Kalau suami, isteri dan anak-anak pulang ke rumah mertua (ibu suami), jadualnya disusun oleh isteri. Kebiasaannya jadual itu ketat, tidak anjal dan tempohnya pendek.
Alasan-alasan siisteri yang selalu kedengaran ialah;
- “I ada hal”.
- “Ingat tak kita dah janji dengan bang Ngah (abang isteri) … blah, blah …”
- “Kerja I banyaklah di rumah”.
- “Kucing, arnab, ikan kat rumah tu …blah, blah, blah …”
Kalau suami, isteri dan anak-anak pulang ke rumah ibu isteri jadualnya juga disusun oleh isteri. Kebiasaannya jadual itu longgar, anjal dan tempohnya tidak menentu.
Alasan-alasan siisteri yang selalu kedengaran ialah;
- "Mak tak beberapa sihat bang”.
- “Mak berhajat nak buat makan-makan. Ajak kita, bang long, bang ngah … blah, blah, blah …”
- “I nak berihat lama sikit. Bosan dengan kerja yang banyak kat rumah tu”.
- “I dah suruh kak teh anak bang ngah tu tengok-tengokkan kucing, arnab dan ikan kat rumah”.
Kalau kena mertua yang cengil anaknya (sisuami) akan diancam dengan pelbagai ancaman seperti;
- “Kau ni mak nampak hidung dah kena tindik”.
- “Jangan lupa syurga kau bawah tapak kaki mak. Syurga bini kau bawah tapak kaki kau!”
- “Kalau sayangkan sangat bini kau tu jangan balik-balik lagi jumpa mak!”.
Kalau kena mertua yang tak banyak soal reaksinya macam ini;
- “Lantaklah. Kalau kena tindik hidung pun hidung dia”.
- “Mak tak kisah. Nak balik, balik. Tak nak pokok kat dialah. Mati mak ‘sok taulah dia”.
- Dah tua ‘sok taulah dia macam mana anak-anak buatkan dia ‘lak!”
Semua ini berpunca dari sifat cemburu yang luar biasa pada isteri. Mertua pun dicemburukannya! Walhal mertua bukannya orang lain, ibu suami yaitu ibu yang melahirkan suaminya!
Apalah salahnya diberi peluang suami bermanja dengan ibu sendiri macam dia bermanja dengan ibunya?
Para suami biasanya malas nak bertegang-urat fasal hal-hal yang semacam ini. Biasanya suami akan mengambil beberapa tindakan;
- Dia turut sahaja kemahuan isterinya.
- Atau dia akan pulang ke rumah ibunya sendirian tanpa isteri dan anak-anak.
- Pada suami yang lebih ekstrem dia akan cari dukun untuk lembutkan hati isteri!
Percayalah, tidak ada ubat untuk menyembuhkan rasa cemburu sang isteri. Cemburu lahir dan membesar bersama mereka.
Jangan katakan mantera dukun-bomoh atau kaunselling, hadith-firman pun takkan mampu meredakan rasa cemburu yang luar-biasa itu.
Cemburu melahirkan sifat tamak. Tamak menjadi buruk-sangka. Buruk-sangka berkembang menjadi meluat. Meluat menjadi benci. Benci diolah menjadi pura-pura. Pura-pura menjadi munafik. Semua ini akan menjadi kenyataan jika sifat cemburu diapi-apikan. Itu sebab sang suami malas nak bertegang-urat takut nanti api cemburu menyala.
Kalaulah anda mempunyai isteri yang macam ini nasihat saya, “pandai-pandailah bawa diri’.
No comments:
Post a Comment