan DAP atau PKR atau PAS atau MCA atau MIC atau Gerakan tapi salahkan kepimpinan UMNO dahulu kala. Tindak-tanduk pemimpin merekalah yang mengakibatkan Semenanjung Tanah Melayu hilang dari peta dunia dan bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia.
Pendek kata orang Melayu sudah kehilangan tanah dan bahasa mereka sendiri!
Hari ini kita orang Melayu mesti berani mencorakkan masa depan generasi kita mengikut acuan yang dituntut oleh dunia tanpa sempadan yaitu dunia memiliki maklumat bukan dunia yang penuh kejahilan yang selalu diingatkan oleh mantan Perdana Menteri kita, Mahathir Muhammad yaitu Melayu Mudah Lupa!
Jangan lupa sejarah! Jangan lupa asal-usulmu. Pandang ke belakang untuk mengokohkan tapak dan hayun langkah menuju ke masa depan yang lebih cemerlang dan bermakna.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment