Wednesday, December 16, 2009

Kenangan Di Bawah Naungan Dr Mahathir

Hari ini Tun Mahathir adalah sebuah tugu. Sebuah monumen klasik dari zaman yang penuh pancaroba.

Bagi pemujanya dia adalah sebuah berhala; yang dipuja-puji dan tempat meminta pertolongan. Kadangkala tempat mengambil kesempatan.

Pada yang tak sukakannya dia adalah sebuah punching bag; untuk dibelasah melepaskan geram.

Bapa saya kata Tun Mahathir hanya tua dua bulan saja darinya. Jadi Tun saya anggap macam bapa; bapa yang garang yang tak suka kena tentang – sebiji macam bapa saya!

Pun begitu tidak semestinya saya bersetuju dengan dia.

Ada kenangan manis ketika berada di bawah naungannya.

Ada juga kenangan pahit yang pahitnya berterusan sehingga kini.

A. Warisan sepanjang Zaman

  1. Masa dipercepatkan setengah jam – orang melayu bangun lebih awal untuk bekerja. Satu cara menyedarkan mereka yang masa itu emas.
  2. ASN /ASB – orang melayu melabur dalam skim yang bagus yang dilindungi kerajaan. Satu pilihan yang baik selain menyimpan dalam bank.
  3. Internet – satu anjakan paradigma yang menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan mencari maklumat.
  4. Astro – melangkah ke medan inforia yang menjana dunia hiburan bermaklumat.
  5. Petronas Twin Tower – menara yang pernah menjadi menara berkembar tertinggi di dunia.
  6. Rangkaian Lebuh Raya di seluruh negara – menghubungkan segala macam destinasi dalam negara.
  7. Sistem komuter, Monorel, STAR dan Putra – rangkaian perkhidmatan awam yang mengelakkan dari kesendatan jalanraya.
  8. Putrajaya – pusat pentadbiran kerajaan yang disatu dan diselaraskan.
  9. KLIA
  10. Pulau Langkawi – pulau gersang yang menjadi destinasi pelancongan yang popular.
  11. Pemandulan kekebalan institusi kesultanan – ini langkah penting untuk membebaskan warga melayu dari cengkaman fahaman feudalisma.

B. Warisan yang Menyakitkan Mata dan Hati

  1. UMNO Baru – lahirnya dari perpecahan orang melayu.
  2. Bangunan Daya Bumi – masa pembinaannya diwar-warkan sebagai bangunan pemacu ekonomi melayu bandar.
  3. PWTC – sepatutnya rancak tapi lembab aktiviti perniagaannya.
  4. Cyberjaya – tak nampak apa yang ada di situ. Sesekali pergi macam padang jarak padang tekukur.
  5. Kereta Proton -  kereta pertama saya, Iswara Cares (baru); cermin sisinya tersekat-sekat selepas 6 bulan. Adik saya beli Gen 2 (baru); pintu belakangnya tercicir selepas 6 bulan. Kawan saya beli Pesona (baru); cermin sisinya tersekat-sekat setelah 6 bulan. Dan umur Proton dah berbelas tahun! Masalah cermin sisi masih tak selesai!
  6. Rangkaian tol seluruh negara – yang lecehnya bila kenaikan tol ditangguh, kerajaan kena bayar. Duit kerajaan duit kita juga.
  7. Rangkaian bangunan tinggi di lereng bukit – hari ini bangunan-bangunan itu ialah bom jangka yang akan meletup bila-bila masa.
  8. Rangkaian projek terbengkalai – sebuah testimoni kepada penyakit projek-projek berteraskan kroni dan nepotisme – duit tak ada tapi kabel ada.
  9. Rangkaian pemimpin pelapis samaada dalam kerajaan atau parti yang tidak bewibawa dan tidak berpengetahuan - bila berceramah atau bercakap tak ada isi dan ide baru hanya pandai memuji-muji ketua dan menjadi pencacai.
  10. Dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan untuk pelajaran Sains dan Matemik yang dilancarkan dalam masa 24 jam tanpa kajian dan penyelidikan –sampai hari ini jadi bisul dalam sistem pendidikan negara. Dulu ada TOEFFL. Bahasa Inggeris dikuasai dalam 6 bulan. Satu testimoni yang bahasa Inggeris tak perlu jadi silabus khusus.
  11. Sistem pendidikan yang menjadikan warganya hafiz ilmu bukan pengkaji dan pengamal ilmu.
  12. Penggabungan bas-bas awam bawah satu konsortium menjadikan pengangkutan awam ini lembab dan tidak berdaya maju; tidak seperti dulu yaitu bas mini, Toong Fong, Len, Selangor Omnibus dan banyak lagi. Bandingkan koloni gergasi dan semut. Semut banyak koloninya tapi sangat berkesan dalam urusan mereka. Gergasi dah pupus.
  13. Negara slogan – Setia memandulkan fikiran orang melayu. Bersih, Cekap, Amanah adalah slogan para pengamal rasuah yaitu sapu sampai bersih, buat dengan cekap dan jangan bagitau sesiapapun!

C. Pengalaman Yang Mengerikan

  1. Pembunuhan beramai-ramai orang Melayu di Memali- semasa berita itu disiarkan saya kecewa, marah dan tidak percayakan lagi kewarasan pihak berkuasa. Yang mati ialah orang-orang kampung yang miskin dan dhaif.
  2. Operasi Lalang – masa itu yang bertelagah ialah Pemuda UMNO bawah kepimpinan Datuk Najib dengan Pemuda MCA di bawah kepimpinan Datuk Lee Kim Sai tapi yang kena tangkap ialah pemimpin-pemimpin parti DAP dan PAS.
  3. Tengku Razaleigh dipakaikan tengkolok bersalib ketika kempen pilihanraya – politik memang kotor!
  4. Pengharaman Al Arqam – hilang sumber makanan halal yang diusahakan oleh orang-orang melayu muslim yang boleh berdikari dan berfikir sendiri. Soal aqidah soal Arqam dengan Tuhannya.
  5. Mata lebam Datuk Anwar Ibrahim – itu bekas pemimpin negara belum rakyat biasa lagi.
  6. Kes liwat Datuk Anwar Ibrahim – Anwar disabitkan kesalahannya oleh saksi palsu, Azizan, yang menarik balik pendakwaannya dalam perbicaraan! Saya teringat kes pembunuhan ratu cantik Jean Pereira di mana yang didakwa Karthigesu terlepas dari hukuman gantung kerana wujud keraguan pada saksi palsu. Saksi palsu kena dua tahun penjara. Azizan pula dipujuk oleh pihak berkuasa supaya menarik balik penarikan-balik pendakwaannya dan kesaksian palsunya diterima-pakai hakim!
  7. Kes liwat Datuk Anwar Ibrahim – pihak pendakwaan diberi kelonggaran untuk mengubah-suai kertas pendakwaan setelah dua kali melakukan kesalahan dalam penyediaan kertas pendakwaan. Peristiwa 5, 6 dan 7  membuat saya hilang kepercayaan kepada institusi kehakiman.
  8. Bank Bumiputra bengkrap – Tun Razak tubuhkan Bank Bumiputra untuk orang melayu. Hari ini Bank Bumiputra dikuasai oleh anak Tun, Nazir Razak! Kalau Tun Razak masih hidup akan dibenarkankah anaknya menguasai bank orang melayu ini?
  9. Kehilangan berbilion ringgit wang Bank Negara akibat judi matawang dunia.
  10. Skandal BMF,  Maminco, Perwaja dan banyak lagi yang menyebabkan negara kehilangan berbilion-bilion ringgit.
  11. Kejatuhan matawang Malaysia dalam tahun-tahun 1997 – 1998 – Dr Mahathir yang memajukan negara dan beliau juga mengakibatkan kejatuhannya.
  12. Penubuhan Danaharta -  entiti kerajaan yang membeli hutang peniaga-peniaga kroni yang gagal termasuklah Mirzan Mahathir.
  13. Kegagalan besar peniaga-peniaga melayu pilihan; MAS bawah Tajuddin Ramli, Renong entah ke mana sekarang ini, Tongkah milik Mokhzani tak dengar khabar berita, Syarikat Pembinaan Bot di Lumut entah apa jadi dan banyak lagi.

Terpulanglah kepada anda bagaimana anda memilih untuk melihat mantan perdana menteri ini.

Terlalu memuja kita akan gagal melihat kegagalan Tun.

Terlalu mengecam kita juga gagal melihat sumbangan Tun.

Pada saya Tun Mahathir hanyalah seorang manusia biasa. Beliau perlu bertanggung-jawab kepada sumbangan dan kegagalan beliau.

2 comments:

  1. Alangkah eloknya jika mudah mencari kebaikan orang, seperti mudahnya mencari keburukan orang.

    ReplyDelete
  2. Menyesal aku baca tulisan sampah lagi bebal si penulis blog ini. banyak fitnah dan tak betul dari fakta.. melambngkn sifat hati yg kurang elok... Suluh diri kau dulu lah, nk list keburukan insan yg sgt berjasa ini. Tiada berhala pd rakyat tapi kekaguman dn penghormatan pd Tun. M

    ReplyDelete