Kalau anda memandu di lebuhraya NKVD dan melalui kawasan Selayang, Batu Caves dan kawasan-kawasan yang berhampiran nescaya anda akan melihat beribu-ribu kereta proton beraneka jenis: Waja, Saga, Wira, Gen 2 dan sebagainya tersadai. Dengar khabarnya di Shah Alam beberapa kawasan dikhaskan untuk beribu-ribu lagi kereta proton yang tersadai. Ada yang mendakwa banyak kawasan ladang sawit di sekitar Kelang dan Shah Alam dijadikan tempat kereta-kereta proton berhujan-panas.
Saya sering tertanya-tanya. Sudah tentu kereta--kereta tersebut tidak terjual.
a) Adakah pengeluaran kereta terlebih had?
b) Bukankah hukum niaga bergantung kepada permintaan dan pengeluaran? Jika permintaan berkurangan pengeluaran dikurangkan.
c) Adakah pembaziran ini sengaja dilakukan kerana ada udang sebalik batu?
Yang menghairankan proton selama ini mendabik dada menjana keuntungan. Adakah keuntungan ini tulen?
Dr Mahathir tidak bertolak-ansur dalam cubaannya mengekalkan subsidi kepada proton. Adakah wajar rakyat terus-menerus berkorban subsidi demi mempertahankan masa depan yang gelap buat proton?
Saya bertemu seorang bekas jurutera proton dan bertanyakan fasal kereta-kereta yang tersadai itu. Kononnya setiap tahun kilang proton akan terus mengeluarkan kereta tanpa had tidak kira samaada ianya terjual atau tidak. Proton terpaksa lakukan demi menjaga perniagaan barangan gantian/aksesori yang dibekalkan oleh pembekal-pembekalnya seperti cermin sisi, getah, penghawa dingin dan sebagainya. Perniagaan mereka ini perlu dilindungi walaupun kereta proton tidak terjual dalam jumlah ribuan unit! Dan jika dikaji lebih dalam lagi pembekal-pembekal ini ada kaitannya dengan pemimpin-pemimpin politik dulu dan sekarang.
Lebih buruk lagi baru-baru ini proton mendapat geran RM500 juta daripada kerajaan! Inilah cara proton berniaga! Sudah lebih 20 tahun berniaga masih perlukan subsidi dan geran! Tidak tahu hendak berdikari! Sepatutnya proton sudah lebih matang dan gagah! Lebih malang lagi kualiti kereta proton sangat rendah dan buruk tapi dijual dengan harga yang mahal. Caranya mudah saja! Naikkan segala macam cukai yang berkaitan dengan kemasukan kereta-kereta luar kepada 300% dan kemudian tetapkan harga proton ke harga yang tidak munasabah dan harga itu tidak pernah turun!
Cuba lakukan kiraan yang mudah ini. Sebuah kereta Honda Civic ditiadakan cukai 300% nescaya harga kereta itu bersamaan dengan harga kereta waja atau wira yang dijual yaitu sekitar RM40 ribu ringgit. Bandingkan apa kereta Honda Civic boleh bagi kepada kita! Keselesaan, keselamatan dan kualiti yang sangat berbaloi! Dengan ribuan kereta proton yang tidak terjual dan tersadai itu sepatutnya kereta-kereta proton boleh dijual dengan harga belasan ribu saja! Itulah nilai kereta proton sebenar.
Di mana silapnya?
Pembentukan industri automotif di Jepun dan Korea sangat berlainan sifatnya daripada kita. Mereka menghantar anak-anak muda mereka ke serata negara automotif yang maju seperti di Amerika, Jerman dan Sweden demi mempelajari selok-belok mengujudkan dan memajukan industri automotif. Mereka pulang dengan ilmu teknologi penuh di dada lalu mereka-cipta injin, bentuk dan gaya kereta yang bernilai tinggi yang boleh bersaing dengan kereta-kereta berjenama dari luar negara. Rakyat mereka bangga dengan pencapaian yang hebat dan asli ini! Mereka berasa kereta nasional mereka sangat baik dan bersedia untuk melindungi perniagaannya.
Kita gunakan cara mudah. Kita pujuk Mitsubishi Motors menjadi rakan kongsi dan kita terima teknologi kereta Mitsubishi yang sudah ketinggalan zaman di Jepun lalu kita angkatkan kereta yang ketinggalan zaman itu sebagai kereta nasional kita! Kita diwajibkan melindungi perniagaan anak angkat kita! Dan kita berharap mitsubishi mencurahkan segala ilmu teknologi permotoran kepada kita! Itulah cara kita. Cara Dr Mahathir!
Hari ini terbukti cara itu gagal untuk mengekalkan sebuah industri permotoran yang berdaya-maju dan boleh bersaing di arena antarabangsa. Karya ciplak tidak ke mana sebenarnya. Anak-anak muda kita yang berada dalam industri automotif tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membina sebuah industri automotif yang kuat!
Industri pemotoran di Korea sama bangun dengan proton. Hari ini Korea berbangga dengan kereta-kereta mereka yang sudah pun mendapat tempat di serata dunia. Kereta mereka lebih berkualiti, lebih selamat dan lebih selesa dari kereta berjenama proton. Ibarat pasukan bola mereka ... mereka sudah menjadi pasukan dunia kita masih lagi jaguh kampung!
Persoalannya ... patutkah kita terus-menerus berkorban untuk sebuah industri yang lahir dari sistem anak-angkat yang diilhamkan oleh pemimpin yang kurang tahu dalam soal ini walhal sudah terang lagi bersuluh yang proton mempunyai masa depan yang sangat gelap yang gagal menyelesaikan masalah ribuan kereta mereka yang tersadai?
Sampai bila proton hendak bergantung kepada subsidi dan geran dari kerajaan? Kalau kerajaan hendak menghapuskan subsidi yang diperuntukan kepada rakyat hapuskan dulu subsidi yang diberi kepada proton kerana subsidi itu hanya melindungi kepentingan beberapa kerat ahli perniagaan yang melukut di tepi gantang; ibarat tikus di dalam kepuk padi - pesawah berhempas-pulas di bendang yang kenyang tikus-tikus itu!
Bila orang melayu nak sedar? Sampai bila orang melayu nak ditipu?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment