Monday, December 28, 2009

“Anak awak, berapa A?”

“9A!” Siibu tersenyum bangga.

“Tahniah!” Puji jirannya.

Rancangan TV ada rating. Hotel ada rating. Kini anak kita juga ada rating; 9A, 5A 4B, 1A 3B 5C.

“Ayah dah janji kalau along dapat 9A ayah nak hadiahkan i-phone!”

Saya suka menonton rancangan Animal Planet di saloran 556, Astro. Anjing, chimpanzee, orang utan, singa atau binatang-binatang lain mudah menurut perintah kalau pelatihnya menyediakan hadiah untuk binatang-binatang itu melakukan sesuatu.

Teori prestasi=hadiah ini telah menular dalam pendidikan anak-anak dari dalam rumah hingga ke peringkat kementerian.

Pendek kata kita membentuk mentaliti anak-anak untuk menjadi seekor anjing, chimpanzee atau orang utan.

Bukan itu saja. Anak-anak telah faham tujuan hidup mereka ialah mendapat sebanyak A yang mungkin. Kononnya banyak A = anak yang baik.

Selepas 9A apa seterusnya?

  • Jika anak itu seekor kera sumbang kerana selama hayatnya hanya membelek buku dan kerja sekolah dia akan terus menjadi seekor kera sumbang.
  • Jika anak itu seekor chimpanzee yang nakal yang sentiasa dapat banyak A tapi dalam hand phonenya penuh video lucah dia akan terus memuat-turunkankan video lucah dari internet ke dalam hand phonenya.
  • Jika anak itu seekor anjing yang sangat manja di depan ibu dan ayahnya tapi di belakang selalu merokok sebelum ke sekolah dan menjadi kutu rayau di hujung minggu dia akan meneruskan aktiviti itu tanpa sekatan sebab rating A telah memberikannya kebebasan yang luar biasa.

Yang malangnya jumlah A telah membiuskan fikiran ibu dan ayah yang mengganggap A yang banyak = budak yang baik dan menurut perintah!

Tidak hairanlah masyarakat kita ini sekarang dipenuhi oleh mereka yang:

  • gemar menyalak dan berkelahi. Menyalak ialah memaki-hamun sama ada dalam ceramah atau memberi pendapat dalam forum. Berkelahi sudah sedia maklumlah. Dari kes buli di sekolah sehinggalah menjadi pemimpin.  Tidak terkecuali yang miskin, kaya, berpelajaran dan bangsawan.
  • mengharapkan pelbagai hadiah untuk menyempurnakan sesuatu kerja. Saya teringat kepada satu kes beberapa tahun lalu. Adalah seseorang ini diberi peluang untuk mendapatkan sebidang tanah untuk mendirikan sebuah kiosk petrol. Modal sebenarnya ialah 2 juta ringgit. Dia dikehendaki memohon pinjaman sebanyak 6 juta ringgit! Baki 4 juta ringgit itulah ialah habuan untuk pegawai-pegawai bank yang berkaitan, orang yang rekomenkan tanah itu, pegawai-pegawai yang terbabit dengan kelulusan tanah dan sudah semestinya untuk wakil seorang ahli politik yang berkaitan. Orang yang berkaitan menolak tawaran tersebut. Logiknya mudah. “Takkan aku nak tanggung kemewahan dia orang!” Hari ini budaya rasuah = budaya hadiah.

Sepatutnya anak-anak dididik untuk:

  • bertanggung-jawab kepada pelajaran mereka. Mereka belajar mengikut daya tahan dan daya mampu mereka.  Jadi kegilaan membazirkan duit kepada yuran tuisyen tidak timbul.
  • bertanggung-jawab kepada hidup mereka sendiri. Mereka faham dan mengamalkan kehidupan telus, jujur dan bertanggung-jawab.
  • bertanggung-jawab kepada keluarga dan masyarakat supaya tidak menjadi pembuli, suka berkelahi, perosak harta awam dan sebagainya.

Perkara ini sukar dilakukan sebab ibu dan ayah mereka juga adalah produk rating A yang telah menular ke dalam sistem pendidikan kita sejak 90an dulu.

Seperti juga sistem politik kita yang porak-peranda dan sistem sosial kita yang berpenyakit (bertudung dan berkopiah putih bukannya warak dan baik) atau bahasa melayu kita yang caca-marba maka sistem pendidikan kita juga compang-campeng, koyak-rabak merata-rata.

Kita nak tampal atau nak rombak? Pada saya, “Kita rombak!” Masalahnya pemimpin kata, “Kita tampal!”.

No comments:

Post a Comment