Friday, July 9, 2010

Mat Projek ialah Mat UMNO(B)

Benar!

Kalau saya menulis tentang UMNO saya pastikan UMNO ini ada (B) yang bermaksud Baru. UMNO(B) tidak ada kena-mengena dengan UMNO asal. UMNO asal dah kena haram. UMNO(B) adalah UMNO Mahathir. Kalau ada kena-mengena pun orang-orang yang macam Hishamuddin Husein atau Najib Abdul Razak sebab ayahanda mereka adalah ahli UMNO asal. Perjuangan UMNO(B) dan UMNO asal tidak sama.

Ketika kempen PRU 12 (2008) dulu seorang ahli UMNO yang berasal dari UMNO 46 berbincang dengan anak-anak beliau akan masa depan UMNO(B). Saya ada bersama ketika itu sebab anak dan ayah adalah kawan saya. Kami sedang minum petang di sebuah gerai di dalam sebuah pasaraya. Sianak mengkritik masalah rasuah UMNO(B). Lalu sang ayah bengang:

"Kau jangan lupo jaso UMNO pada oghang melayu!"

Jawab sianak, "Tu dulu! UMNO sekarang pontingkan poghut sendiri!"

Memang benar pun.

Baru-baru ini seorang dari ahli keluarga saya mendapat durian runtuh. Seorang pemimpin UMNO(B) Negeri Sembilan yang berpengaruh menghawini anak saudara sebelah isterinya. Sejak dapat Tan Seri sebagai menantu ahli keluarga saya ni tak menang tangan melobi projek berjuta-juta ringgit. Mudah-mudahan dia dapat!

Kemudian di sebelah isteri saya adalah bapa saudaranya yang menjadi ahli UMNO(B) tegar. Bila ditanya dia jawab macam ni, "Acek masuk UMNO nipun kerana ada kepentingan!" Kepentingan itu maksudnya projeklah.

Malah dalam industri hiburan tv pun begitu. Saya banyak menemui ahli UMNO(B) yang menjadi penerbit. Langkah pertama mereka ialah mencari datuk-datuk UMNO(B) yang rapat dengan menteri. Setelah bertemu menteri mereka akan melobi sejumlah jam (yaitu masa siaran tv). Kadang-kadang sampai beratus jam. Dah tu penerbit lain nak makan apa kalau semua rancangan dah kena kebas oleh kroni menteri?

Sejak UMNO(B)kalah PRU 2008 dulu banyaklah cawangan UMNO susah nak dapat korum bila diadakan mesyuarat. Satu hari saya pulang ke rumah mertua sendirian kerana ada hal. Ibu mertua saya tak ada di rumah. Saya tunggulah. Tak lama kemudian datang sebuah van dan mertua saya pun turun dari van tersebut. Umur mertua saya sudah menjangkau 70an.

"Mak dari mano?"

"Mesyuarat UMNO".

"Ai? Mak poi yo ko?"

"Oghang dah jomput! Tak poi tak sodap pulak!"

"Mesyuarat tontang apo tu?"

"Ontah! Omak layan mato yo. Sughuh angkek tangan, angkek. Habih tadi minum teh dongan makan kuih kuci. Tak ado oghang. Tu yang dio jomput oghang tuo-tuo kek sini. Donga eh nak cukupkan oghang"

Baru-baru ni saya bertemu kawan dari kawan saya. Dia ni pelabur. Banyak duit. Sekarang ini dia melabur di negeri pakatan rakyat buat projek wireless broadband ni.

Saya kata, "Bawaklah masuk ko Nogori Sembilan pulak! Sini wireless broadband takdo!"

Jawabnya, "Ghontikan! Sini kang sumo nak bayar. Dari montori, suku-sakat montori sampai ke bawah-bawah eh. Den dah kono lu! Joghan den! Untung dio oghang dapek! Yang kojo kogheh kito!"

Ada satu malam tu saya dan beberapa rakan sedang makan di sebuah gerai. Di sebelah saya beberapa meja sudah di susun panjang dan ada lebih dari sepuluh orang pemuda UMNO(B) lepak menunggu seseorang. Mereka berbual dan ketawa besar. Saya cam mereka pemuda UMNO(B) sebab mereka pakai kemeja lengan pendek putih dan seluar panjang hitam.

Sekonyong-konyongnya datang sebuah kereta Mercedes. Bergegas pemuda-pemuda tadi pergi menyambut. Orang yang mereka sambut ialah seorang pemuda berperut gendut berkemeja lengan pendek putih dan berseluar panjang hitam. Kesemuanya bersalam membongkokkan badan. Ada juga yang mencium tangan siperut gendut tu. Kemudian siperut gendut mengambil tempat di bucu meja. Semua pemuda-pemuda tadi senyap mendengar titah. Rupa-rupanya dia ketua bahagian pemuda UMNO(B).

Apakah titahnya?

Tidak lain membawa pesan dari ketua pemuda UMNO(B) pusat yaitu ada beberapa projek akan diagihkan kepada bahagian dan seterusnya ke cawangan-cawangan dan kalau ada rezeki pemuda-pemuda yang hadir tadi dapatlah habuan masing-masing.

Bagaimana mereka yang tak hadir?

Inilah kuncinya kisah Mat Projek! Mat Projek ialah mat-mat yang terpilih di kalangan sahabat-sahabat yang rapat dengan kepimpinan UMNO(B). Mereka ini digelar UMNOPutera yaitu satu golongan elit dalam UMNO(B). Mereka ini sentiasa dapat projek.

Cuba tanya ahli UMNO(B) biasa. Apa mereka dapat? Ini sebahagian jawapan yang saya dapat kutip:

a) Kalau masa pemilihan jawatan kuasa cawangan/bahagian dapatlah sikit dari calon-calon yang bertanding. Selalunya calon-calon tu melabur sekian ribu ringgit. Kemudian diagih-agihkanlah kepada para penyokong dan pengundi.
b) Tak dapat apa pun. Dapat janji kosong aje.
c) Dapatlah bersalam/bergambar dengan menteri.
d) Kalau minta rumah murah dapatlah sain datuk UMNO(B) sebagai sokongan.
e) Masa kenduri kawin atau masa kematian dapatlah sagu hati dari YB.
f) Nak tau lagi sendiri pergi tanya ...

Menerusi pemerhatian saya ahli UMNO(B) terbagi dua; UMNOPutera dan ahli biasa. Dan cara mereka berinteraksi pun lain. Kalau dengan ketua mesti membongkok dan ada yang cium tangan. Kalau ketua terbersin lekas-lekas mencari tisu nak sapu hidung dan mulut ketua. Dari mana budaya ni datang saya pun tak tau. Kadang-kadang melihat telatah mereka ini saling tak tumpah macam kelakuan anjing dengan tuannya atau kelakuan binatang sarkas dengan tuan mereka. Asalkan tuan bersiul datanglah anjing tadi menjelir lidah, telinga dikelepetkan dan ekor mengotek-otek. Sentiasa bersedia melakukan apa saja titah tuannya!

Saya ada banyak kawan yang sudah berhijrah ke luar negara. Tanpa menjadi ahli UMNO(B) atau status bumiputera mereka telah berjaya menempa kejayaan. Ini kerana di tempat orang hukum bersaing mudah saja ... cuba, cuba dan cuba lagi. Ikhtiar dan kerja kuat kunci kejayaan.

Di sini lain pula. Anda akan dapat pergi jauh kerana anda ialah seorang UMNOPutera atau anda mengenali seorang UMNOPutera menerusi rangkaian anda.

Walau bagaimanapun generasi baru anak-anak kita kini bukan lagi keturunan peminta sedekah. Mereka berkerja keras mencari tempat mereka dalam tanah air tercinta ini tanpa terikat dengan dongeng UMNOPutera.

No comments:

Post a Comment