Yang mana satu? Bahasa Melayu? Bahasa Kebangsaan? Atau bahasa Malaysia?
Kalau kita dengar para pemimpin berucap atau para penceramah bergebang atau para ahli korporat berkata-kata atau para panel bertegang-urat atau para pengantara tv mengulas atau para artis melepaskan geram atau para rakyat marhaen bersembang kita akan dengar gaya pertuturan ini:
“I tak setujulah jika they all nak tunjuk aksi dengan we all. Dia orang tu tak tau ke that we live in a free country di mana … bla-bla-bla …”
Yang di atas itu bahasa apa pula?
Pendeta Zaaba (generasi sekarang termasuk pemimpin melayu yang sedia ada tak tahu siapa pendeta ini) telah menstrukturkan nahu bahasa melayu dengan mudah sekali.
Segala ejaan yang dimulakan dengan awalan seperti di, ke diletakkan sengkang contoh di-mana, di-kampung, ke-sawah, ke-situ dan sebagainya.
Sebutan e dan ӗ dapat dibedakan seperti sӗmak, semak, lenggang, lӗngging, lenggok, lӗngung, sentak, sӗndu, tepak, tӗpat, tӗmpik, tembak dan sebagainya.
Cuba perhatikan tulisan para blogger masa kini atau nota-nota yang anda tulis atau karangan para murid dan pelajar anda akan temui mereka gagal menggunakan awalan di dan ke dengan betul: contoh di sana jadi disana, ke meja jadi kemeja, kedua ke ke dua?
Dan dengar pula perbualan atau pengumuman dalam radio atau tv. Mereka gagal menyebut banyak perkataan yang berkait dengan sebutan e dan ӗ; lenggak-lenggok, semak-samun dan sebagainya.
Kecelaruan ejaan dan sebutan ini berlaku gara-gara para bijak pandai bahasa melayu ghairah memodenkan dan membakukan bahasa itu. Kononnya bila bahasa melayu moden dan baku bangsa melayu juga turut moden dan maju! Betul ke ni? Adakah mereka ini golongan yang waras?
Bila pendeta Zaaba memudahkan ejaan dalam penulisan bahasa melayu beliau memberi ruang yang banyak untuk orang melayu menguasai bahasa ibunda mereka. Beliau yakin yang bahasa adalah jiwa bangsa dan bahasa adalah alat kepada memajukan akal-fikiran orang melayu! Bila akal dan fikiran orang melayu sudah maju barulah bangsa itu maju. Ini adalah pendapat yang waras.
Hari ini bukan sahaja bahasa melayu dah porak-peranda dan menjadi caca-marba bahkan orang melayu sendiri tidak tahu yang mana satu bahasa ibunda mereka; bahasa melayu? Bahasa kebangsaan? Atau bahasa Malaysia?
Andainya satu hari nanti bahasa melayu hilang di Semenanjong Tanah Melayu maka sampailah ketikanya kita talkinkan bangsa melayu pula! Oleh kerana bahasa adalah jiwa bangsa maka mati bahasa matilah bangsa!
No comments:
Post a Comment