Seorang kawan saya memberi reaksi kepada artikel Bila Ramadan Menjengah. Lebih kurang maksudnya ialah perbalahan sesama muslimin adalah angkara dajjal.
Ketika saya masih kanak-kanak dulu dajjal dikatakan bermata satu (dan ketika itu ada yang mengatakan ia adalah General Moshe Dayan yaitu seorang Zionis yang tugasnya menghapuskan kaum muslimin).
Melihat kepada senario hari ini ternyata dajjal bukan General Moshe Dayan. General Zionis ini sudah lama mati. Dajjal ialah ulama/pemimpin/pengikut melampau kaum muslimin! Mereka semuanya bermata satu yaitu yang berpendirian ... mereka sahaja yang benar! Mereka sahaja yang tahu! Mereka sahaja yang boleh memimpin jalan ke syurga.
Sejak Rasul kita wafat sehingga ke hari ini kaum muslimin lebih banyak mati kerana dibunuh oleh saudara seagama jika dibandingkan dengan puak Zionis yang membunuh mereka. Hitung saja mayat saudara muslimin dari perang saudara Taliban vs Mujahiddin, Al Qaeda vs penduduk Iraq, Sunni vs Syiah, Hosni Mubarak vs Ikhwan ul Muslimin di Mesir dan ... dan ... dan ... Negara yang bergolak dengan pembunuhan sesama muslimin berlaku di negara Islam seperti di Pakistan, Afghanistan, Iraq, Palestin, Iran dan banyak lagi.
Jika kaum Salafi, Sunni, Syiah dan sebagainya berhujah ke semua mereka mengatakan mereka mengikut Quran dan Hadith dalam iman dan amal! Dan mereka mengaku merekalah golongan terpilih dari 73 golongan yang tersasar. Yang lain itu adalah sesat, kufur dan tersasar! Dan bila hujah tidak berkesan mereka akan berbunuhan sesama sendiri atau yang majoriti akan menindas yang minoriti. Dalam negara kita ialah tragedi Memali. Kemudian yang mati akan diistiharkan syahid!
Kegawatan ini berlaku sepanjang zaman. Ulama dan pemimpin kaum bertelagah sudah banyak yang mati. Tidak seorang pun dari mereka yang hidup kembali untuk mengatakan mereka SAH BENAR di sisi Allah. Ke semuanya mati membawa rahsia mereka ke liang lahad. Tiada siapa yang tau nasib mereka.
Di sinilah letaknya ALLAH itu MAHA BIJAKSANA! Kebenaran hanya berada di sisiNYA. Kebenaran menjadi RAHSIANYA. Kebenaran bukan milik Salafi, Sunni, Syiah, Arqam, UMNO(B), PAS, Kaum Tarikat, Wahabi, JAIS, JAKIM, Dr Asri atau Rasul Dahri!
Siapa yang lebih tahu tentang Kebenaran Islam itu kalau bukan Tuan PemilikNya? RasululLah mengingatkan kita dalam khutbah akhir Baginda yaitu bermusuhan sesama muslimin dilarang sama sekali. Jika kaum muslimin berselisih faham katakan Allahu Alam yaitu Allah yang Maha Tahu. Serahkan urusan kebenaran itu kepadaNYA.
Tetapi tidak. Mereka mengatakan aku yang lebih tahu. Dan aku mengikut Quran dan Hadith. Inilah bukti-buktinya. Kamu kufur. Bidaah!
Apa yang berlaku ialah Syafie, Wahabi, Dr Asri, Rasul Dahri atau sesiapa saja yang bijak pandai agama dari semua golongan hanya menafsir dan memahami iman dan amal yang dicadangkan di dalam wahyu dan sunnah mengikut kepandaian dan kefahaman masing-masing yang sudah tentu tidak sempurna. Jika dikutip segala hujah mengenai apa yang mereka perselisihkan nescaya akan didapati ke semua itu datang dari satu seumber yaitu firman dan hadith. Begitu luas dan berbagainya maksud firman dan hadith sehingga ianya tidak boleh dimuktamadkan oleh Syafie, Wahabi, Asri, Dahri atau sesiapa saja. Bukan mereka yang membawa firman atau melahirkan hadith. Sehingga datang hari Qiamat sekalipun ayat-ayat Allah tidak akan dapat dimuktamadkan oleh makhluk yang bernama manusia!
Kita dikehendaki beriman dan beramal seikhlas mungkin. Allah mengfirmankan Dia tidak menilik kepada rupa paras tapi pada hati yang imannya bersih dan ikhlas. Itu saja.
Kaum muslimin ditakdirkan berbeda pendapat tetapi tetap berpegang kepada Allah dan Rasulnya. Ini tidak bererti kita mesti bermusuh dan kafir-mengkafir.
Bak kata sahabat saya yang berasal dari Johor perbalahan ini berlaku kerana ada sifat buruk-sangka, meninggi diri dan bermata satu! Sifat-sifat ini jangan dibiarkan bersarang dalam hati walaupun anda seorang yang bijak agama.
Ketika saya bujang dahulu saya mempunyai ramai kenalan dari puak Salafi. Mereka datang dari Kg Pelangai, Sawah Lebar dan Kg Parit. Anehnya puak Salafi ini suka bertelagah. Jika bertemu rakan dari mazhab Syafie akan disindirkan dengan isu kenduri arwah dan talkin mayat. Jika bertemu dengan rakan yang belajar tasauf akan digelar mereka "tersauk". Lepas itu berlakulah perang mulut yang sia-sia.
Hari ini tradisi memperlekehkan mazhab atau pegangan golongan lain masih lagi diamalkan oleh golongan salafi. Saya tak tahu kenapa. Pada hemat saya walaupun 4 mazhab yang besar itu (Syafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi) berselisih dalam banyak perkara tetapi mereka sangat bertolak-ansur di antara satu sama lain. Mereka lebih berbudi-bahasa dan menyerahkan kebenaran itu kepada Allah yang Maha Tahu.
Entahlah! Saya hanya seorang manusia yang kerdil dalam Keagungan Kebenaran ini. Jika semua sudah tahu yang kaum muslimin berpecah kepada 73 golongan dan hanya satu yang benar bukankah lebih baik kita menerima perpecahan itu dan hidup aman damai dari terus-menerus mencari jalan untuk bertelagah?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment