Thursday, March 18, 2010

Ilmu Tok Nyen

Dia meninggal ketika umur mencecah 90an. Ketika itu saya berumur 11 tahun. Baru darjah enam sekolah melayu di Kuala Pilah.

Ilmunya sukar difahami oleh orang sekarang. Pada orang dulu-dulu ilmu itu amat berguna dan disanjung tinggi. Saya perturunkan beberapa cerita mengenai ilmunya yang dikisahkan oleh arwah nenek saya dan ayah saya.

1) Ilmu Kebal

Setelah tamat mengamalkan ilmu kebal dia mahu terus diuji. Bertempat di padang sekolah Tuanku Muhammad seorang rakannya sudah bersedia dengan selaras senapang.

Khabar ini diketahui oleh penguasa British ketika itu. Dia dan beberapa orang polis serta OCPD datang bergegas untuk melarangnya.

Mereka sudah terlambat.

Tok Nyen ditembak di dada. Bajunya koyak tapi dia tidak luka.

Penguasa British dan OCPD telah memberi amaran keras kepada mereka supaya jangan lagi melakukan stunt macam itu.

2) Ilmu Racun / Santau

Tok Nyen baru tamat mengamalkan ilmu penawar racun / santau. Satu hari dia pergi kenduri kawin. Zaman itu makan di kenduri kawin nasinya hidang. Dia terasa ada orang yang akan khianatkannya. Pun begitu dia makan juga. Beberapa minit kemudian dia muntah darah.

Tok Nyen minta carikan perut ayam. Setelah dapat dia telan perut ayam sampai ke perutnya. Kemudian dia tarik keluar perut ayam. Racun yang dimakan lekat di perut ayam dan dibawa keluar.

3) Ilmu Renung Lilin

Tujuh  batang lilin yang dinyalakan di atur melintang. Renung api lilin sampai jadi sebaris. Kemudian susun tujuh  batang lilin sebaris. Renung sampai ianya tersusun melintang. Jika tamat Tok Nyen dapat merenung musuh dan juga memiliki renungan yang tajam dan menggerunkan.

Satu ketika seseorang datang merayu kepadanya kerana anak perempuannya dipermainkan seorang benggali roti. Tok Nyen terharu. Dia berjanji akan bantu.

Dia nyalakan lilin sebatang. Dia merenung api lilin. Dalam makrifatnya dia nampak benggali roti sedang mengayuh basikal menjual roti. Dia ambil gunting dan gunting jantungnya.

Beberapa hari kemudian seseorang itu datang mengucapkan terima kasih kepadanya kerana dendam telah terlaksana.

Ada beberapa perkara yang menjadi keanehan kepadanya.

  • Giginya tidak luntur.
  • Matanya sangat tajam sehingga dia dapat membaca Quran kecil yang sebesar kotak mancis!

Ketika hendak mati mengikut cerita dari ayah saya dia memanggil anak-anaknya. Ayah saya adalah cucu menantu kepadanya.

Katanya, “Tanda aku nak mati dah sampai. Janganlah kamu adik-beradik berkelahi ketika aku takde. Dosa kau orang semua aku maafkan!” Maka bertangis-tangisanlah mereka memohon ampun pada ayahanda mereka.

Setelah reda mereka memberinya peluang berihat dan bersendirian. Beberapa ketika kemudian dia memanggil ayah saya. Dia berbisik, “Tanda yang akhir dah sampai. Berpisahlah kita”

Kemudian dia bertafakur menyusun nafas. Tanpa gentar dan dengan hati yang bulat dia menerima kematiannya.

Begitulah orang dulu-dulu. Peluru, racun dan kematian bukanlah sesuatu yang ditakutkan. Pokoknya ada ilmu di dada.

Susah nak percaya, kan? Terpulanglah.

Tuesday, March 16, 2010

Penunggu Bukit Putus

Dulu Bukit Putus sangat sinonim dengan perjalanan ulang-alik dari Kuala Pilah ke Seremban. Lingkarannya sepanjang 4 atau lebih kilometer. Ia merentas bukit yang menjadi sebahagian dari banjaran Gunung Angsi. Bagaimana ia mendapat nama Bukit Putus saya tak tau. Jalannya berliku-liku. Sebelah jalan bertembokkan bukit dan sebelah lagi bersempadankan gaung.

Sesiapa yang pernah merentas Bukit Putus mempunyai pengalaman sendiri-sendiri. Apa yang hendak saya coretkan di sini ialah pengalaman dari dua orang adik saya.

Ini adalah cerita benar. Bukan rekaan.

1) Usung-usungan

Adik saya ialah seorang drebar lori yang membekalkan air tin, air botol dan air kotak. Jajahan niaganya meliputi negeri Melaka, Negeri 9 dan Selangor. Dia menetap di Kuala Pilah. Setiap jam 10 pagi dia akan berangkat dengan lorinya dan akan menjelajah sekitar bandar-bandar di ketiga-tiga negeri itu. Dia akan pulang bila malam telah larut.

Pekerjaannya tidak menjemukan, selalu bertemu orang dan waktu kerja atas dirinya sendiri. Dia hanya perlu penuhkan kuota yang ditetapkan oleh syarikat. Pendapatannya cukup selesa.

Di pertengahan Bukit Putus itu mengalir sebatang anak air. Di sinilah kebanyakan orang berhenti untuk menggunakan kemudahan semulajadi itu. Ia berada di sebuah selekoh tajam.

Jam tangannya menunjukkan pukul 2 pagi.

Man yang keletihan itu tiba-tiba berwaspada. Dia terdengar bunyi riuh-rendah orang turun dari kawasan anak air itu. Mereka merentas jalan untuk turun ke gaung.

Man kaget. Dia berhenti dan memberi laluan.

Ke semua mereka berpakaian kuning dan putih. Mereka sedang mengusung sebuah keranda. Rombongannya cukup ramai. Ketika melintas mereka tidak langsung mempedulikan Man dan lorinya.

Man tertinjau-tinjau ke gaung untuk memastikan ke mana mereka pergi. Malangnya mereka menghilang dalam semak-belukar yang tebal.

Akhirnya ke semua orang dalam rombongan itu selamat melintas.

Suasana kembali sunyi-sepi. Man hidupkan injin lorinya dan bergerak pergi.

Sehingga hari ini masih tidak terjawab siapa yang diusung dan kenapa.

2) Nombor yang Berdarah

Waktu itu senja. Hujan renyai-renyai. Sam memandu keretanya. Dia dari pejabatnya di Jalan Jelebu. Dia hendak balik ke Kuala Pilah.

Tidak jauh dari kaki Bukit Putus seorang sami Hindu menahan keretanya. Anehnya Sam berhenti tanpa curiga.

“Ane mau pergi mana?”

“Sana atas saja sikit!”

Sepanjang perjalanan Sam tak sedap hati. Kerap-kali dia mengerling ke arah sami itu yang kelihatannya melayan fikiran sendiri.

Sam taulah sikit-sikit jampi serapah. Dia baca jampi yang dia tahu dan hembuskan pada sami tersebut.

Tak ada apa-apa. Agaknya sami itu memang sami betul.

Agak-agak lebih kurang berdekatan dengan anak air sami itu menoleh ke arahnya.

“Tambi. Sini cukup. Banyak terima kasih.”

Dia bagi Sam secebis kertas sebagai upah. Sam ambil dan simpan dalam poket bajunya.

Sami turun dan menghilang ke bawah gaung.

Sam pecut keretanya. Memang ada yang tak kena dengan sami tersebut.

Sampai di rumah Sam meneliti kertas tersebut. Ada empat angka yang ditulis dengan warna merah. Sam tak sedap hati dan pergi mencari seseorang yang pandai menujum perkara aneh ini.

Ikut firasat ahli nujum warna merah itu ialah darah. Dan 4 nombor itu ialah nombor ekor. Kemungkinan besar nombor itu akan menyinggah nombor satu.

Sam ada dua pilihan.

Jika dia mengambil nombor itu kemungkinan besar dia akan menang besar. Sebagai galang-ganti anak yang sedang dikandung oleh isterinya akan diambil oleh penunggu tersebut.

Nasib baik Sam masih waras lagi. Dia bakar nombor itu dan terus lupakannya.

Hari ini Bukit Putus tinggal kenangan saja. Sebuah jalan baru yang merentas gaungnya telah dibina. Kalau dulu jalan yang berkelok memakan masa 15 ke 20 minit hari ini merentas gaung hanya memerlukan 3 ke 7 minit sahaja!

Mungkinkah berakhir kisah penunggunya?

Saturday, March 13, 2010

Dongeng Pisang

1) Pisang Raja

Al kisah dulu-dulu kalau nak kaya pisang rajalah menjadi pilihan. Pisang raja ialah raja segala pisang. Pilih malam Jumaat. Masanya senja. Syaratnya pisang raja dah mula ada jantung dan sedang nak meneran anak pisang. Gunakan kain kuning. Jerut hujung jantung pisang. Niatkan dalam hati, "Kalau nak selamatkan bersalin anak engkau tunaikan permintaan aku."

Jangan tidur sampai malam nanti. Kalau tak malamnya tunggu sampai tiga malam berturut-turut.

Bila penunggu raja pisang datang jangan buka langkah seribu. Penunggu pisang raja akan berjanji tunaikan permintaan engkau. Mintalah nak kaya.

Tak percaya? Cubalah kalau berani. Jantan melayu sekarang penakut! Tu sebab ramai yang jadi pak angguk, pak tepuk tangan, pak sorak-sorai pak pencacai!

2) Ingat tak pantun ni?

Pisang emas di bawa belayar,
Masak sebiji di dalam peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Kenapa dulu-dulu pisang emas dibawa belayar? Kenapa tak pisang raja? Pisang nipah? Tulah tau makan aje. Jangan-jangan pisang emas pun tak kenal!

Jawabnya pisang emas masak ikut giliran, sebiji-sebiji. Bila bawa belayar taklah rugi. Hari ni masak sebiji, makan. Esok masak sebiji lagi, makan.

Tak percaya? Cari setandan pisang mas baru nak masak kemudian perhatikan.

3) Pisang Awak

Pisang saya? Bukan. Pisang awak! Macam mana pisang ni dapat nama awak? Haa?

Cari sendirilah jawabannya!

Friday, March 12, 2010

Kisah Lama

Pagi itu sebelum ke tempat kerja saya singgah dulu di warung mamak untuk minum pagi. Inilah rutin saya setiap pagi selepas menghantar anak ke sekolah.

Saya sempat mengimbas tajuk hadapan akhbar Utusan Malaysia. Dada saya berdebar. Dia atas sekali ada berita yang lebih kurang merujuk “kepada masalah Datuk Rahim Thamby Chik yang memungkinkan dia akan melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka"!”

Saya orang  tv. Rakan saya banyak di kalangan wartawan berita tv dan akhbar tempatan. Saya sudah mahir membaca apa yang tersirat atau dalam bahasa Inggerisnya reading between the lines.

Saya dapat agak berita ini berita acah-acah saja! Ada sesuatu yang sangat jahat tersembunyi di dalamnya. Selepas minum teh dan makan roti canai saya singgah di kedai suratkhabar. Saya imbas semua akhbar-akhbar tempatan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Hanya Utusan Malaysia saja yang membawa berita tersebut!

Setelah beberapa hari bila berita itu mula dipolemikkan oleh pencacai-pencacai politik barulah akhbar lain menyambutnya. Akhirnya Datuk Rahim Thamby Chik benar-benar melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka!

Tidak berapa lama kemudian Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu yang mempergunakan akhbar untuk menjatuhkan beliau.

Sebelum itu Raja-raja Melayu diaibkan bila kelakuan sumbang mereka didedahkan dengan wewenang oleh pihak akhbar. Kali ini akhbar digunakan untuk menjinakkan raja-raja Melayu agar tunduk kepada kehendak pemerintah ketika itu yang mahukan kuasa mereka menidakkan rang undang-undang yang berat sebelah dihapuskan.

Akhbar kita sudah lama hilang kewibawaannya. Itu pun ramai yang tidak sedar lagi.

Dalam filem Sarjan Hasan, Salleh Kamil berlakon sebagai barua Jepun dengan berkesan sekali. Satu hari (ketika itu saya masih sekolah rendah lagi) bapa saudara saya pergilah menonton filem Isi Neraka di pawagam Rex Kuala Pilah. Tiba-tiba dia  keluar panggung, bersungut, “Celaka! Barua ni berlakon pulak dia!” Begitulah bencinya dia dengan Salleh Kamil sehingga filemnya pun dia boikot. Kami ketawa terbahak-bahak.

Rumah Dalam Belukar

Petang Ahad di Pekan, Pahang, 1977.

Saya ditukarkan mengajar di sini dari Kg Awah, Temerloh.Dengan rakan-rakan bujang kami menetap di Kg Ketapang. Sungai Pahang tidak jauh dari rumah kami.

Hari minggu dengan cuaca panas adalah sangat membosankan. Pekan mati tidak menjanjikan apa-apa keseronokan.

Seorang dari kawan saya ajak pergi memancing. Sekurang-kurangnya dalam hutan redup sikit. Dan zaman itu hutan amat mewah di Pekan.

Kami menyusur jalanraya sejauh satu batu; berjalan kaki. Kemudian kami merentas sebuah belukar. Jauhnya ke anak sungai lebih kurang satu batu juga.

Denai semakin menyempit. Belukar semakin tebal. Kami terpaksa berjalan dalam satu barisan. Saya orang yang ke lima  dan belakang saya ada seorang lagi.

Mula-mula jarak kami di antara satu sama lain sangat rapat. Setelah berjalan lebih sebatu masing-masing dah mula letih. Hayunan kaki menjadi perlahan. Semakin lama semakin menjarak. Nak berbual pun dah tak kuasa lagi. Masing-masing melayan angan-angan masing-masing. Yang kedengaran hanya bunyi hutan.

Ketika itulah saya ternampak sebuah rumah limas. Comel dan kemas. Tak nampak penghuninya.

Seekor ayam jantan sedang merentas halaman rumah yang sangat kemas dan bersih. Beberapa pokok buah-buahan terdapat di keliling rumah. Di ampaian kain terdapat beberapa pakaian wanita sedang terjemur; kain batik dan baju kurung. Beberapa tingkap terbuka dan kelihatan langsir rumah yang cantik berbunga-bunga. Anjung rumah sepi. Pintunya terbuka.

Saya memerhati jika ada tuan rumah. Pagarnya tertutup. Entah macam mana terlintas fikiran ini dalam benak saya, “Eh! Macam mana pula ada sebuah rumah sahaja dalam belukar ini?”

Tiba-tiba telinga saya berdesing. Pandangan saya berkunang-kunang.  Saya terasa mamai sekejap. Hendak muntah pun ada.

Saya terasa bahu saya ditepuk kuat.

“Hang nak ke mana Din? Puas aku teriak nama hang tadi!”

Saya terpinga-pinga. Saya perhati keliling. Tiada rumah di situ. Hanya belukar yang tebal saja. Dan saya masih mamai dan keliru.

“Hang kalau nak pi kencin pun tak usahlah jauh sangat. Jenuh aku ligan hang!”

“Mana budak-budak tu"?

“Depa dah lepaih jauh dah! Jum!”

Kami pun beredar. Saya perhati semula kok tersalah pandang. Memang tidak ada rumah di situ.

Ketika berjalan saya terfikir.

“Nasib baik ada sorang lagi kat belakang!”

Wednesday, March 10, 2010

The Storyteller

The Storyteller is a new blog. It means what it says. Storyteller.

Stories about ghosts, family, adventure and what not. These are true stories. Some I’ve encountered personally. Some I collected from friends. Some I’ve seen it happened.

Some are funny. Others mysterious. It is a potpourri of Malaysian life.

Just click the link The Storyteller and you are there.

Be prepared to be entertained. I have published two of them; The Restless Maiden and The Intruder. In both stories I was there!

If you like to share yours just fill in the comments.

See you there. More to come.

Friday, March 5, 2010

Saman Jalanraya di Melaka

Saya orang N9. Saya singgah di Mahkamah Syariah Melaka kerana hendak menguruskan soal perintah faraid di mahkamah. Parking di dalam kawasan mahkamah penuh. Saya parking di bahu jalan. Di bahu jalan banyak kereta.

Paling depan kereta saya. Belakang sebuah kereta lama, Nissan Sunny. Belakangnya sebuah kereta BMW 5 series baru dengan satu lambang (saya lupa lambang itu). Belakangnya sebuah kereta Saga lama.

Setelah berurusan saya pun balik semula ke kereta. Saya dapat surat saman. Saya periksa tiga buah lagi kereta di situ. Nissan Sunny dan Saga dapat surat saman. BMW 5-series TAK KENA!!!  Puas saya periksa kereta itu. Mungkin jatuh ke tanah? Tak ada! Wah … saya bengang!

Ketika nak cari tempat reverse baru saya perasan ada satu padang dijadikan tempat parking!

Mungkin saya tersalah faham. Mungkin drebarnya ada di pondok jaga sambil berbual dengan pengawal. Dan setiap kali datang tukang saman dia akan uruskannya. Mungkin dia kata, “Tak payah saman. Boss aku ada di dalam sekejap!” Atau dia ambil saman itu dan simpan.

Ketika saya pergi bayar saya dirujuk ke tingkat 3 bangunan majlis perbandaran melaka. Di sana saya komplen pada keraninya fasal BMW itu. Dia kata, “Itu saya tak taulah!” Saya diberi surat memohon potongan bayaran saman. Ketuanya pula tak ada. Saya dirujuk ke tingkat 2. Nasib baik ada seorang pegawai lagi. Dia baca lebih kurang dan bagi saya potongan 50%. Saya turun ke lobby dan bayar. Kena RM50.00.

Melaka Bandaraya Bersejarah memang bersejarah buat saya hari itu. Walau bagaimanapun kereta BMW itu masih bermain-main di dalam fikiran saya. Saya teringat di zaman 90an dulu bagaimana polis trafik trafik KL menghadapi masalah dengan drebar-drebar kereta boss yang parking tak menentu di kawasan Hotel Shangri La sehingga menimbulkan polemik dalam suratkhabar.  Kebanyakan kereta itu ialah Mercedes. Atau kisah boss-boss kereta mewah tak bayar saman hadlaju di lebuhraya PLUS.

Kalau boss-boss kereta Mercedes, BMW dan seumpamanya berlagak macam itu jelaslah bangsa kita masih dihambat oleh fahaman feudal lagi! Undang-undang hanya untuk kita rakyat marhaen. Bilalah orang kita nak terbuka minda?

Wednesday, March 3, 2010

Artis dan Orang Politik

Mereka ini kembar tak seiras. Sama-sama menjadi tumpuan orang ramai. Sentiasa menjadi kepala berita. Sentiasa menjadi tajuk perbualan di warung-warung kopi atau ketika suri-surirumah menunggu van sayur datang.

Apa yang istimewa sangat tentang dua kaum ini?

1. Gila Glamour.

Memang pun. Kalau tak gila glamour tak ada siapa yang kenal seseorang artis itu. Kadang-kadang nak harapkan kemantapan lakonan atau nyanyian jauh sekali. Nak cepat glamour lakukanlah perkara yang boleh menimbulkan sensasi.

Anda mungkin seronok menonton rancangan tv seperti melodi atau rancangan yang gempak-gempak yang macam melodi. sebenarnya rancangan begini adalah pintu kepada berita-berita sensasi. Artis-artis disensasikan dan dua-dua pihak menang-menang; rating naik dan artis dikenali.

Orang politik pun macam itu juga. Jangan saja pemimpin tertinggi menyatakan sesuatu maka sahut-menyahutlah mereka yang di bawah menyokong kenyataan itu supaya orang ramai dapat mendengar kononnya “buah fikiran mereka”.

Jangan saja ada majlis keraian yang dihadiri pemimpin tertinggi maka berduyunlah yang di bawah itu datang berasak-asak nak tumpang sekaki dalam foto-foto kenangan. Mana tau kalau disiarkan dalam tv atau surat khabar foto-foto itu?

Hakikatnya pada artis dan orang politik kalau tak glamour orang tak kenal. Kulit saja gah isi tak ada. Inilah sebabnya dunia hiburan dan dunia politik kita caca-marba.

2. Cakap Tak Serupa Bikin

Bila artis diwawancara bukan main lagi mereka paksa kita percaya yang mereka adalah selebriti terbaik dalam perangai dan tutur-kata. Cita-cita mereka ialah hendak menaikkan taraf lakonan atau nyanyian ke taraf global. Dan mereka sedang berusaha keras sekarang! Lepas itu beransur-ansur hilang atau tenggelam-timbul. Bila terbit cerita kita terkejut. Ada yang kena tangkap basah. Kena serbu fasal dadah. Ada yang pencen tiba-tiba kerana kalah bersaing.  Ada yang kawin senyap-senyap dengan laki orang. Ada yang senyap tu sebab dah ada orang yang bela. Duit pun dah banyak. Macam-macamlah.

Orang politik pun macam itu. Terutama bila nak pilihanraya. Masa itu barulah kita nampak dia orang. Dia datang dengan “janji manismu”. Dia datang dengan “lenggang-lenggoknya”. Bila dah menang atau kalah terus tenggelam macam tenggelamnya batu. Saya banyak jumpa orang yang kena tipu oleh orang politik. Semasa orang politik itu sedang naik ada saja mamat atau minah yang membontotinya. Macam belangkas. Ada orang politik itu adalah dia. Bila dapat projek orang politik dapat daging dia dapat tulang. Ada tu langsung tak merasa.

3. Suka Berkelahi Sesama Sendiri

Semua orang tahu. Artis perempuan kelahi kerana berebutkan jantan (ada juga yang merebutkan suami kawan sendiri). Ada yang masuk mahkamah. Ada yang bertelagah dalam akhbar dan televisyen. Bila kena berlakon berdua yang satu lagi akan tarik diri. Kes yang terbaru dalam akhbar sekarang ni pula fasal bekas sepasang kekasih yang berkelahi. Dulu melibatkan sepasang suami-isteri sampai bercerai-berai.

Orang politik pun macam itu. Depan “kawan politiknya” mereka istiharkan kawan. Belakang “kawan” mereka cari jalan nak jatuhkan sikawan tadi. Perkara biasa. Jatuh-menjatuh di dalam politik adalah seperti mainan dam aji di warung-warung di kampung. “Makan jangan tak makan. Kalau tak makan macam mana dam nak naik aji? Nak pandai makan pandailah pasang perangkap! Bila dah naik aji makan besar le!”.

4. Pandai Bermuka-muka

Malas nak cakaplah. Itu trend masa kini. Tanya pengarah-pengarah drama atau komposer-komposer yang tertentu. Berapa ramai yang dah kenyang? Artis-artis ni pandai melayan. Pandai bermuka-muka. Berapa banyak orang yang berduit dah terkena?

Orang politik pun macam tu. Tanya pengundi-pengundi. Berapa ramai yang dah terkena? Yang baru ni kisah tong ikan. Dulu fasal talipinggang keledar. Lama dulu fasal topi keledar. Janji pembangunan atas bukit tak boleh. Kemudian dibolehkan pula. Kertas putih tentang bermacam-macam tragedi tinggal putih saja. Macam jembatan runtuh. Banyak pengundi berputih mata. Sekarang ni sedang tunggu apa akan jadi pada kadar tol PLUS! Mereka ni depan kita kata lain. Belakang lain pula!

5. Nasib Kembar Tak Seiras

Artis dengan orang politik mempunyai sifat yang sama tapi kerjaya lain-lain. Sebab itu mereka sangat sesuai. Artis memang cari orang-orang politik. Dan anehnya orang-orang politik pun gemar cari artis! Dengar sajalah khabar-khabar angin yang bertiup. Yang mengherankan trend ini hanya berlaku di tanah air kita.

Ada ke lagi artis dan orang politik yang berkualiti dalam tanah air kita ini? Kalau ada kita bagi sokongan kuat pada mereka agar dunia hiburan dan dunia politik kita boelh dibanggakan.