Emak saya disahkan menghidap kanser pankreas yang telah merebak ke dalam perutnya. Doktor meramalkan mak boleh bertahan selama tiga bulan saja. Doktor memberi dua pilihan kepada kami.
1) Masukkan mak ke dalam wad. Mak akan dijaga oleh jururawat dan doktor. Perut mak akan ditebuk dan satu tiub akan diikat di luar perut bagi membuang segala kekotoran di dalam perut mak.
2) Mak dibawa balik ke rumah. Anak-anak jaga. Doktor akan bekalkan ubat yang sepatutnya. Doktor juga akan memberi ubat yang boleh meluruhkan kekotoran dalam perut dan dibawa keluar menerusi kencing. Oleh itu mak akan kerap buang air kecil.
Setelah berunding dengan adik beradik yang seramai sebelas orang kami mengambil kata sepakat untuk menerima pilihan kedua.
Selama tiga bulan yang diramalkan mak berada di sisi anak-anaknya yang dikasihi.
Kami semua bekerja. Kami juga ada anak-anak remaja dan yang masih kecil. Kami juga tinggal berjauhan dengan mak. Ada yang di KL. Ada yang di Seremban.
Kami sepakat mengambil cuti bergilir. Pada isteri kami, kami katakan, "Ketika kami tidak ada awak uruskan rumahtangga dan anak-anak. Besok bila mak awak sakit awak ambil cuti dan kami uruskan rumahtangga dan anak-anak".
Setiap hari sekurang-kurangnya dua di antara kami akan meneman mak. Di hujung minggu hampir kesemua turun menjaga mak.
Mak kami dukung dan mandikannya. Kami bersihkan mak. Sikat rambutnya. Bedakkan mukanya. Suapkan buburnya. Gantikan pakaiannya. Bersihkan tilam dan katilnya. Urutkan badannya. Pendek kata bagaimana mak manjakan kami ketika bayi dulu kami manjakan mak semampunya. Ketika mak tidak boleh lagi minum kami beli perkakasan untuk mengalirkan air sline ke dalam badan mak.
Pernah mak bertanya kepada saya, "Mak nak mati ke ni?" Saya tidak menjawab. Mak faham dan tabah menghadapinya.
Ada satu ketika saya bertanya," Mak macam mana sekarang ni?" Mak jawab, "Mak terasa lebih dekat ke sana dari di sini".
Bukan semua isteri kami yang sukakan mak. Maklumlah konflik menantu dan mertua memang ada-ada saja. Akan tetapi kami tidak peduli. Mereka hendak menjenguk mak atau tidak itu kami tak ambil hal. Mak ini mak kami. Bukan mak dia orang. Mak ini ialah mak yang melahirkan kami dan menjaga kami sehingga kami dewasa.
Bila mak kembali ke rahmatulLah kami yang uruskan mak. Kuburnya kami dan anak-anak yang gali. Urusan pengkebumian tidak ada orang luar yang campur tangan.
Pada yang ada mak yang sakit terlantar di wad bawalah mak pulang. Ubat-ubatan ambil saja dari hospital. Ambil cuti dan jaga mak. Minta nasihat doktor bagaimana nak jaga mak di rumah.
Hospital tak sayangkan mak anda. Hospital sayangkan duit anda. Lebih lama mak di hospital lebih banyak anda berbelanja. Lebih banyak pendapatan hospital.
Hari ini banyak mak yang meninggal dunia dikelilingi oleh para doktor dan jururawat yang mak tak kenal. Lebih sedih lagi ada mak yang meninggal dalam khemah ICU terikat di katil dengan segala macam wayar, tiub dan gajet. Anak-anak hanya menunggu di luar wad. Lepas tangan. Ada anak-anak yang hanya menunggu panggilan telefon. Kalau adapun anak di sisi mak hanyalah anak yang ditugaskan menjaga mak di malam kematiannya di wad.
Ubat boleh dibeli. Kasih sayang hanya terbit dalam hati yang luhur. Bila mak menghadap hari-hari terakhirnya mak tidak mahu dia dirawat oleh doktor dan jururawat. Apa yang mak mahu ialah dia dirawat oleh anak-anak dengan kasih-sayang yang berpanjangan.
Sayangilah mak. Itulah saja mak. Tidak ada galang-gantinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment