Thursday, July 22, 2010

Penghujung Segala Jalan

... ialah menemui Tuhan Rabb ul Alamin, Yang Maha Mengasihani, Maha Pengampun dan Maha Adil. Dia Yang Maha Tinggi mengatasi segalanya.

Anehnya ada sibijak-pandai agama yang menjadikan Dia pertaruhan ketika berhujah dan berbunuhan sesama sendiri!

Quran dan Hadith fungsinya jelas; menjadi panduan untuk muslimin menguruskan iman dan amal. Kalau ada perbedaan serahkan keputusan akhir kepada Mahkamah Agung! Itu yang telah Dia putuskan; bukannya bermusuh dan menghunus senjata menegakkan kebenaran masing-masing. Di Mahkamah Agung kita akan mengetahui siapa kita di sisi Tuhan yang Maha Adil ini! Payah sangatkah kita hendak memahami keadaan ini?

Dalam menguruskan perbedaan kita mesti ada ihsan, tolak-ansur dan berbaik sangka bukan mencela, berprasangka dan berhati batu.

Sejak zaman berzaman sehingga ke hari ini Quran dah Hadith telah digunakan tanpa sebarang rasa takut dan malu oleh sibijak-pandai untuk:

a) menghalalkan darah sesama muslimin seperti di perang sunni/syiah, mujahiddin/taliban, al qaeda/rakyat iraq dan sebagainya.
b) kafir-mengkafir dan sesat-menyesat seperti umno(b)/pas, wahabi/syafie, salafi/bukan-salafi dan sebagainya.
c) bersekongkol menghalalkan kezaliman kaum pemerintah seperti mendiamkan diri kepada perompakan harta rakyat, memberi laluan kepada perlakuan rasuah, menyokong akta yang zalim seperti ISA dan sebagainya.
d) menghalau hantu/syaitan yang dilabelkan dengan perubatan secara Islam. Ada ketikanya mereka menjerit-jerit memanggil Allah untuk menghalau hantu/syaitan seolah-olah Allah itu pekak dan tuli atau Allah itu boleh diseru-seru macam menyeru jin!
e) berceramah di serata tempat dan ceruk sambil mengutip ribuan ringgit tapi kebanyakan isinya tidak lain dari secara halus mencela golongan yang tidak sehaluan dengan mereka.
f) menakut-nakutkan dan menindas mereka yang kurang berpengetahuan tentang Quran dan Hadith terutama rakyat biasa dengan menampakkan diri itu sebagai diri yang serba tahu dengan disulami firman-firman dan hadith-hadith yang sulit bunyinya.
g) mecipta akta-akta kecil syariah sehingga menyulitkan urusan agama yang mudah seperti urusan nikah-kahwin, tanah kubur dan hukum faraid.
e) berpolitik walaupun tahu politik itu penuh dengan tipu-daya, khianat, penindasan dan pembohongan.

Dalam senario yang sebegini jalan yang paling selamat ialah menyerahkan jiwa dan raga kita kepada Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Tahu. Berheninglah di dalam doa, tahajud, istikharah, zikir dan sebagainya untuk:

a) memohon tunjukkan jalan yang lurus dan yang diredai.
b) memohon perlindungan dunia dan akhirat untuk diri dan keluarga.
c) memohon dilapangkan rezeki dunia/akhirat.
d) memohon ampun segala dosa kecil dan besar.
e) memanjatkan syukur kerana disiram RahmatNya yang berKekalan.
f) memohon dilindungi dari fitnah dan kezaliman.

Inilah jalan yang Haq yang diamalkan oleh rasul-rasul, nabi-nabi, auliya-auliya, ulama-ulama yang haq dan para-para hamba Allah yang benar.

Istilah-istilah Wahabi, Syafie, Salafi, Syiah dan sebagainya adalah direka oleh mereka yang berkepentingan untuk menampakkan satu golongan itu lebih baik dari golongan yang satu lagi.

Di sisi Allah ada satu golongan saja - hamba Allah yang iman dan amalnya ikhlas keranaNya.

Dia tidak menilik kepada rupa-parasmu. Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Dia Maha Tahu dari semua bijak-pandai. Dia Maha Berkuasa dari semua kerajaan langit dan bumi. Dia Awal segala permulaan dan Akhir segala perjalanan.

Hakikatnya kita tidak memerlukan hujah yang sia-sia daripada sesiapa saja. Pulangkan segala urusan kepadaNya kerana mahu tidak mahu satu hari nanti semuanya akan kembali kepadaNya kerana Dia Penghujung Segala Jalan.

Monday, July 19, 2010

Dongeng Dajjal

Seorang kawan saya memberi reaksi kepada artikel Bila Ramadan Menjengah. Lebih kurang maksudnya ialah perbalahan sesama muslimin adalah angkara dajjal.

Ketika saya masih kanak-kanak dulu dajjal dikatakan bermata satu (dan ketika itu ada yang mengatakan ia adalah General Moshe Dayan yaitu seorang Zionis yang tugasnya menghapuskan kaum muslimin).

Melihat kepada senario hari ini ternyata dajjal bukan General Moshe Dayan. General Zionis ini sudah lama mati. Dajjal ialah ulama/pemimpin/pengikut melampau kaum muslimin! Mereka semuanya bermata satu yaitu yang berpendirian ... mereka sahaja yang benar! Mereka sahaja yang tahu! Mereka sahaja yang boleh memimpin jalan ke syurga.

Sejak Rasul kita wafat sehingga ke hari ini kaum muslimin lebih banyak mati kerana dibunuh oleh saudara seagama jika dibandingkan dengan puak Zionis yang membunuh mereka. Hitung saja mayat saudara muslimin dari perang saudara Taliban vs Mujahiddin, Al Qaeda vs penduduk Iraq, Sunni vs Syiah, Hosni Mubarak vs Ikhwan ul Muslimin di Mesir dan ... dan ... dan ... Negara yang bergolak dengan pembunuhan sesama muslimin berlaku di negara Islam seperti di Pakistan, Afghanistan, Iraq, Palestin, Iran dan banyak lagi.

Jika kaum Salafi, Sunni, Syiah dan sebagainya berhujah ke semua mereka mengatakan mereka mengikut Quran dan Hadith dalam iman dan amal! Dan mereka mengaku merekalah golongan terpilih dari 73 golongan yang tersasar. Yang lain itu adalah sesat, kufur dan tersasar! Dan bila hujah tidak berkesan mereka akan berbunuhan sesama sendiri atau yang majoriti akan menindas yang minoriti. Dalam negara kita ialah tragedi Memali. Kemudian yang mati akan diistiharkan syahid!

Kegawatan ini berlaku sepanjang zaman. Ulama dan pemimpin kaum bertelagah sudah banyak yang mati. Tidak seorang pun dari mereka yang hidup kembali untuk mengatakan mereka SAH BENAR di sisi Allah. Ke semuanya mati membawa rahsia mereka ke liang lahad. Tiada siapa yang tau nasib mereka.

Di sinilah letaknya ALLAH itu MAHA BIJAKSANA! Kebenaran hanya berada di sisiNYA. Kebenaran menjadi RAHSIANYA. Kebenaran bukan milik Salafi, Sunni, Syiah, Arqam, UMNO(B), PAS, Kaum Tarikat, Wahabi, JAIS, JAKIM, Dr Asri atau Rasul Dahri!

Siapa yang lebih tahu tentang Kebenaran Islam itu kalau bukan Tuan PemilikNya? RasululLah mengingatkan kita dalam khutbah akhir Baginda yaitu bermusuhan sesama muslimin dilarang sama sekali. Jika kaum muslimin berselisih faham katakan Allahu Alam yaitu Allah yang Maha Tahu. Serahkan urusan kebenaran itu kepadaNYA.

Tetapi tidak. Mereka mengatakan aku yang lebih tahu. Dan aku mengikut Quran dan Hadith. Inilah bukti-buktinya. Kamu kufur. Bidaah!

Apa yang berlaku ialah Syafie, Wahabi, Dr Asri, Rasul Dahri atau sesiapa saja yang bijak pandai agama dari semua golongan hanya menafsir dan memahami iman dan amal yang dicadangkan di dalam wahyu dan sunnah mengikut kepandaian dan kefahaman masing-masing yang sudah tentu tidak sempurna. Jika dikutip segala hujah mengenai apa yang mereka perselisihkan nescaya akan didapati ke semua itu datang dari satu seumber yaitu firman dan hadith. Begitu luas dan berbagainya maksud firman dan hadith sehingga ianya tidak boleh dimuktamadkan oleh Syafie, Wahabi, Asri, Dahri atau sesiapa saja. Bukan mereka yang membawa firman atau melahirkan hadith. Sehingga datang hari Qiamat sekalipun ayat-ayat Allah tidak akan dapat dimuktamadkan oleh makhluk yang bernama manusia!

Kita dikehendaki beriman dan beramal seikhlas mungkin. Allah mengfirmankan Dia tidak menilik kepada rupa paras tapi pada hati yang imannya bersih dan ikhlas. Itu saja.

Kaum muslimin ditakdirkan berbeda pendapat tetapi tetap berpegang kepada Allah dan Rasulnya. Ini tidak bererti kita mesti bermusuh dan kafir-mengkafir.

Bak kata sahabat saya yang berasal dari Johor perbalahan ini berlaku kerana ada sifat buruk-sangka, meninggi diri dan bermata satu! Sifat-sifat ini jangan dibiarkan bersarang dalam hati walaupun anda seorang yang bijak agama.

Ketika saya bujang dahulu saya mempunyai ramai kenalan dari puak Salafi. Mereka datang dari Kg Pelangai, Sawah Lebar dan Kg Parit. Anehnya puak Salafi ini suka bertelagah. Jika bertemu rakan dari mazhab Syafie akan disindirkan dengan isu kenduri arwah dan talkin mayat. Jika bertemu dengan rakan yang belajar tasauf akan digelar mereka "tersauk". Lepas itu berlakulah perang mulut yang sia-sia.

Hari ini tradisi memperlekehkan mazhab atau pegangan golongan lain masih lagi diamalkan oleh golongan salafi. Saya tak tahu kenapa. Pada hemat saya walaupun 4 mazhab yang besar itu (Syafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi) berselisih dalam banyak perkara tetapi mereka sangat bertolak-ansur di antara satu sama lain. Mereka lebih berbudi-bahasa dan menyerahkan kebenaran itu kepada Allah yang Maha Tahu.

Entahlah! Saya hanya seorang manusia yang kerdil dalam Keagungan Kebenaran ini. Jika semua sudah tahu yang kaum muslimin berpecah kepada 73 golongan dan hanya satu yang benar bukankah lebih baik kita menerima perpecahan itu dan hidup aman damai dari terus-menerus mencari jalan untuk bertelagah?

Saturday, July 17, 2010

Bila Ramadan Menjengah ...

... di surau tempat saya pun bergandalah kerja amalnya.

Setiap rumah sudah menerima senarai kerja amal bulan Ramadan yaitu:

a) acara berbuka puasa
b) acara terawih dan takzirah
c) acara doa selamat untuk arwah, doa untuk lulus peperiksaan dan apa saja doa yang bergantung kepada niat ahli dengan bayaran RM5.00 satu kepala (yaitu mereka yang dipanjatkan doa). Pendek kata doa untuk seorang arwah upahnya RM5.00 tak termasuk untuk bacaan Quran khusus untuk arwah yang bayarannya lebih tinggi.

Yang menarik perhatian saya ialah acara (c).

Bapa saudara kepada isteri saya sangat menyetujui kerja amal itu. Alasannya ialah, "Anggaplah itu satu sedekah!". Dan anggapan inilah yang dipersetujui oleh sebilangan besar jemaah dan AJK surau. Sedekah yang dimaksudkan ialah wang RM5.00 tadi untuk tabung surau.

Berlainan pula dengan sahabat yang berfahaman Salafi. Dia kata, "Bid'ah! Amalan itu tak berlaku pada zaman RasululLah! Kenapa nak ditokok-tambah? Kerja bid'ah kerja dosa!"

Pertelagahan begini membuat saya berfikir panjang.

Mana silapnya sampai sesama muslimin bertelagah mengenai soal-soal amal ini? Pertelagahan yang dianggap remeh ini sudah terbukti dalam sejarah boleh mengakibatkan permusuhan yang berpanjangan seperti permusuhan antara puak Wahabi dan Syafie. Dalam negara kita pertelagahan ini selalu mengakibatkan penganiayaan terhadap penganut-penganut fahaman tersebut. Yang menjadi mangsa penganut Wahabi yang minoriti. Mereka ditohmah dengan pelbagai tuduhan dan buruk sangka yang menyakitkan hati. Mereka dipinggirkan dan dicari jalan untuk disumbat ke dalam penjara.

Pada hemat saya pertelagahan ini berpunca dari cara ke dua-dua puak ini menguruskan iman dan amal masing-masing.

Puak pertama bersandarkan kepada "amar maaruf nahi mungkar". Paksinya amal yang baik menerima pahala dan yang jahat menerima dosa. Matlamat yang paling unggul ialah menggandakan pahala agar jumlahnya lebih banyak dari dosa. Maka yang bijak-pandai dalam golongan ini akan menyelidik peluang-peluang penggandaan pahala.

Satu ketika dulu majlis doa selamat, majlis doa untuk peperiksaan, majlis doa untuk orang naik haji dan sebagainya dilakukan mengikut masa dan tempat. Mereka dapati ianya tidak produktif kerana gagal memenuhkan surau.

Hari ini amal-amal itu dipakejkan dalam satu pakej menang-menang untuk semua ahli surau! Dan masa yang ditentukan ialah pada bulan Ramadan. Ini kerana kepercayaan mereka bulan Ramadan ialah bulan mulia di mana setiap amal yang baik pahalanya berganda-ganda. Tabung surau akan menerima faedah yang berganda, pahala mereka yang didoakan juga akan digandakan dan surau akan padat dengan ahlinya.

Manakala pihak yang satu lagi menyandarkan iman dan amal mereka pada teks wahyu dan amalan RasululLah. Apa saja yang terkeluar dari teks wahyu dan amalan Rasul dianggap palsu dan bid'ah dan wajib dihindari; tidak ada tolak-ansur! Maka berpanjanganlah debat dan permusuhan di antara golongan ini dengan golongan-golongan yang tidak sehaluan dengan mereka. Contoh-contoh klasik ialah Wahabi vs Syafie, Salafi vs Sunni, Sunni vs Syiah, Pro Hadith vs Anti Hadith, Kaum Muda vs Kaum Tua, Dr Asri vs JAIS, Rasul Dahri vs Pengamal Tarikat, Arqam vs Jakim, UMNO(B) vs PAS dan sebagainya. Di luar negara perbalahan sebegini sudah menyebabkan pertumpahan darah yang banyak sesama muslimin.

Apakah jalannya untuk para muslimin bersatu semula?

Susah hendak dijawab. Walau bagaimanapun pertelagahan golongan ini mengingatkan saya kepada cerita sekumpulan orang buta mengenal gajah. Yang terpegang telinga gajah dikatakan gajah itu macam kipas, yang terpegang kaki gajah mengatakan gajah itu umpama tiang dan yang terpegang ekor gajah mengatakan gajah itu ibarat tali. Dan mereka akan berhujah dan bertegang-urat untuk membenarkan fahaman masing-masing.

Bagaimana kalau kita mencari jalan menjadi seorang yang celik? Kalau kita celik kita dapat melihat gajah itu dalam bentuk sebenarnya. Dan bila semuanya celik nescaya tidak adalah perbalahan. Segala Rasul, Nabi, Auliya dan Ulama yang Haq sentiasa sepakat dalam hal menguruskan iman dan amal. Kita tidak pernah mendengar mereka berdebat atau berhujah atau menyalahkan iman dan amal masing-masing. Apa yang membedakan mereka dengan kita?

Mereka mengenal Allah dahulu dari yang lain. Mereka mendahulukan Allah dulu dari yang lain. Mereka kasihkan Allah dahulu dari yang lain. Mereka takutkan Allah dari yang lain.

Apa kata kalau kita mengikut jejak mereka?

Friday, July 9, 2010

Mat Projek ialah Mat UMNO(B)

Benar!

Kalau saya menulis tentang UMNO saya pastikan UMNO ini ada (B) yang bermaksud Baru. UMNO(B) tidak ada kena-mengena dengan UMNO asal. UMNO asal dah kena haram. UMNO(B) adalah UMNO Mahathir. Kalau ada kena-mengena pun orang-orang yang macam Hishamuddin Husein atau Najib Abdul Razak sebab ayahanda mereka adalah ahli UMNO asal. Perjuangan UMNO(B) dan UMNO asal tidak sama.

Ketika kempen PRU 12 (2008) dulu seorang ahli UMNO yang berasal dari UMNO 46 berbincang dengan anak-anak beliau akan masa depan UMNO(B). Saya ada bersama ketika itu sebab anak dan ayah adalah kawan saya. Kami sedang minum petang di sebuah gerai di dalam sebuah pasaraya. Sianak mengkritik masalah rasuah UMNO(B). Lalu sang ayah bengang:

"Kau jangan lupo jaso UMNO pada oghang melayu!"

Jawab sianak, "Tu dulu! UMNO sekarang pontingkan poghut sendiri!"

Memang benar pun.

Baru-baru ini seorang dari ahli keluarga saya mendapat durian runtuh. Seorang pemimpin UMNO(B) Negeri Sembilan yang berpengaruh menghawini anak saudara sebelah isterinya. Sejak dapat Tan Seri sebagai menantu ahli keluarga saya ni tak menang tangan melobi projek berjuta-juta ringgit. Mudah-mudahan dia dapat!

Kemudian di sebelah isteri saya adalah bapa saudaranya yang menjadi ahli UMNO(B) tegar. Bila ditanya dia jawab macam ni, "Acek masuk UMNO nipun kerana ada kepentingan!" Kepentingan itu maksudnya projeklah.

Malah dalam industri hiburan tv pun begitu. Saya banyak menemui ahli UMNO(B) yang menjadi penerbit. Langkah pertama mereka ialah mencari datuk-datuk UMNO(B) yang rapat dengan menteri. Setelah bertemu menteri mereka akan melobi sejumlah jam (yaitu masa siaran tv). Kadang-kadang sampai beratus jam. Dah tu penerbit lain nak makan apa kalau semua rancangan dah kena kebas oleh kroni menteri?

Sejak UMNO(B)kalah PRU 2008 dulu banyaklah cawangan UMNO susah nak dapat korum bila diadakan mesyuarat. Satu hari saya pulang ke rumah mertua sendirian kerana ada hal. Ibu mertua saya tak ada di rumah. Saya tunggulah. Tak lama kemudian datang sebuah van dan mertua saya pun turun dari van tersebut. Umur mertua saya sudah menjangkau 70an.

"Mak dari mano?"

"Mesyuarat UMNO".

"Ai? Mak poi yo ko?"

"Oghang dah jomput! Tak poi tak sodap pulak!"

"Mesyuarat tontang apo tu?"

"Ontah! Omak layan mato yo. Sughuh angkek tangan, angkek. Habih tadi minum teh dongan makan kuih kuci. Tak ado oghang. Tu yang dio jomput oghang tuo-tuo kek sini. Donga eh nak cukupkan oghang"

Baru-baru ni saya bertemu kawan dari kawan saya. Dia ni pelabur. Banyak duit. Sekarang ini dia melabur di negeri pakatan rakyat buat projek wireless broadband ni.

Saya kata, "Bawaklah masuk ko Nogori Sembilan pulak! Sini wireless broadband takdo!"

Jawabnya, "Ghontikan! Sini kang sumo nak bayar. Dari montori, suku-sakat montori sampai ke bawah-bawah eh. Den dah kono lu! Joghan den! Untung dio oghang dapek! Yang kojo kogheh kito!"

Ada satu malam tu saya dan beberapa rakan sedang makan di sebuah gerai. Di sebelah saya beberapa meja sudah di susun panjang dan ada lebih dari sepuluh orang pemuda UMNO(B) lepak menunggu seseorang. Mereka berbual dan ketawa besar. Saya cam mereka pemuda UMNO(B) sebab mereka pakai kemeja lengan pendek putih dan seluar panjang hitam.

Sekonyong-konyongnya datang sebuah kereta Mercedes. Bergegas pemuda-pemuda tadi pergi menyambut. Orang yang mereka sambut ialah seorang pemuda berperut gendut berkemeja lengan pendek putih dan berseluar panjang hitam. Kesemuanya bersalam membongkokkan badan. Ada juga yang mencium tangan siperut gendut tu. Kemudian siperut gendut mengambil tempat di bucu meja. Semua pemuda-pemuda tadi senyap mendengar titah. Rupa-rupanya dia ketua bahagian pemuda UMNO(B).

Apakah titahnya?

Tidak lain membawa pesan dari ketua pemuda UMNO(B) pusat yaitu ada beberapa projek akan diagihkan kepada bahagian dan seterusnya ke cawangan-cawangan dan kalau ada rezeki pemuda-pemuda yang hadir tadi dapatlah habuan masing-masing.

Bagaimana mereka yang tak hadir?

Inilah kuncinya kisah Mat Projek! Mat Projek ialah mat-mat yang terpilih di kalangan sahabat-sahabat yang rapat dengan kepimpinan UMNO(B). Mereka ini digelar UMNOPutera yaitu satu golongan elit dalam UMNO(B). Mereka ini sentiasa dapat projek.

Cuba tanya ahli UMNO(B) biasa. Apa mereka dapat? Ini sebahagian jawapan yang saya dapat kutip:

a) Kalau masa pemilihan jawatan kuasa cawangan/bahagian dapatlah sikit dari calon-calon yang bertanding. Selalunya calon-calon tu melabur sekian ribu ringgit. Kemudian diagih-agihkanlah kepada para penyokong dan pengundi.
b) Tak dapat apa pun. Dapat janji kosong aje.
c) Dapatlah bersalam/bergambar dengan menteri.
d) Kalau minta rumah murah dapatlah sain datuk UMNO(B) sebagai sokongan.
e) Masa kenduri kawin atau masa kematian dapatlah sagu hati dari YB.
f) Nak tau lagi sendiri pergi tanya ...

Menerusi pemerhatian saya ahli UMNO(B) terbagi dua; UMNOPutera dan ahli biasa. Dan cara mereka berinteraksi pun lain. Kalau dengan ketua mesti membongkok dan ada yang cium tangan. Kalau ketua terbersin lekas-lekas mencari tisu nak sapu hidung dan mulut ketua. Dari mana budaya ni datang saya pun tak tau. Kadang-kadang melihat telatah mereka ini saling tak tumpah macam kelakuan anjing dengan tuannya atau kelakuan binatang sarkas dengan tuan mereka. Asalkan tuan bersiul datanglah anjing tadi menjelir lidah, telinga dikelepetkan dan ekor mengotek-otek. Sentiasa bersedia melakukan apa saja titah tuannya!

Saya ada banyak kawan yang sudah berhijrah ke luar negara. Tanpa menjadi ahli UMNO(B) atau status bumiputera mereka telah berjaya menempa kejayaan. Ini kerana di tempat orang hukum bersaing mudah saja ... cuba, cuba dan cuba lagi. Ikhtiar dan kerja kuat kunci kejayaan.

Di sini lain pula. Anda akan dapat pergi jauh kerana anda ialah seorang UMNOPutera atau anda mengenali seorang UMNOPutera menerusi rangkaian anda.

Walau bagaimanapun generasi baru anak-anak kita kini bukan lagi keturunan peminta sedekah. Mereka berkerja keras mencari tempat mereka dalam tanah air tercinta ini tanpa terikat dengan dongeng UMNOPutera.

Proton Yang Sakit

Kalau anda memandu di lebuhraya NKVD dan melalui kawasan Selayang, Batu Caves dan kawasan-kawasan yang berhampiran nescaya anda akan melihat beribu-ribu kereta proton beraneka jenis: Waja, Saga, Wira, Gen 2 dan sebagainya tersadai. Dengar khabarnya di Shah Alam beberapa kawasan dikhaskan untuk beribu-ribu lagi kereta proton yang tersadai. Ada yang mendakwa banyak kawasan ladang sawit di sekitar Kelang dan Shah Alam dijadikan tempat kereta-kereta proton berhujan-panas.

Saya sering tertanya-tanya. Sudah tentu kereta--kereta tersebut tidak terjual.

a) Adakah pengeluaran kereta terlebih had?
b) Bukankah hukum niaga bergantung kepada permintaan dan pengeluaran? Jika permintaan berkurangan pengeluaran dikurangkan.
c) Adakah pembaziran ini sengaja dilakukan kerana ada udang sebalik batu?

Yang menghairankan proton selama ini mendabik dada menjana keuntungan. Adakah keuntungan ini tulen?

Dr Mahathir tidak bertolak-ansur dalam cubaannya mengekalkan subsidi kepada proton. Adakah wajar rakyat terus-menerus berkorban subsidi demi mempertahankan masa depan yang gelap buat proton?

Saya bertemu seorang bekas jurutera proton dan bertanyakan fasal kereta-kereta yang tersadai itu. Kononnya setiap tahun kilang proton akan terus mengeluarkan kereta tanpa had tidak kira samaada ianya terjual atau tidak. Proton terpaksa lakukan demi menjaga perniagaan barangan gantian/aksesori yang dibekalkan oleh pembekal-pembekalnya seperti cermin sisi, getah, penghawa dingin dan sebagainya. Perniagaan mereka ini perlu dilindungi walaupun kereta proton tidak terjual dalam jumlah ribuan unit! Dan jika dikaji lebih dalam lagi pembekal-pembekal ini ada kaitannya dengan pemimpin-pemimpin politik dulu dan sekarang.

Lebih buruk lagi baru-baru ini proton mendapat geran RM500 juta daripada kerajaan! Inilah cara proton berniaga! Sudah lebih 20 tahun berniaga masih perlukan subsidi dan geran! Tidak tahu hendak berdikari! Sepatutnya proton sudah lebih matang dan gagah! Lebih malang lagi kualiti kereta proton sangat rendah dan buruk tapi dijual dengan harga yang mahal. Caranya mudah saja! Naikkan segala macam cukai yang berkaitan dengan kemasukan kereta-kereta luar kepada 300% dan kemudian tetapkan harga proton ke harga yang tidak munasabah dan harga itu tidak pernah turun!

Cuba lakukan kiraan yang mudah ini. Sebuah kereta Honda Civic ditiadakan cukai 300% nescaya harga kereta itu bersamaan dengan harga kereta waja atau wira yang dijual yaitu sekitar RM40 ribu ringgit. Bandingkan apa kereta Honda Civic boleh bagi kepada kita! Keselesaan, keselamatan dan kualiti yang sangat berbaloi! Dengan ribuan kereta proton yang tidak terjual dan tersadai itu sepatutnya kereta-kereta proton boleh dijual dengan harga belasan ribu saja! Itulah nilai kereta proton sebenar.

Di mana silapnya?

Pembentukan industri automotif di Jepun dan Korea sangat berlainan sifatnya daripada kita. Mereka menghantar anak-anak muda mereka ke serata negara automotif yang maju seperti di Amerika, Jerman dan Sweden demi mempelajari selok-belok mengujudkan dan memajukan industri automotif. Mereka pulang dengan ilmu teknologi penuh di dada lalu mereka-cipta injin, bentuk dan gaya kereta yang bernilai tinggi yang boleh bersaing dengan kereta-kereta berjenama dari luar negara. Rakyat mereka bangga dengan pencapaian yang hebat dan asli ini! Mereka berasa kereta nasional mereka sangat baik dan bersedia untuk melindungi perniagaannya.

Kita gunakan cara mudah. Kita pujuk Mitsubishi Motors menjadi rakan kongsi dan kita terima teknologi kereta Mitsubishi yang sudah ketinggalan zaman di Jepun lalu kita angkatkan kereta yang ketinggalan zaman itu sebagai kereta nasional kita! Kita diwajibkan melindungi perniagaan anak angkat kita! Dan kita berharap mitsubishi mencurahkan segala ilmu teknologi permotoran kepada kita! Itulah cara kita. Cara Dr Mahathir!

Hari ini terbukti cara itu gagal untuk mengekalkan sebuah industri permotoran yang berdaya-maju dan boleh bersaing di arena antarabangsa. Karya ciplak tidak ke mana sebenarnya. Anak-anak muda kita yang berada dalam industri automotif tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membina sebuah industri automotif yang kuat!

Industri pemotoran di Korea sama bangun dengan proton. Hari ini Korea berbangga dengan kereta-kereta mereka yang sudah pun mendapat tempat di serata dunia. Kereta mereka lebih berkualiti, lebih selamat dan lebih selesa dari kereta berjenama proton. Ibarat pasukan bola mereka ... mereka sudah menjadi pasukan dunia kita masih lagi jaguh kampung!

Persoalannya ... patutkah kita terus-menerus berkorban untuk sebuah industri yang lahir dari sistem anak-angkat yang diilhamkan oleh pemimpin yang kurang tahu dalam soal ini walhal sudah terang lagi bersuluh yang proton mempunyai masa depan yang sangat gelap yang gagal menyelesaikan masalah ribuan kereta mereka yang tersadai?

Sampai bila proton hendak bergantung kepada subsidi dan geran dari kerajaan? Kalau kerajaan hendak menghapuskan subsidi yang diperuntukan kepada rakyat hapuskan dulu subsidi yang diberi kepada proton kerana subsidi itu hanya melindungi kepentingan beberapa kerat ahli perniagaan yang melukut di tepi gantang; ibarat tikus di dalam kepuk padi - pesawah berhempas-pulas di bendang yang kenyang tikus-tikus itu!

Bila orang melayu nak sedar? Sampai bila orang melayu nak ditipu?