Saturday, July 17, 2010

Bila Ramadan Menjengah ...

... di surau tempat saya pun bergandalah kerja amalnya.

Setiap rumah sudah menerima senarai kerja amal bulan Ramadan yaitu:

a) acara berbuka puasa
b) acara terawih dan takzirah
c) acara doa selamat untuk arwah, doa untuk lulus peperiksaan dan apa saja doa yang bergantung kepada niat ahli dengan bayaran RM5.00 satu kepala (yaitu mereka yang dipanjatkan doa). Pendek kata doa untuk seorang arwah upahnya RM5.00 tak termasuk untuk bacaan Quran khusus untuk arwah yang bayarannya lebih tinggi.

Yang menarik perhatian saya ialah acara (c).

Bapa saudara kepada isteri saya sangat menyetujui kerja amal itu. Alasannya ialah, "Anggaplah itu satu sedekah!". Dan anggapan inilah yang dipersetujui oleh sebilangan besar jemaah dan AJK surau. Sedekah yang dimaksudkan ialah wang RM5.00 tadi untuk tabung surau.

Berlainan pula dengan sahabat yang berfahaman Salafi. Dia kata, "Bid'ah! Amalan itu tak berlaku pada zaman RasululLah! Kenapa nak ditokok-tambah? Kerja bid'ah kerja dosa!"

Pertelagahan begini membuat saya berfikir panjang.

Mana silapnya sampai sesama muslimin bertelagah mengenai soal-soal amal ini? Pertelagahan yang dianggap remeh ini sudah terbukti dalam sejarah boleh mengakibatkan permusuhan yang berpanjangan seperti permusuhan antara puak Wahabi dan Syafie. Dalam negara kita pertelagahan ini selalu mengakibatkan penganiayaan terhadap penganut-penganut fahaman tersebut. Yang menjadi mangsa penganut Wahabi yang minoriti. Mereka ditohmah dengan pelbagai tuduhan dan buruk sangka yang menyakitkan hati. Mereka dipinggirkan dan dicari jalan untuk disumbat ke dalam penjara.

Pada hemat saya pertelagahan ini berpunca dari cara ke dua-dua puak ini menguruskan iman dan amal masing-masing.

Puak pertama bersandarkan kepada "amar maaruf nahi mungkar". Paksinya amal yang baik menerima pahala dan yang jahat menerima dosa. Matlamat yang paling unggul ialah menggandakan pahala agar jumlahnya lebih banyak dari dosa. Maka yang bijak-pandai dalam golongan ini akan menyelidik peluang-peluang penggandaan pahala.

Satu ketika dulu majlis doa selamat, majlis doa untuk peperiksaan, majlis doa untuk orang naik haji dan sebagainya dilakukan mengikut masa dan tempat. Mereka dapati ianya tidak produktif kerana gagal memenuhkan surau.

Hari ini amal-amal itu dipakejkan dalam satu pakej menang-menang untuk semua ahli surau! Dan masa yang ditentukan ialah pada bulan Ramadan. Ini kerana kepercayaan mereka bulan Ramadan ialah bulan mulia di mana setiap amal yang baik pahalanya berganda-ganda. Tabung surau akan menerima faedah yang berganda, pahala mereka yang didoakan juga akan digandakan dan surau akan padat dengan ahlinya.

Manakala pihak yang satu lagi menyandarkan iman dan amal mereka pada teks wahyu dan amalan RasululLah. Apa saja yang terkeluar dari teks wahyu dan amalan Rasul dianggap palsu dan bid'ah dan wajib dihindari; tidak ada tolak-ansur! Maka berpanjanganlah debat dan permusuhan di antara golongan ini dengan golongan-golongan yang tidak sehaluan dengan mereka. Contoh-contoh klasik ialah Wahabi vs Syafie, Salafi vs Sunni, Sunni vs Syiah, Pro Hadith vs Anti Hadith, Kaum Muda vs Kaum Tua, Dr Asri vs JAIS, Rasul Dahri vs Pengamal Tarikat, Arqam vs Jakim, UMNO(B) vs PAS dan sebagainya. Di luar negara perbalahan sebegini sudah menyebabkan pertumpahan darah yang banyak sesama muslimin.

Apakah jalannya untuk para muslimin bersatu semula?

Susah hendak dijawab. Walau bagaimanapun pertelagahan golongan ini mengingatkan saya kepada cerita sekumpulan orang buta mengenal gajah. Yang terpegang telinga gajah dikatakan gajah itu macam kipas, yang terpegang kaki gajah mengatakan gajah itu umpama tiang dan yang terpegang ekor gajah mengatakan gajah itu ibarat tali. Dan mereka akan berhujah dan bertegang-urat untuk membenarkan fahaman masing-masing.

Bagaimana kalau kita mencari jalan menjadi seorang yang celik? Kalau kita celik kita dapat melihat gajah itu dalam bentuk sebenarnya. Dan bila semuanya celik nescaya tidak adalah perbalahan. Segala Rasul, Nabi, Auliya dan Ulama yang Haq sentiasa sepakat dalam hal menguruskan iman dan amal. Kita tidak pernah mendengar mereka berdebat atau berhujah atau menyalahkan iman dan amal masing-masing. Apa yang membedakan mereka dengan kita?

Mereka mengenal Allah dahulu dari yang lain. Mereka mendahulukan Allah dulu dari yang lain. Mereka kasihkan Allah dahulu dari yang lain. Mereka takutkan Allah dari yang lain.

Apa kata kalau kita mengikut jejak mereka?

1 comment:

  1. Tiada kaedah lain walaupun kita mengambil jalan tengah, yang jalan tengah itulah sebenar-benarnya jalan Rasulullah (Al Quran dan Hadis) yang diwarisi oleh golongan Salaf. Memang tidak ada mekanisma lain utk menyatukan semua pihak ke arah satu jalan yang lurus sehingga hari qiamat kerana Rasulullah pernah memberitahu hanya satu golongan yang diterima daripada 73 golongan Islam.

    ReplyDelete