Wednesday, December 9, 2009

Mitos Orang Melayu

Ada banyak. Yang terbaru sekali ialah:

  1. ada nama Islam
  2. ada pakaian Islam

Nama melayu tulen banyak; Tuah, Bujang, Seri, Dewi, Dang Suria, Melur dan sebagainya. Indah nama-nama ini. Ia mempunyai makna yang baik.

Kononnya nama-nama Islam itu ialah Nurul Ain, Farouq, Syuhada, Abdullah, Aziz dan sebagainya. Dan mitosnya nama-nama ini akan “membaikkan sipemakai nama”.

Omar Shariff adalah bintang Hollywood yang berasal dari Lubnan. Sangat terkenal dalam dekad 60an dulu. Dan Tariq Aziz ialah Menteri Luar Iraq semasa pemerintahan Saddam Hussin. Kedua-duanya beragama Kristian.

Sebelum wahyu pertama kita kenal nama-nama ini; Abdul Mutalib, Abdullah, Khalid Walid, Siti Khadijah dan sebagainya.

Kemudian wahyu diturunkan … dalam bahasa Arab! Bukan bahasa Islam.

Nama yang dikatakan Islam itu sebenarnya nama orang Arab. Jangan syak lagi. Seperti orang Arab nama-nama itu tidak menjamin sipemakainya menjadi baik. Percayalah.

Di barat nama-nama arab ini dah popular. Contoh klasik ialah Paula Abdul dan Queen Latifah.

Bila tiba gelombang bertudung dengan ghairah orang melayu mengislamkan tudung menjadi pakaian Islam!

Yang bertudung labuh itu jika duduk bersebelahan dengan rahib Kristian mereka kelihatan sama saja – bertudung labuh dan berjubah, warna saja lain.

Yang berpurdah pula mirip wanita-wanita penghuni padang pasir. Dan tidak semua mereka di padang pasir itu beragama Islam. Banyak yang beragama Kristian.

Tuntutan bertudung yang diamalkan oleh wanita-wanita seluruh dunia disebabkan banyak faktor; faktor agama, budaya, tempat tinggal mereka, iklim negara mereka dan sebagainya. Bangsa yang bertudung termasuklah wanita Hindu, Sikh, Tibet, Eskimo, Gipsi, Tuareg dan banyak lagi.

Dalam masyarakat melayu tudung sudah menjadi fesyen dan jenama seperti tudung Mawi, tudung labuh, tudung yang ranggi reka-ciptanya, tudung untuk bersukan, tudung untuk majlis rasmi dan sebagainya.

Istilah yang tepat ialah pakaian menutup aurat. Islam tidak datang dengan pakaiannya.

Belum lagi cerita telekung. Kalau orang melayu dapat melihat wanita muslim negara India dan Pakistan atau wanita di padang pasir yang bersolat dengan pakaian mereka yang menutup aurat (bukannya telekung) tak taulah apa reaksi mereka!

Tak heranlah kenapa ilmuan Islam masa kini bertelagah dengan ilmuan Islam tradisional yang membenarkan masyarakat yang mereka pimpin melakukan pelbagai bidaah termasuk talkin, kenduri arwah, malam nisfu syaaban dan … dan … dan ...

Selain nama dan pakaian ada juga perkara lain yang orang melayu islamkan yaitu bank, parti, yayasan, jabatan, universiti, perubatan dan macam-macam lagi.

Orang melayu ghairah berbincang tentang pakaian islam, nama islam, bank islam, yayasan islam, parti islam, universiti islam, perubatan islam dan masih mencari ilham untuk mengislamkan banyak perkara lagi termasuk sastera, radio, tv dan … dan … dan  …

Akhirnya orang melayu gagal mengenali kemurnian intisari ajaran Islam!

Di dalam negara kita ini sebahagian besar penipu, perogol, pembunuh, perasuah, mereka yang zalim, pendera, para pemecah amanah, pemabuk, kaki dadah dan pengedar dadah terdiri dari mereka yang beragama Islam.

Oleh kerana pemimpin dan cendikiawannya leka mengislamkan tubuh mati, penganut Islam yang sebenarnya jadi kering-kontang.

No comments:

Post a Comment